Wanita sekarang bijak mengatur perjalanan hidup. Tidak bererti mengejar kekukuhan ekonomi sampai mengabaikan penjagaan diri. Jadi apakah cara yang dilakukan tiga orang wanita muda jelita ini agar kekal menawan? Nona mengintai rahsia mereka.
Nur E’zzati Zahari
25 tahun
Jurusolek & Pelukis Potret
Bagaimanakah cara anda mengekalkan kecantikan kulit?
Setiap malam sebelum tidur, saya akan mengamalkan empat langkah rutin penjagaan kulit iaitu membersihkan wajah, guna penyegar, sapu krim pelembap dan ratakan beberapa titis facial oil. Pada waktu siang, gantikan facial oil dengan krim tabir suria. Solekan akan nampak lebih cantik dan sekata jika kulit kita sihat.
Bagaimanakah wanita mampu mengekalkan kecantikan ketika cuaca panas dan kering?
Kekurangan air ketika cuaca panas boleh menjejaskan kelembapan kulit dan menjadikannya nampak kusam serta tidak bermaya. Jadi, penjagaan kulit yang baik dan solekan yang minimum dapat menaikkan seri pada wajah sepanjang menjalani cuaca panas.
Tip kecantikan yang anda amalkan?
Sapukan krim muka pada kulit yang masih lembap untuk memastikan krim meresap dengan lebih baik. Jika tidak suka memakai bedak asas, sedikit penyamar noda di bawah mata sudah cukup untuk tampil segar.
Jangan abaikan bibir yang mengelupas! Saya selalu gunakan tuala basah sebagai berus bibir dan sapu pelembap sebelum mengenakan gincu jenis matte.
Sri Putri Mayangsari Sheikh Muhammad
27 tahun
Usahawan
Bagaimanakah cara anda mengekalkan kecantikan kulit?
Tip saya senang sahaja, tetapi mesti rajin dan sabar. Saya berpegang pada dua produk ini. Pilih produk organik untuk penjagaan kulit kerana selamat dan berkesan tanpa bahan yang terlarang dan pakai krim tabir suria pada waktu siang supaya muka tidak terus terkena pancaran cahaya matahari.
Apabila memilih produk organik, kita perlu sabar dan untuk kekal cantik kena rajin. Paling kurang seminggu, dua kali saya buat normal facial
di rumah, skrub muka dan pakai masker. Seminggu sekali pula saya mandi wap di rumah untuk membebaskan toksin dalam tubuh. Selain itu saya juga mengambil makanan tambahan untuk kesihatan dan kecantikan dalaman.Bagaimanakah wanita mampu mengekalkan kecantikan ketika cuaca panas dan kering?
Ketika cuaca panas, kita perlukan penjagaan lebih kerana kurang minum air. Sebaik-baiknya minum air dengan banyak atau bawa air di dalam beg jika mempunyai tugasan di luar agar kulit sihat dan tidak berlaku hidrasi.
Tip kecantikan yang anda amalkan?
Amalan yang biasa saya lakukan adalah tidak minum ais dan tidak minum air bergas. Saya juga rajin merawat kulit agar kelihatan segar dan cantik dengan menggunakan produk yang diyakini.
Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal
26 tahun
Pengasas Gula Cakery & Gula Petite
Bagaimanakah cara anda mengekalkan kecantikan kulit?
Rutin tugas saya yang tidak menentu kadang-kadang membuat saya tidak dapat menjaga kecantikan dengan konsisten. Namun, saya tidak pernah lupa untuk mengunjungi klinik kulit tiap-tiap bulan. Disebabkan mempunyai kulit sensitif, saya perlu menggunakan produk yang dinasihatkan oleh doktor. Lebih-lebih lagi kerap berada di depan ketuhar membakar kek!
Bagaimanakah wanita mampu mengekalkan kecantikan ketika cuaca panas dan kering?
Dalam menghadapi cuaca panas atau cuaca tidak menentu, kadang-kadang boleh menyebabkan wajah kelihatan pucat dan tidak bermaya. Jadi untuk mencipta wajah yang segar, letak sedikit solekan atau bedak asas lebih-lebih lagi kalau hendak berjumpa klien atau menghadiri mesyuarat.
Tip kecantikan yang anda amalkan?
Nenek saya selalu suruh makan buah-buahan untuk kekal cantik. Pada waktu malam saya tidak pasang pendingin hawa sebab muka akan cepat kering. Biasanya saya akan pasang pendingin hawa awal-awal kemudian tutup untuk tidur. Hamizatul Maizan Mohamed
This website uses cookies.