Nampaknya tanggal 1 Syawal yang lalu, Puteri Sarah Liyana memilih untuk meraikan hari pertama Syawal bersama ibu bapa mentuanya, iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail di kediaman Yusof Haslam yang terletak di pinggir ibukota.
Melihat hantaran Instagram (IG), Puteri Sarah tampil berseri menggayakan busana hijau beraya di kediaman Yusof, bersama kedua-dua anaknya iaitu Sumayyah dan Syaikhul Islam. Foto dikongsi juga memaparkan Puteri Sarah bersalaman dengan Yusof dan Patimah seperti kebiasaan yang dilakukan pada pagi Aidilfitri.
Puteri Sarah dilihat sebagai seorang wanita yang cekal dan meletakkan kesedihannya ke tepi untuk memastikan kedua-dua anaknya dapat menyambut Hari Raya dalam suasana yang penuh kegembiraan.
Puteri Sarah atau nama penuh, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin menganggap tiada apa yang perlu ditangisi, apatah lagi, meratap pada hari kemenangan umat Islam itu.
“Sambutlah hari raya dengan gembira tanpa memikirkan masalah. Tidak perlu kita hendak merenung semula apa yang sudah terjadi.
“Hari raya adalah hari untuk bergembira, bukan untuk kita bersedih,” katanya yang turut meletakkan tanda pagae #teamrayasingle dalam hantaran gambar dirinya seorang diri.
Hantaran Puteri Sarah mengenai suasana 1 Syawal dirinya dan anak-anak meraih banyak pujian netizen yang memuji keakraban hubungan menantu dan mentua yang terjalin di antara Puteri Sarah dan Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah.
Ada di kalangan netizen memuji betapa beruntungnya Puteri Sarah menjadi menantu kesayangan keluarga mentuanya itu. Keakraban hubungan keluarga ini sememangnya menjadi inspirasi banyak pihak yang melihat keluhuran kasih sayang yang terjalin di antara mereka.
Malah pasangan suami isteri itu juga sering menjadi tempah rujukan Puteri Sarah dalam apa jua tindakan yang bakal diambil. Semoga ibu kepada dua cahayamata ini dapat meraikan Syawal dalam suasana yang lebih tenang dan anak-anak tersayang dapat meraikan Syawal dengan penuh kegembiraan.
Doktor Veterinar Jadi Usahawan & Penulis Buku, DR ARIFAH Mahu Jadi Huffaz Profesional Berjaya Dunia Akhirat!
Walau mempunyai kelulusan dalam bidang veterinar namun Dr Arifah Mohd Zain seorang wanita berjiwa seni dan kreatif. Tidak sekadar mampu merawat haiwan, dia juga berkebolehan menulis buku, menggubah lagu, mahir bidang fotografi dan berniaga. Memang serba boleh orangnya!
Difahamkan Dr Arifah yang dilahirkan pada 6 Januari 1992 di Kuala Terengganu makin rancak menyiapkan projek sulungnya bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). “Buat masa sekarang kami di peringkat pre-production untuk filem pendek Royal Vet Detective. Kami masih perlukan kira-kira tiga bulan lagi untuk siapkan projek ini dan dijangka ditayangkan dalam tahun ini atau tahun depan.”
Biarpun sibuk dengan rutin seni namun minat terhadap dunia veterinar dan perniagaan tetap tidak dilupakan. Sebagai pemilik Q Vet International, Dr Arifah kini dalam perancangan untuk mencari rakan niaga bagi melebarkan empayar bisnes miliknya di samping dalam usaha memohon dana dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi membuka pet hotel.
Menelusuri perjalanan awal Dr Arifah sebagai doktor haiwan yang juga usahawan, anak bongsu daripada tiga beradik ini lantas membuka bicara. “Saya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kedoktoran Perubatan Veterinar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang tamat pengajian selama 7 tahun dan berasal dari Kuala Terengganu.
Ibu saya bertugas sebagai jururawat, dan ayah pula berkhidmat sebagai guru sekolah menengah. Kedua-duanya sudah pun bersara. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Seri Budiman 2, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman.
Sebelum ini saya pernah mengikuti program Asasi Engineering di Centre of Foundation UIAM Petaling Jaya dan selepas tiga semester di UIA PJ, saya tukar ke program persediaan Asasi Keusahawanan Sains UMK di Kolej Mara Kulim, kemudian sambung belajar di Fakulti Perubatan Veterinar, UMK dalam Sarjana Muda Kedoktoran Perubatan Veterinar (DVM) pada tahun 2016 dan tamat pengajian 2019.
