Apabila berada di tanah suci Mekah tiada lagi perbezaan darjat mahupun pangkat. Semua yang ada sama di sisi Allah SWT.
Pengalaman kali pertama menunaikan umrah pada Mac 2019 telah membawa perubahan besar dalam kehidupan Surina Mohd Zain sekaligus mengajar dirinya menjadi seorang yang reda dengan takdir Allah SWT.
Surina kini bertugas sebagai Pengarah Projek di Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Lebih membahagiakan wanita ini apabila niatnya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah sebelum usia 40 tahun termakbul.
“Setiap kali selesai solat saya sering berdoa dan berniat semoga suatu hari nanti saya dapat ke tanah suci sebelum usia 40 tahun. Alhamdulillah doa saya dimakbulkan apabila pada Mac tahun lalu saya berpeluang menunaikan umrah untuk pertama kalinya pada usia 39 tahun.
Sejak dulu saya memang dah berniat, sebelum umur 40 tahun mesti ada turning points ke arah kebaikan termasuk tujuan hidup. Objektif hidup saya ialah berjaya di dunia dan akhirat.
Saya ke tanah suci pada 20-30 Mac 2019 diuruskan oleh agensi pelancongan berdaftar iaitu Qalesya Travel & Services Sdn Bhd.”
PENGALAMAN DI TANAH SUCI
“Memandangkan ini pengalaman pertama saya, segala persiapan dilakukan sebaik mungkin. Sewaktu menjejakkan kaki ke tanah suci perasaan saya berlainan sekali, tidak seperti beberapa trip yang pernah saya pergi sebelum ini. Ia cukup membahagiakan dan menenangkan jiwa. Tak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Saya berpeluang menunaikan solat di Hijir Ismail selama 30 minit. Saya juga dapat mencium Hajarul Aswad dengan pertolongan dua wanita dari Indonesia termasuk menjejakkan kaki ke Raudah. Saya dapat bersolat dan berdoa dengan selesa. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan atas izin-Nya.
Cuma saya tidak berkesempatan untuk melakukan tawaf wida’ kerana tiba-tiba datang haid. Selepas makan ubat, haid berhenti dan saya dapat meneruskan ibadah semula di Madinah.”
PERISTIWA MENAKJUBKAN
“Peristiwa ini terjadi ketika saya berniat hendak membawa kerusi wakaf masjid ke hotel kerana mahu menggunakannya atas sebab tertentu. Nak dijadikan cerita ketika saya hendak mengambilnya di masjid, kerusi itu sudah tiada di tempatnya. Lantas saya berniat untuk mencarinya semula esok selepas Subuh. Saya solat Isyak di masjid kemudian kembali ke hotel.
Sebaik tiba di hotel berlaku satu peristiwa yang sangat menakjubkan! Saya terkejut apabila melihat kerusi wakaf itu tiba-tiba sahaja sudah berada di hadapan pintu bilik. Bukan hanya terkejut, saya juga terkedu kerana memikirkan siapa pula yang membawa kerusi itu? Subhanallah!”
TERUS ISTIQAMAH
“Pengalaman ke tanah suci telah menjadikan saya seorang yang lebih reda dengan takdir Allah SWT. Saya percaya kita mesti berbuat baik dalam apa jua perkara mahupun keadaan demi mendapatkan ganjaran kebaikan dari Allah SWT. Semuanya kerana Dia.
Bagi saya segala yang dilakukan mahupuan kejayaan adalah untuk dunia dan akhirat. Ia perlu selari dan berpandukan ajaran serta undang-undang Islam. Secara tak langsung saya dapat menjaga penampilan dan kelakuan dengan baik. Saya akui sebelum ini saya jahil..
Impian saya selepas ini ialah untuk menunaikan ibadah haji pula. Never say good bye to Kaabah and Mecca. I will come back.
Rindu sangat!”Kredit Foto: Instagram Surina Mohd Zain
This website uses cookies.