Wanita cantik yang pernah mewarnai filem hitam putih Melayu era 1960-an yang satu ini tetap anggun walau sudah melewati usia 70an. Wataknya sebagai isteri ketiga kepada Seniman Tan Sri P.Ramlee dalam filem Madu Tiga sehingga kini tetap menjadi ingatan seluruh peminat filem P.Ramlee.
Nama Datuk Hajah Sarimah Ahmad tetap menjadi lagenda sehingga kini. Walaupun sudah lama meninggalkan dunia glamor namun kehidupannya tetap menjadi buruan media dan peminatnya. Baru-baru ini cucu kepada wanita yang berasal dari Pekan, Pahang ini telah tular apabila berkongsi momen indahnya bersama Datuk Sarimah.
Cucu kepada Datuk Sarimah ini merupakan anak kepada pasangan M. Jamil dan Siti Rohani Wahid. Cucu lelaki yang dikenali sebagai Sadiq M.Jamil ini telah berkongsi beberapa keping fotonya bersama neneknya. Menerusi foto yang telah dikongsinya itu jelas kelihatan Pemenang Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-2, 1981 menerusi filem Dia Ibuku ini masih sihat dan kekal cantik di usia 78 tahun.
Khabarnya kini, Datuk Sarimah lebih selesa hidup sederhana. Menerusi laporan dari berita.mediacorp.sg, Datuk Sarimah menegaskan bahawa penglibatannya dalam dunia lakonan bukan untuk mengejar populariti, glamor dan juga duit.
“Kalau dulu masa saya muda, banyak sangat saya tinggalkan, banyak sangat saya lalai terutama dalam ibadah. Sekarang saya ada masa. Anak-anak dah besar. Saya pernah bercakap pada orang yang rapat dengan saya bahawa saya berlakon filem bukan nak mengejar populariti, bukan glamor, bukan mengejar duit.
Saya cuma nak membesarkan anak-anak saya. Saya dilahirkan dalam keluarga yang orang tua saya akan tekankan agama. Banyak dugaan dalam filem ini bila you dah terkenal. Nak dikatakan saya baik sangat tidak, tapi saya tahu siapa saya. Saya tahu apa yang ada di dalam dada saya. Alhamdulilah saya lepas dari segala benda-benda yang tak baik dalam hidup,” cerita Datuk Sarimah.
Sumber: gempak.com & berita.mediacorp.sg