Mula terdetik berniaga ini masa saya tolong jaga kedai runcit milik keluarga pengasuh suatu ketika dulu. Walau ibu bapa tak ada latar belakang perniagaan tapi sejak kecil saya dah mula minat berniaga sampai sanggup ambil tempahan kerepek 50 sen daripada kawan-kawan di sekolah.
Saya menjadikan Baginda Rasulullah SAW dan Siti Khadijah sebagai sumber inspirasi dalam perniagaan. Selain itu, saya juga tertarik dengan cara pemasaran usahawan terulung dunia, Elon Musk, Irfan Khairi dan Tony Robbins.”
Ditanya bagaimana boleh mendalami bidang veterinar, doktor berusia 29 tahun ini lantas berkongsi kisah. “Sebab utama saya pilih belajar bidang veterinar dan mengusahakan perniagaan berasaskan bidang tersebut juga adalah sebab minat yang mendalam terhadap haiwan.
Lagi-lagi masa kecil, saya pernah mempunyai kucing peliharaan sendiri dari jenis baka Maine Coon. Malangnya kucing kesayangan saya mati kerana dilanggar kereta ayah sendiri masa pulang dari kampung.
Produk pertama yang dijual ialah naskhah buku V For Veterinar. Buku ini saya tulis bersama team veterinar lain dan alhamdulillah berjaya dapat royalti hasil jualan. Selain jual buku, servis yang ditawarkan Q Vet International PLT ialah Vet Angels Store iaitu produk-produk veterinar, lukisan, servis grooming dan hotel untuk haiwan.
TV Vet Angels pula berkaitan saluran untuk pendidikan dan kelas personal coaching. Q Vet Production & Studio pula tawar servis untuk fotografi, videografi, produksi filem dan gubahan lagu. Pendek kata, bisnes Q Vet International ialah business retails yang turut ada servis multimedia seperti fotografi, video dan suntingan.
Q Vet ini bukan klinik veterinar, ia adalah kiosk yang menjual produk veterinar seperti buku, servis grooming, makanan haiwan dan sebagainya. Saya selalu buka booth ini di pusat-pusat beli belah tapi sebab situasi pandemik ketika ini terpaksa beralih kepada perniagaan secara online.”
Sedar realiti dan susah senang untuk mempunyai klinik veterinar sendiri, Dr Arifah bagaimana pun terpaksa akur untuk tidak terburu-buru membuka klinik sendiri sebaliknya perlu lebih mendalami selok-belok bidang tersebut terlebih dahulu.
“Memandangkan saya baru habis belajar dan banyak yang perlu dipelajari, saya belum mampu buka klinik veterinar sendiri dan perlu cari pengalaman kerja di klinik veterinar milik orang lain. Malah ibu ayah pun minta saya cari pengalaman kerja dengan orang dulu.
Bila dah ada pengalaman, baru fikir langkah seterusnya. Sebelum ini saya bekerja sambil buat bisnes ni tapi sekarang mahu fokus berniaga balik.
Selain pasang impian untuk ada klinik veterinar, saya juga simpan hasrat untuk tubuhkan akademi modelling bercirikan islamik. Semuanya selepas saya berjaya mendapat gelaran Miss Unique Kejora 2020 dalam satu pertandingan ratu cantik tidak lama dulu.
Alhamdulillah sepanjang melibatkan diri dalam keusahawanan bidang veterinar, saya bersyukur terima bonus passive income dan royalti hasil jualan penulisan buku yang saya serta kawan-kawan terbitkan.”
Tertarik dengan ‘keistimewaan’ hasil penulisan buku tersebut, Dr Arifah berkata dia sedang dalam proses menghasilkan satu lagi projek penulisan. Sambil mengakui ingin menjadi penulis berbakat seperti penulis filem JK Rowling.
“Bercerita tentang impian 10 tahun akan datang, saya ingin menjadi seorang huffaz profesional yang berjaya di dunia dan akhirat, menjadi pengarah filem berjaya dan mewakili Malaysia ke Oscar, mencapai DTM (Distinguished Toastmasters) dan jadi motivational coach macam Tony Robbins.
Kalau nak sebut satu-satu memang banyak yang dirancang. Yang pasti, untuk kemajuan bidang veterinar, saya berhasrat menghasilkan produk inovatif yang berasaskan nanotechnology in veterinary medicine kelak. Selain diizinkan untuk menubuhkan akademi peragaan islamik dan melahirkan generasi huffaz profesional yang unik.”
Semoga usaha murni dan impian Dr Arifah dapat dicapai dengan jaya!
