
Sempena sambutan Hari Malaysia, sudah pasti ramai yang mengambil peluang bersama keluarga untuk makan bersama makan di luar. Pho Street, restoran yang menyajikan menu autentik makanan jalanan Vietnam atau Vietnamese Street delights melancarkan promosi merdeka dengan bertemakan “We Are Pho Everyone” di mana promosi tersebut pastinya menjadi sebahagian sambutan istimewa sempena 62 tahun kemerdekaan.
Dari 9 hingga 16 September, hidangan Pho Beef Combination dijual pada harga diskaun sebanyak RM6.20 di mana harga asalnya adalah RM19.90! Sepanjang tempoh promosi, pelanggan hanya perlu membayar sebanyak RM13.70++ sahaja.
Pho Street merupakan sebuah restoran mesra Muslim yang popular menjual pelbagai hidangan Vietnam yang enak dan menyelerakan. Antara menu istimewa yang dihidangkan di Pho Street termasuklah Pho Beef Combination atau lebih dikenali sebagai Beef Noodles. Menu ini amat istimewa kerana supnya direneh selama 8 jam untuk mendapatkan rasa yang autentik selain rice noodles dibawa khas dari Vietnam serta bebola daging yang menggunakan rempah rahsia tradisi yang dijamin halal.
Selain hidangan Pho Street Combination, Pho Street turut menyediakan hidangan snek terkenal Vietnam antaranya termasuklah banh mi (sandwich Vietnam) dan kopi Vietnam yang terkenal dek keenakannya. Antara menu yang terdapat di sini termasuklah Pho Street Summer rolls with prawn dip and sweet sauce serta pelbagai minuman ringan yang menyegarkan.
5 Makanan Tradisi Orang Selangor Wajib Cuba, Sedap Dan Menggiurkan!

Selangor dan segala kehidupan yang bernafas di dalamnya. Bagi mereka yang tinggal di Selangor, bumi bertuah ini bukan saja menjadi tempat bermastautin, tapi rumah keluarga membesar dan lubuk rezeki yang melimpah-ruah.
Disebabkan faktor migrasi dan kemasukan pekerja asing yang telah berpindah mencari peluang pekerjaan, negeri Selangor berkembang dengan kepelbagaian budaya dan makanannya.
Bagi penduduk negeri lain, inilah lima makanan tradisional Negeri Selangor yang menyelerakan. Selain berkhasiat dan lazat, ia juga mudah dibuat sebagai variasi santapan keluarga anda nanti. Cubalah!
(1) Pecal

Pecal sayur yang sangat lazat ini juga dikenali sebagai Salad Jawa. Ia dihidangkan dengan sos kacang dan aneka sayur-sayuran segar. Persediaan untuk membuat pecal ini adalah sangat mudah dan boleh dicuba di rumah pada bila-bila masa! Antara ramuan pentingnya adalah kacang tanah untuk menghasilkan kuah kacang, tauhu, taugeh, kacang hijau dan timun.
(2) Nasi Ambeng

Sudah menjadi tradisi untuk menghidang Nasi Ambeng dalam satu pinggan yang boleh dikongsi beramai-ramai di antara empat hingga ke lima orang! Semasa menyiapkan menu Jawa-Melayu ini, anda tidak boleh melupakan ramuan utama seperti nasi putih, ayam, mi goreng, kacang panjang, sambal tempe dan daun pisang!
(3) Sambal Taun

Makanan tradisional yang berasal dari Jawa ini kerap dimasak pedas dengan penggunaan cili yang banyak semasa penyediaannya. Sering kali di Selangor, kulit lembu akan dijadikan sebagai protein utama sajian ini, akan tetapi ia boleh digantikan dengan kerang, paru lembu atau ikan bilis. Bahan-bahan lain yang diperlukan pula adalah bawang merah, bawang putih, belacan, santan kelapa, minyak, asam jawa, gara dan gula.
(4) Wadai Kipeng

Dalam perkataan Banjar, ‘Wadai’ bermaksud ‘Kuih’, sementara ‘Kipeng’ pula merujuk kepada potongan. Sejak dulu lagi, telah menjadi tradisi masyarakat Banjar untuk menyajikan Wadai Kipeng semasa majlis kesyukuran mereka! Satu perkara yang perlu anda ketahui, ia adalah sangat mustahil untuk menyediakan menu yang enak ini tanpa enam ramuan iaitu tepung beras, kelapa muda, gula melaka, gula pasir dan daun pandan!
(5) Bahulu Kemboja

