Pertemuan paling epik dalam sejarah apabila dua ikon wanita yang memegang rekod Wanita Tertinggi Dunia dan Wanita Terpendek Dunia dilihat minum petang bersama.
Pertemuan minum petang di antara Rumeysa Gelgi, pembangun web dari Turkiye yang berusia 27 tahun dan pelakon India, Jyoti Amge, 30, tersebut diatur sempena sambutan ulang tahun ke-20 Hari Rekod Dunia Guinness (GWR).
Dua wanita pemegang rekod dunia itu dilihat bertukar cerita serta pengalaman hidup di hotel The Savoy, London.
Rumeysa Gelgi memegang rekod sebagai wanita tertinggi di dunia pada ketinggian 215.16 sentimeter (sm), manakala Jyoti Amge ialah wanita terpendek dengan ketinggian hanya 62.8 sm.
“Ia sangat menakjubkan bertemu Jyoti, buat kali pertama. Sukar untuk kami bertentang mata disebabkan perbezaan ketinggian kami, tetapi ia perasaan yang hebat.
Apapun kami memang mempunyai persamaan. Kami berdua suka bersolek, menjaga diri dan menatarias kuku,” kata Rumeysa.
Jyoti pula berkata, dia sudah biasa mendongak dan melihat orang yang lebih tinggi daripadanya, tetapi kali ini sangat gembira melihat wanita tertinggi di dunia.
“Saya gembira kerana saya bertemu dengan Rumeysa, dia sangat baik, dan saya berasa sangat selesa bercakap dengannya,” katanya.
Rumeysa menghidap penyakit jarang jumpa dipanggil Sindrom Weaver yang menyebabkan pertumbuhannya dipercepatkan dan kecacatan rangka. Untuk rekod dia adalah satu daripada 27 kes sama pernah didiagnosis, dan dia adalah kes pertama seumpamanya di Turkiye.
Dia menggunakan kerusi roda dan hanya boleh berdiri menggunakan alat bantu pejalan kaki untuk jangka masa yang singkat.
Jyoti pula yang memainkan watak Ma Petite dalam siri televisyen di Amerika Syarikat (AS) iaitu American Horror Story, mempunyai tubuh kerdil yang dikenali sebagai achondroplasia.
Mereka turut diberi penghormatan sebagai ikon GWR dalam edisi ulang tahun ke-70 buku rekod dunia itu.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/alia-bhatt-hidap-adhd-rupanya-heroin-bollywood-ini-sejak-kecil-sulit-untuk-fokus/
This website uses cookies.