Walau pun berbadan kurus namun perut yang buncit membuatkan seseorang itu berasa kurang selesa serta kurang keyakinan diri.
Lebih melucukan apabila ada segelintirnya yang sengaja menggunakan taktik dengan menarik nafas sewaktu bergambar supaya perut terlihat kempis. Namun sampai bila anda mampu bertahan dengan cara demikian?
Bahagian perut dan pinggang paling mudah ditimbuni lemak lebih-lebih lagi selepas bersalin. Berikut adalah cara bagaimana untuk membantu anda mendapatkan perut yang kempis.
(a) Masak Makanan Ringkas
Memasak hidangan sendiri tentunya lebih sihat kerana anda boleh mencuba berbagai kaedah seperti bakar, gril, kukus atau panggang berbanding bergoreng.
Gunakan minyak yang sihat contohnya minyak zaitun atau minyak jagung berbanding minyak kelapa sawit atau marjerin. Bagi menambah perisa, elak mengambil garam sebaliknya gantikan dengan herba.
(b) Makan Sayur & Buah
Kedua-duanya dapat membantu mengekalkan berat badan ideal anda. Contohnya, dengan amalan meratah lobak merah mentah atau batang seleri yang dicicah bersama mentega kacang yang pasti membuatkan anda berselera.
Jika makan sandwic jangan lupa lupa masukkan hirisan tomato. Buah-buahan campuran yang dihiris dan digaul bersama yogurt boleh dijadikan snek kesihatan setiap hari.
(c) Variasikan Senaman
Lakukan pelbagai jenis senaman mudah mengikut kemampuan kerana ia sangat baik untuk minda dan tubuh. Menurut pakar diabetes, jurulatih kecergasan serta pemilik studio kecergasan dan nutrisi, Jim White tubuh akan terbiasa dengan senaman jika dilakukan berulang kali. Bagi meningkatkan stamina, gabungkan latihan kardio seperti berlari, yoga dan seni pertahanan diri.
(d) Senaman Kardio
Ramai beranggapan senaman kardio memerlukan treadmill dan perlu ke gimnasium. Tahukah anda, senaman kardio boleh berlaku ketika menaiki tangga mahupun berjalan kaki. Walaupun senaman kardio kelihatan santai namun ia mampu membakar banyak kalori dan menjadikan kadar denyutan jantung lebih sihat.
(e) Saiz Hidangan
Kira saiz hidangan yang diambil dengan merujuk kepada maklumat di bahagian label nutrisi. Di internet juga terdapat banyak laman web yang boleh anda rujuk untuk mengira saiz hidangan makanan.
(f) Baca Label Makanan
Membantu anda untuk menikmati makanan seimbang dan mengelakkan pengambilan makanan yang tidak sihat. Hindari membeli makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak.
Pilih makanan tinggi serat lebih daripada tiga gram untuk setiap hidangan. Ingat, lebih banyak makanan segar yang diambil, lebih mudah untuk anda mendapatkan nutrisi yang cukup dan seimbang. Amy Mohd