7 Tahun Jadi Usahawan & Aktif Buat Kebajikan, Semangat DATIN DIYANA HALIK Patut Jadi Ikutan!
Kejayaan Datin Diyana Halik sebagai usahawan memang patut dijadikan inspirasi. Mana tidaknya, walau berstatus isteri dan ibu kepada tiga anak beliau tetap mampu mengusahakan perniagaan dengan baik. Ini dibuktikan apabila Datin Diyana berjaya mengharungi jatuh bangun dalam dunia keusahawanan sepanjang tujuh tahun menguruskan empayar muslimah miliknya, Diyana Halik. Tahniah!
Bermula dengan hanya menjual tudung jenis selendang, square dan instant, jenama Diyana Halik yang diasaskan pada tahun 2014 ini nyata memberi pulangan menguntungkan buat isteri Dato’ Aaron Aziz. Biarpun sibuk mengurus kerjaya seni suami dan anak-anak, Datin Diyana tetap komited mahu bergelar usahawan berjaya.
Kegigihan wanita kelahiran Singapura ini jelas menunjukkan sifatnya yang berdaya saing. Walau kerjaya suami mampu menyara mereka sekeluarga namun Datin Diyana selesa berdikari. Tujuh tahun mengemudi perniagaan, Datin Diyana kini mampu tersenyum bangga apabila satu persatu produk jualannya mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan.
Mesra ditemu bual Nona, Datin Diyana Halik teruja berkongsi perkembangan bisnesnya ketika ini. “Sehingga sekarang, jenama Diyana Halik sudah pun mempunyai lebih daripada 40 koleksi sejak ia dilancarkan pada tahun 2014. Our collections now termasuk telekung dress, reusable face mask dan juga aksesori pakaian yang bersesuaian dengan para hijabi serta muslim women.”
Ujarnya lagi, menyedari situasi pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau terpaksa mengubah strategi pemasaran yang lebih tertumpu secara atas talian. “Waktu Covid-19 kita full fledge online. Segalanya di buat in-house. Zoom meetings, photo shoots and video shoots dan sebagainya. Literally di rumah. LIVE sale di FB dan juga IG.
Bila berlakunya situasi macam ni antara hikmah yang saya dapat ialah kita mula menjadi creative to survive and sustain. Malah, dapat fokus lebih untuk ibadah dan meluangkan lebih masa dengan keluarga. More game nights and girls talk!”
Tidak pernah lelah ‘berkejar’ masa menunaikan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan majikan, wanita cantik berusia 39 tahun ini juga seorang yang aktif menyertai aktiviti kebajikan. Naluri keibuan dan jiwa prihatinnya mudah tersentuh lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal kehidupan anak kecil.
“Saya sering mendapat DM (direct message) untuk pertolongan. Dan kita perlu bersyukur kepada Allah SWT atas setiap nikmat yang diberikanNya. Bagi saya, salah satu cara untuk bersyukur adalah dengan membuat kebajikan. Walaupun kita tak dapat menolong semua orang dengan wang ringgit tapi kita boleh menggunakan media sosial kita untuk ke arah kebaikan.
Alhamdulillah, melalui Pertubuhan Journey to Insyirah kita dapat menghulurkan bantuan berupa food pack kepada orang-orang yang memerlukan. Selain itu, saya pun terlibat dalam charity drive to Cambodia iaitu wakaf telaga dan rumah yang dilakukan bersama kawan baik saya, Mila di Singapura.
Saya selalu ingat apa yang Ustaz saya pesan, “Kalau di dunia nak hidup senang bawa Mercedes ke, BMW ke, akhirat tak nak senang ke? Kalau di akhirat dah tak boleh usaha dah. Kalau kerja dapat gaji alangkah best dapat bonus.” So kita cuba mendapatkan bonus di akhirat kelak. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kami. Ameen.”
Oktober tahun lalu, putera sulungnya Danish Anaqi selamat berangkat ke Jepun untuk melanjutkan pengajian. Pasti bukan mudah bagi mana-mana kaum ibu untuk berjauhan dengan anak yang berada di negara asing. Apatah lagi Danish ketika itu baru berusia 16 tahun. Namun demi masa depan anak tersayang, Datin Diyana akur.
“Iya, Danish berumur 16 tahun. Sekarang sudah hampir lapan bulan. Rasa lama sangat dah. Selepas hantar anak ke airport, saya terduduk menangis dalam toilet dan suami terpaksa pujuk. Di airport saya kena kuat untuk keluarga, bergurau senda dengan mereka tapi Allah SWT saja yang tahu.
