Pertama Kali Suami Menangis, Perlu Bantuan Oksigen, Datin Rebecca Berlinang Air Mata Urus Situasi Tahap 4 COVID-19

Berderai tangisan Datin Rebecca Nur Al Islam ketika menceritakan pengalaman penuh mencemaskan tentang situasi jangkitan COVID-19 yang menimpa suaminya baru-baru ini.

Dikongsikan melalui platform Instagram Live, selebriti dan usahawan terkenal yang memiliki sejumlah 764,000 pengikut itu berkongsi perasaan pilunya tentang keadaan yang menimpa mereka sekeluarga.

Menurut Datin Rebecca, situasi kesihatan Datuk Norazam Sulaiman kini semakin kritikal iaitu berada pada tahap empat dan terpaksa bernafas dengan alat bantuan oksigen.

Pasangan bahagia Datuk Norazam dan Datin Rebecca

 

Pasangan ini sudah mendirikan rumah tangga selama 14 tahun

 

HOSPITAL PENUH

“Apa yang paling menyedihkan adalah ketika menghubungi lebih 20 hospital ibu kota dan Selangor tiada satu pun mahu menerima suami yang memerlukan bantuan oksigen dengan segera susulan kepadatan pesakit yang positif.

Saya terpaksa tinggalkan kesemua anak-anak yang positif COVID-19 buat sementara waktu kerana perlu menemani suami yang dalam keadaan kritikal semalam.

Sebaik tiba di sebuah hospital swasta, kami diberitahu perlu menunggu giliran kerana jumlah pesakit yang ramai dan padat.

“Saya dan suami perlu menunggu hampir dua jam di tepi jalan di dalam ambulans” Datin Rebecca

 

Saya juga akui ada satu kedegilan apabila seboleh mungkin tidak mahu membawa suami ke hospital kerajaan atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) di MAEPS Serdang kerana saya amat takut jika keadaan suami akan bertambah teruk selepas melihatkan situasi di hospital swasta yang cukup menakutkan.

Sementara menunggu giliran untuk suami saya menerima rawatan di hospital itu, saya teringat ada sahabat memberitahu terdapat hotel di ibu negara yang menjadi Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) kendalian klinik swasta.

Jadi saya terus membawa suami untuk mendapat alat bantuan oksigen kerana keadaannya sangat kritikal.

Alhamdulillah, suami saya akhirnya menerima bantuan oksigen namun doktor memaklumkan dia kini berada di tahap 4 COVID-19.”

Menurut Datin Rebecca lagi, suaminya kini sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta.

Ketika mendapat panggilan telefon pusat perubatan di sini yang memaklumkan seorang pesakit COVID-19 dibenarkan pulang selepas keadaanya stabil, saya terus membawa suami ke hospital berkenaan.

Ketika berada di wad kecemasan hospital terbabit, saya sangat sedih apabila melihat suami saya buat pertama kali menangis di depan saya. Dia beritahu dia tak sanggup dan minta jangan tinggalkannya.

Berkali-kali dia cakap yang dia takut dan mohon saya berada di sampingnya. Namun saya diberitahu yang saya tidak boleh menemani suami di hospital kerana dia akan ditempatkan di wad yang lebih ketat kerana keadaannya yang sudah berada di tahap 4 ke 5.

Selepas selesaikan urusan suami, saya tiba di rumah sekitar 5 pagi tadi. Alhamdulillah setakat hari ini anak-anak semua tidak demam cuma dua pembantu saya kini perlu dibawa ke hospital.”

Kenangan romantis pasangan ini di Menara Eiffel

 

KUARANTIN KENDIRI

Tambah Datin Rebecca, selepas menjalani ujian saringan COVID-19, dia mengambil keputusan untuk menjalani kuarantin di rumah berbanding ke pusat kuarantin susulan jumlah pesakit yang semakin ramai dan keadaan pusat kuarantin yang padat.

“Selepas saya, suami, kesemua anak-anak dan pembantu rumah disahkan positif COVID-19, kami bersepakat untuk menjalani kuarantin di rumah.

Saya agak takut untuk membawa anak-anak dan pembantu ke pusat kuarantin kerana setahu saya keadaan di sana sangat padat.

Justeru saya mohon kepada kerajaan untuk rasalah apa yang rakyat hadapi sekarang. Total lockdown kena dilaksanakan.

Dugaan terhebat buat mereka apabila keluarga dijangkiti COVID-19

 

Sesungguhnya penyakit ini sangat bahaya dan jahat. Kalau tidak semakin ramai yang akan mati, jatuh sakit serta kehilangan insan tersayang,” katanya yang sudah pun mendapatkan vaksin sebelum disahkan positif COVID-19.

Sebelum ini, Rebecca berkongsi berita mengenai keluarganya termasuk tiga pembantu rumah disahkan positif COVID-19, pada 8 Julai lalu.

Share
Published by
Norzalina