Usah pandang remeh dengan perubahan yang berlaku pada diri. Apatah lagi apabila ia melibatkan soal kesihatan.
Biarpun kelainan yang dirasakan itu tidak hadir dalam bentuk yang mudah dilihat dengan mata kasar, namun kehadiran bintik merah yang lebih dikenali sebagai cherry angioma ini wajar diberi perhatian.
Menurut laman web Dr Josh Axe, cherry angioma yang berbentuk bulat atau bujur dan berwarna merah ini tumbuh di kulit dalam saiz yang kecil. Kebanyakannya tidak berbahaya dan bukan kanser.
Berdasarkan lampiran Case Reports in Dermatology, pertumbuhan bintik darah merah ini disebabkan pembiakan sel kulit yang tidak normal dan lazimnya tidak menyakitkan serta bukan masalah kesihatan jangka panjang. Apa-apa pun, segera berhubung dengan doktor jika ia mendatangkan mudarat kepada diri.
Wanita termasuk lelaki yang meningkat usia 30 tahun cenderung untuk mengalami pembentukan cherry angioma di bahagian bahu, lengan, dada, kulit kepala dan leher.
Kehadirannya dijangka meningkat kepada 70 hingga 75 peratus apabila seseorang itu mencecah usia 70 tahun. Pun begitu, kanak-kanak jarang mengalami gejala ini.
Secara ringkasnya ia berkait rapat dengan faktor genetik. Ada yang mengalami bintik merah ini dalam saiz dan warna berbeza.
Dan sesetengah daripada mereka mengalami bintik berwarna merah sedikit gelap mahupun terang bergantung kepada usia serta sebanyak mana mereka terdedah kepada cahaya matahari.
Rupa Bentuk
Biasanya berwarna merah buah ceri yang terang dan kelihatan seakan tahi lalat di kulit anda. Usah terkejut jika angioma hadir dalam warna biru, ungu atau hitam kerana ia adalah normal.
- Sesetengah angioma tumbuh secara mendatar dalam kulit dan ada juga yang membonjol.
- Bersaiz kecil seperti mata jarum peniti dan boleh membesar tetapi tidak terlalu ketara.
- Ada yang berdarah, membengkak dan meninggalkan kesan iritasi terutamanya jika tergaru, tergores atau cuba menanggalkan bintik ini.
- Rasa kenyal apabila disentuh terutamanya di bahagian tengah.
Penyebab
Punca sebenar kepada gejala ini masih belum dipastikan namun pakar mengesahkan ia berhubung kait dengan genetik keluarga yang mengalami masalah kulit. Selain itu, faktor penyumbang kepada cherry angioma termasuklah:
- Perubahan hormon atau kehamilan
- Organ hati tidak berfungsi dengan baik
- Pendedahan kepada toksik atau bahan kimia
- Terlalu lama berada di bawah sinar matahari atau keadaan cuaca
Rawatan Organik
Bintik merah ini boleh dihilangkan dengan rawatan laser. Tetapi pembentukannya juga boleh dikurangkan dengan menggunakan bahan-bahan organik.
- Sapu dengan minyak kelapa atau chamomile
- Tekap kapas muka yang direndam cuka epal ke kawasan terlibat
- Amalkan detoks melalui makanan dan minuman serta elakkan merokok