Bahulu Kemboja boleh dihidangkan pada bila-bila masa, sama ada untuk sarapan mahupun semasa waktu minum petang. Walaupun kuih ini sering dijual di pasaran tetapi untuk mencari keasliannya seperti hasil air tangan orang Selangor amatlah sukar untuk dicari. Untuk mengekalkan keenakan dan keunikannya, bahan terpenting yang diperlukan adalah air pandan asli hasil tapisan daun pandan, tepung gandum, tepung beras, susu kelapa, telur, bijan dan sudah pasti, gula dan garam untuk perasa!
Dengan pelbagai pilihan makanan tradisional di negeri ini, tidak hairanlah Selangor terpilih sebagai pusat gastronomi di Malaysia. Sama ada hidangan istimewa seperti lauk-pauk, ataupun kuih-muih yang enak, resipi tradisional seperti yang disertakan dalam senarai ini tentunya harus anda cuba sediakan!
Sumber: Tourism Selangor
Sekali Cuba Pasti Mahu Lagi, Ini Dia Tarikan MASAKAN KELANTAN! Jom Cuba

Jamu selera keluarga hujung minggu ini dengan juadah popular dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Selain terkenal dengan sos budunya, resipi kali ini khas buat anda yang berasal dari Kelantan dan tinggal di perantauan.
Sambil beristirahat hari ini, boleh cuba resipi Ketupat Sotong dan Gulai Kawah. Selamat mencuba!
KETUPAT SOTONG
Bahan-bahan:
- 1 kg sotong bersaiz sederhana dan segar
- ½ kg santan pekat
- 3 ketul gula Melaka
- 1 cawan beras pulut
- 10 helai daun pandan
- Garam
- Gula
- Pencungkil gigi / lidi
Cara membuat:
Bersihkan sotong, buang bahagian kulitnya yang berwarna hitam dan toskan. Basuh beras pulut dan rendamkan seketika dengan sedikit santan dan garam. Seterusnya, ambil sotong yang telah dibersihkan tadi. Dengan menggunakan sudu kecil, masukkan beras pulut tadi sehingga separuh badan sotong. Pastikan ia tidak diisi penuh untuk mengelak menjadi keras dan mentah. Kemudian, ambil kepala sotong dan masukkan ke dalam badannya yang berisi beras pulut tadi. Cucukkan pencungkil gigi di bahagian depan dan belakang. Di dalam periuk, lapik bahagian dasarnya dengan daun pandan sehingga melitupi permukaan periuk. Susun sotong memenuhi ruang dasar dan tindan perlahan-lahan. Masukkan pula santan pekat bersama sedikit garam dan gula Melaka. Hidupkan api paling kecil dan tutup periuk. Masak selama 30 hingga 45 minit atau hingga pulut dalam sotong masak.
GULAI KAWAH
Bahan-bahan:
- 500 gram daging lembut (campur urat, perut, rusuk dan ekor)
- 2 sudu makan kerisik
- 500 ml santan pekat
- 2 sudu makan gula merah / perang
- 20 gram ketumbar (dikisar)
- 20 ml budu
- 2 keping asam keping
- Rempah 4 sekawan
- Garam secukup rasa
Bahan-bahan kisar:
- 20 tangkai cili kering / serbuk cili
- 1 sudu makan rempah kari daging
- 2 sudu makan rempah gulai darat
- 7 ulas bawang putih
- 3 cm halia
- 2 cm lengkuas
Cara membuat:
Panaskan minyak dan tumis rempah empat sekawan sehingga wangi. Selepas itu, masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan juga ketumbar. Tumiskan sehingga naik bau. Seterusnya, masukkan daging dan kacau rata. Tuang sedikit air dan kacau sekali lagi. Apabila masakan sudah naik minyak, masukkan santan, kerisik, budu, garam secukup rasa dan gula merah. Biarkan ia mereneh sehingga mendidih. Kemudian, masukkan asam keping dan hingga pekat. Angkat dan hidangkan.
Resipi: TERIMA KASIH CEF OTHMAN ABU BAKER, SWISS-GARDEN RESIDENCES & HOTEL KUALA LUMPUR (www.swissgarden.com)
Dekorasi MEWAH, Hidangan AUTENTIK Melayu Pilihan Chef Wan!