Hari-hari saya ingatkan diri saya bahawa have faith, tawakkul in Allah SWT. He is the best protector dan doa yang boleh saya berikan. Alhamdulillah getting used to it. Every night we video call each other. Banyak berdoa dan sokongan dari suami sangat menolong.”
Bercerita mengenai kehidupan berumah tangga, tanggal 3 Ogos nanti genap 18 tahun usia perkahwinan Datin Diyana dan Dato’ Aaron. Berkongsi resipi rumah tangga harmoni, ini pesan beliau. “Believe it or not alhamdulilah almost 18 years now, and we are still learning and striving to be better. But compromising and communication is still the key. Dan saya berpegang kepada prinsip suami saya, “Walaupun gaduh macam mana, jangan keluar rumah dan tetap tidur sekatil. Selagi berpegang kepada amanah, insha Allah segalanya dipermudahkan.”
Hasil perkongsian hidup, pasangan romantis ini dikurniakan seorang anak lelaki dan dua anak perempuan iaitu Danish Anaqi, Dwi Ariana dan Dahlia Arissa.
Kredit foto: Instagram Datin Diyana Halik
Ikat Perut & Tidur Di Airport, Terharu Struggle Pasangan PJJ Ini Mahu Berbakti Pada Masyarakat
Kata orang, perkahwinan jarak jauh (PJJ) banyak cabarannya. Yang dekat pun banyak menduga, inikan pula pasangan yang jauh di mata. Tapi berlainan kisah Zharudin dan Mariana. Mereka reda PJJ demi janji di atas motosikal, 10 tahun lalu.
Jangan ditanya apa sumbangan negara pada kamu, tetapi tanyalah apa sumbangan kamu pada negara.
Sebenarnya ada ramai anak bangsa yang mendahulukan kepentingan negara, berbanding diri sendiri. Salah satunya anak Bintulu, Sarawak bernama Zharudin Naruddin ini.
Berusia 35 tahun, lelaki berjawatan Pengurus Besar di sebuah anak syarikat Badan Berkanun Kerajaan itu juga merupakan antara yang termuda di Malaysia.
Namun untuk sampai ke jawatan sekarang, banyak air mata yang tumpah dan pengorbanan yang harus dilakukan.
“Kami sentiasa berjauhan sejak tahun 2018 atas faktor pekerjaan dan urusan pendidikan kami.
Bayangkan sejak itu saya ke KL setiap dua minggu dan simpan duit makan untuk tambah duit belanja sewaktu mengambil Master di UUMKL.
Saya terpaksa buat di KL sebab hanya UUMKL sahaja ada pilihan kursus Pengurusan Awam dan kelas setiap dua minggu (weekends).
Dan di KL, saya tidur di airport sebab tak cukup duit untuk menyewa hotel. Kami sanggup berhabis duit demi pendidikan. Walaupun kadang berlapar.” Zharudin
Bapa anak dua yang kini menggenggam Master Pengurusan Awam itu turut menyemat satu cita-cita. Beliau mahu berkhidmat kepada masyarakat dan membina semula Malaysia yang berjaya.
ISTERI DOKTOR PAKAR
Pasangan Zharudin iaitu Dr Mariana Tumin pula merupakan anak Simpang Renggam, Johor berusia 34 tahun.
“Isteri saya bercita-cita mahu menjadi doktor pakar dan beliau juga tekad untuk berkhidmat pada masyarakat. Saya yakin kerjaya beliau sekarang di laluan yang betul, insyaAllah.
Beberapa hari lepas, isteri saya lulus Professional Exam for Doctor of Public Health. Saya tahu ia bukan mudah untuk dilalui.
Bila dapat berita kejayaan ini, saya rasa lagi risau kerana langkah seterusnya sebagai Pakar Kesihatan Awam bukanlah satu tugasan yang mudah.
Tugasnya secara ringkas adalah memastikan kesihatan komuniti terjamin termasuklah hal-hal pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.
Masih segar di ingatan ketika kami saling berbincang di atas motor sambil bersiar-siar di Kampung Jepak, dan saling bersetuju bahawa kita akan menjadi milik masyarakat dengan memberi khidmat kepada mereka.
Jadi kami bersetuju untuk letak mindset tersebut 10 tahun lepas,” cerita Zharudin.
SUKA DUKA
Sambungnya lagi, “Ketika saya berkhidmat di Petronas, dia pula berkhidmat di klinik kesihatan Bintulu. Tahun 2016 saya menyahut cabaran untuk berada di pentas politik dengan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak. Kami tahu ketika itu persediaan telah dilakukan kerana pasti tidak akan menang kerusi tersebut.
