Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Itu perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan kehidupan yang sedang dilalui Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana ketika ini. Mana tidaknya, dari seorang bekas pramugari Thai Airways, Jeneral Suthida kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengawal Peribadi Raja Maha Vajiralongkron sebelum dilamar ‘majikannya’ itu dan kini bergelar Permaisuri Thailand. Bertuahnya!
Setelah sekian lama menjaga keselamatan dan melindungi Raja Maha Vajiralongkorn, Permaisuri Suthida yang dilaporkan berusia 42 tahun pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pemerintah Unit Pengawal Peribadi Raja Maha Vajiralongkorn pada tahun 2014 dan menerima kenaikan pangkat sebagai Jeneral pada Disember 2016.
Baginda seterusnya dilantik menjadi pengawal peribadi Raja Maha Vajiralongkorn pada tahun 2017 dan dianugerahkan Thanpuying iaitu gelaran diraja yang membawa gelaran Lady.
Sepanjang tempoh itu kelibat Suthida sentiasa berada di samping Raja Maha Vajiralongkorn demi memastikan keselamatan pewaris takhta Thailand tersebut dikawal rapi. Baginda juga sering dilihat lengkap berpakaian tentera ketika mengiringi Raja Maha Vajiralongkorn ke acara-acara rasmi.
Dilahirkan pada 3 Jun 1978, Akhbar Thai Rath melaporkan Permaisuri Suthida memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Komunikasi dari Assumption University pada tahun 2000. Dikurniakan raut wajah cantik, penampilan Permaisuri Suthida yang sopan dan bijak berfesyen juga menarik perhatian rakyat Thailand.
Paling menarik perhatian penulis, apabila Permaisuri Suthida mengenakan persalinan ala kebaya dengan kain batik bercirikan seni budaya Siam dan Indonesia! Memang tampak berbeza daripada gaya baginda sebelum ini.
Tahun lalu juga menyaksikan Raja Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida kerap turun padang bertemu serta beramah mesra dengan rakyat jelata. Tidak kira golongan kanak-kanak, remaja mahupun warga emas. Malah rata-rata rakyat yang berpeluang bertentang mata dengan raja mereka ini sempat merakam gambar kenangan bersama-sama.
Pasangan diraja ini melangsungkan perkahwinan di sebuah istana di Bangkok. Raja Maha Vajiralongkorn segak berpakaian seragam rasmi berwarna putih. Manakala Jeneral Suthida pula anggun mengenakan dress tradisional sutera Thailand merah jambu.
Upacara menandatangani ikrar perkahwinan Raja Maha Vajiralongkorn dan Jeneral Suthida turut disaksikan adindanya Princess Siridhorn dan salah seorang pemimpin tertinggi Thailand, Prem Tinsulanonda.
Turut menghadiri upacara tersebut ialah Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha dan beberapa ahli pemimpin Thailand.
Ia merupakan perkahwinan keempat baginda Raja selepas bercerai dengan isteri ketiganya, Puteri Srirasmi pada 2014 setelah 13 tahun berkahwin. Semuanya gara-gara pembabitan ahli keluarga Srirasmi yang dikatakan terlibat dalam skandal rasuah. Hasil perkongsian hidup, Raja Maha Vajiralongkorn dan Puteri Srirasmi dikurniakan seorang putera.
Raja Maha Vajiralongkorn yang menggunakan gelaran King Rama X, menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya, Raja Bumibol Adulyadej pada Oktober 2016 selepas memegang takhta diraja Thailand selama 70 tahun.
Upacara pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn sebagai Raja Thailand berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Mei 2019.
Sumber: Channel News Asia
Credit photo : Instagram Her Majesty Queen Suthida
This website uses cookies.