Sudah beberapa kali menulis menemuramah cef popular yang sinonim dengan perwatakan yang mudah untuk didekati ini. Setiap kali menemuramahnya, beberapa kali dia membisikkan hasrat untuk membuka sebuah restoran yang menyajikan pelbagai hidangan Melayu dan gabungan Baba dan Nyonya untuk dinikmati oleh penggemar hidangan istimewa masyarakat Malaysia ini. Tahun ini, Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan bin Ismail mengotakan janjinya dengan membuka restoran dikenali sebagai De.Wan 1958 by Chef Wan ketika umat Islam sibuk dalam mempersiapkan diri menghadapi bulan Ramadan Al Mubarak.
De. Wan 1958 by Chef Wan yang dibuka di The Linc, sebuah bangunan yang berlokasi strategik di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur kini menjadi salah satu lokasi ikonik untuk menikmati hidangan yang bukan sahaja disediakan oleh sepasukan cef yang berpengalaman serta mendapat tunjuk ajar sendiri oleh Chef Wan terutamanya dalam menyediakan pelbagai menu keluarganya untuk sama-sama dinikmati oleh para pelanggan yang datang menjamu selera di De. Wan 1958 by Chef Wan ini.
Memahami personaliti Chef Wan yang sentiasa inginkan mutu hidangan terbaik untuk disajikan kepada para pelanggan, Chef Wan tidak lokek berkongsi ilmu dan memberi tunjuk ajar kepada barisan cef yang mengemudi bahagian penyediaan hidangan di De. Wan 1958 by Chef Wan agar hidangan yang disajikan tidak banyak bezanya dengan air tangan hasil masakan Chef Wan sendiri. Tidak hairanlah, cef selebriti ini sentiasa meluangkan masa berada di restoran kesayangannya bagi memastikan segala operasi berjalan dengan lancar.
Ketika pertama kali penulis melangkah masuk ke De.Wan 1958 by Chef Wan, penulis teruja melihat konsep dekorasi yang diterapkan di sini. Mana tidaknya, walaupun ia menyajikan hidangan masakan Melayu, gaya dekorasi yang elegan dengan gabungan elemen moden yang mewah menjadikan ia sebuah restoran mewah yang membawa hidangan Malaysia ke satu peringkat yang lebih tinggi! Ya, tidak dapat dinafikan Chef Wan banyak menggunakan unsur dekorasi bagaikan berada di kediamannya sendiri dengan penggunaan rona mewah seperti merah, gabungan panel kayu yang diberi sentuhan mewah, susun atur beberapa porselin kesayangannya serta beberapa hasil seni lukisan yang digantungkan di dinding restoran. Ternyata, Chef Wan mempunyai taste yang tinggi dalam seni dekorasi yang diterapkan di restorannya.
Selain ruang makan yang terbuka, De. Wan 1958 by Chef Wan turut menyediakan beberapa bilik persendirian untuk membolehkan tetamu yang datang secara berkumpulan menikmati hidangan yang disediakan dalam suasana yang lebih eksklusif dan tanpa gangguan. Malah, sebuah meja makan Panjang yang boleh menempatkan sehingga 20 orang tetamu juga menjadi pilihan pelanggan yang datang secara berkeluarga menikmati hidangan dalam suasana yang lebih mesra.
Usai menyebut tentang dekorasi yang diterapkan, pastinya para pelanggan yang datang ke De.Wan 1958 by Chef Wan tidak sabar untuk menikmati pelbagai hidangan yang disediakan di sini. Untuk hidangan tengah hari atau malam, De. Wan 1958 by Chef Wan menyediakan tidak jenis nasi yang terdiri dari nasi putih,nasi kuning dan nasi ulam untuk dinikmati oleh para tetamu.
Antara hidangan masakan Melayu yang boleh dinikmati di sini termasuklah kerabu pucuk paku bersama kerang, ikan jenahak goreng bersama sos soya, pulut hitam bersama durian, ikan bakar, kambing kuzi, cucur udang, popiah istimewa air tangan Chef Wan, ayam kapitan, gulai lemak udang bersama nenas gaya Nyonya dan sebagainya. Malah, sepanjang Ramadan lalu, restoran milik Chef Wan ini menerima sambutan yang hangat di kalangan penggemar hidangan masakan Melayu untuk dinikmati ketika sajian berbuka puasa.
Ditambah pula dengan edisi Hari Raya dan rumah terbuka pula, Chef Wan mengambil inisiatif dengan memperkenalkan beberapa menu baharu yang bersesuaian untuk jamuan hari raya bagi membolehkan makanan tradisi Melayu diberi sentuhan lebih eksklusif khususnya agar ia dapat menarik kunjungan pelancong asing untuk mencuba hidangan Melayu dan Malaysia yang kaya dengan hidangan yang menyelerakan.
Jadi, untuk menghargai menu warisan, kunjungan ke De.Wan 1958 by Chef Wan boleh dijadikan pilihan kerana ia bukan sahaja menyajikan hidangan yang enak dan menyelerakan, tetapi tidak mengambil ringan soal kualiti bahan mentah yang digunakan. Menyentuh soal harga pula, ia masih berada pada tahap mampu milik apatah lagi sesuai dengan kualiti hidangan serta dekorasi yang disediakan sambil menjamu selera. Berbaloi bukan!