Orang muda, baru sahaja dalam alam pekerjaan. Bermulanya cabaran besar buat kami ketika pasca pilihan raya. Pada ketika itu isteri saya pernah berhasrat menangguhkan pengajiannya. Saya nekad paksa dan beri motivasi padanya untuk teruskan perjalanan. Dia akur dan daftar juga.
Dia semakin risau kerana apabila cuti belajar beberapa elaun dia tidak akan perolehi dan keadaan ini akan terus menjejaskan keadaan kewangan kami. Saya simpan sahaja tangisan ketika itu.
Takdir menentukan dia telah terpilih setelah beberapa sesi temu duga di Semenanjung. Perjalanan ke sini memang menduga kerana kami tidak cukup duit belanja. Tapi redah sahaja dan doa banyak-banyak.
Akhirnya tahun 2017, beliau daftar kemasukan sebagai pelajar pasca siswazah untuk program Master dan PhD selama 4 tahun.
SAMA-SAMA BELAJAR
Apabila berpindah ke Kuching, saya tiada pekerjaan. Sukar untuk mendapatkan kerja pada ketika itu apabila kejatuhan harga minyak berlaku sejak 2015. Isteri saya sepenuh masa belajar.
Puas juga saya cari kerja tapi tidak dapat. Memang rasa tertekan juga pada masa itu. Ketika itu juga saya masih dalam pengajian Master. Saya nekad cari sumber mata pencarian yang lain, antaranya sebagai Grab Driver.
Tahun 2018, isteri saya bersalin anak kedua. Mengimbau momen kesusahan kami, saya teringat waktu dia di bilik bersalin.
Pada telefon pintar saya ketika itu keluar notifikasi ‘new passenger request’ iaitu dari Hospital Umum Sarawak ke Matang Jaya.
Ya. Saya tekan accept dan saya rasa ini akan tambah pendapatan hari tersebut. Perjalanan hampir 40 minit pada waktu petang yang sesak. Setelah saya habis menghantar penumpang tersebut, saya sempat minta doa supaya isteri saya selamat bersalin.
Alangkah terkejutnya penumpang tersebut dan sepasang suami isteri berbangsa Indonesia itu terus rasa bersalah dan segara menyuruh saya pergi. Saya pecutlah terus!
Sampai di hospital, sangat sesak. Saya jadi kebingungan dimana isteri saya dan apa keadaannya? Telefon juga tidak dijawab. Saya lari ke tingkat atas ke wad wanita dan alhamdulillah, saya melihat isteri saya sedang diusung untuk ke bilik bersalin.
Sempat juga akhirnya. Tak sampai 15 minit dia mesej sudah selamat lahirkan anak perempuan. Itulah Sarah yang saya sayangi! Saya pasti Sarah akan sekuat detik ini satu hari nanti.
Tidak habis dengan itu, isteri saya hanya sempat berpantang 2 minggu dan perlu hadir ke peperiksaan akhir. Anak-anak kami hantar balik ke Johor seketika untuk mudahkan dia berpantang.
Rezeki, 3 minggu kemudian saya dapat tawaran kerja di Bintulu dan menguruskan projek di sana. Kisah ini termasuk apabila saya bekerja di Bintulu, beliaulah yang menguruskan urusan anak-anak ke sekolah dan beliau juga bangun tengah malam siapkan kerja-kerja penyelidikan dan menulis.
Kerana itu sahaja ruang yang ada ketika anak-anak nyenyak tidur. Sakit dan penat itu saya tidak akan dapat bayar.
TERPAKSA PJJ
Pada waktu ini pula saya di Kuala Lumpur, isteri di Kuching dan anak-anak kami di Johor. Sudah sebulan terpisah sementara. Itulah pesan orang; bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Dengan usaha ada kejayaan.
Kisah kami ini bukan untuk ditunjuk dan bukan pula untuk berbangga. Sekadar berkongsi kesukaran kami yang tidaklah begitu besar dan kejayaan ini juga bukanlah hebat, kerana di luar sana ada ramai lagi orang hebat.” Zharudin
Susah dan sukar macam mana sekali pun jangan tunding jari pada orang lain. Sesukar mana pun kehidupan kita, jangan putus asa.
Bersabar dan doa itu adalah kunci. Zharudin turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada isterinya, Dr. Mariana Tumin (DPH) kerana telah berjaya menamatkan pengajian.
Inilah permulaan perjalanan baru sebagai seorang pakar kelak!