Ingin memilih kacamata yang sesuai dengan bentuk wajah? Sebelum memilih kacamata pilihan hati, ada perkara penting yang harus diberi perhatian. Kenali dahulu bentuk wajah anda! Setelah mengenali bentuk wajah, barulah anda boleh membuat pilihan kacamata yang tepat dan sempurna. Bingkai kacamata yang dipilih secara tepat mampu menutupi kekurangan wajah anda hingga membuatkan bentuk wajah anda kelihatan lebih ideal sekaligus menyerlahkan gaya peribadi dan personaliti anda. Berikut merupakan tip untuk memilih kacamata yang sesuai mengikut bentuk wajah.
WAJAH SEGITIGA
Sekiranya anda memiliki bentuk wajah segitiga, pilihan terbaik ialah memilih bingkai kacamata dengan bahagian atas yang lebih lebar berbanding dibahagian bawahnya. Anda boleh memilih bingkai jenis nylor atau half frame untuk medapatkan kesan terbaik. Bingkai jenis ini mampu memberi kesan dagu yang lebih kecil dan menyeimbangkan sisi atas dengan bahagian bawah wajah anda. Elakkan memilih bingkai dengan gagang yang besar.
WAJAH OVAL
Mereka yang memiliki bentuk wajah oval dianggap cukup beruntung. Anda boleh menggayakan pelbagai jenis kacamata dan ia kelihatan sesuai dengan anda. Kelebihan anda yang memiliki bentuk wajah ini ialah anda dapat mengikuti trend fesyen kacamata terkini. Namun, anda dinasihatkan untuk menghindari daripada memilih bingkai berbentuk ekstrim dan lebarnya melebihi bahagian terluas wajah.
WAJAH PANJANG
Untuk anda yang memiliki wajah panjang, pilih bingkai kacamata dengan bentuk kotak dengan gagang kacamata yang lebih rendah. Bingkai jenis ini akan membuatkan wajah anda tampak lebih lebar dan pendek. Mereka yang berwajah panjang perlu menghindari pemilihan bingkai kacamata yang lebih lebar dari wajah anda. Perkara ini akan membuatkan wajah anda kelihatan pelik dan janggal.
WAJAH HATI
Bagi anda yang mempunyai bentuk wajah berbentuk hati, anda digalakkan memilih kacamata yang memberi biasan wajah yang kecil. Untuk itu, anda boleh memilih kacamata jenis frameless atau tanpa bingkai. Ia dapat membuatkan dahi dan rahang anda kelihatan seimbang serta meminimalkan lebar dahi. Ia juga mampu menarik mata ke bahagian bawah wajah anda. Elakkan pemilihan bingkai kacamata dengan posisi gagang kacamata yang terlalu tinggi.
WAJAH BULAT
Anda yang mempunyai bentuk wajah bulat, pilihlah bingkai kacamata berbentuk persegi atau kotak dengan posisi gagang kacamata yang tinggi. Bentuk kotak atau persegi ini akan membuatkan wajah anda terlihat lebih panjang. Ia juga mampu memberi keseimbangan buat bentuk wajah anda. Namun elakkan bingkai kacamata dengan bentuk bundar dan gagang kacamata yang tebal serta berwarna gelap.
WAJAH KOTAK
Bentuk wajah kotak perlu memilih bingkai kacamata berbentuk oval atau bundar. Bingkai bentuk ini boleh menyamarkan garis wajah atau memberi garis lengkung wajah sekaligus membuatkan wajah tampak lebih panjang. Jangan memilih bentuk bingkai yang terlalu kecil kerana ia tidak sesuai dengan anda yang memiliki wajah berbentuk kotak. Paling penting, jangan memilih bingkai bersegi atau bentuk kotak.
WAJAH DIAMOND
Jika anda memiliki bentuk wajah diamond, anda boleh memilih bingkai kacamata dengan bahagian atas yang lebih lebar berbanding dibahagian bawahnya. Oleh itu, untuk mendapatkan kesan terbaik ialah dengan memilih bingkai kacamata half frame atau nylor. Pemilihan kacamata jenis ini dapat menyeimbangkan bentuk wajah yang bersudut dan membiaskan bentuk wajah yang lebih lembut. Anda dinasihatkan untuk tidak memilih bingkai jenis bersudut dan bersegi.
This website uses cookies.