Tanggal 22.2.23 menjadi saksi pelakon jelita, Raysha Rizrose, 26, sah bergelar isteri kepada usahawan dan pelumba kereta Formula 2, Nabil Jeffri, 29, jam 8.52 malam. Dengan sekali lafaz, pasangan ini sah bergelar suami dan isteri bersaksikan keluarga dan sahabat handai kedua belah pihak.
Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Fariz Arshad, dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi, dalam majlis tertutup yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Pada majlis yang dihadiri sekitar 200 orang itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berjumlah RM2,222 diiringi tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.
Menawan mengenakan persalinan rona putih rekaan Teh Firdaus dan ditatarias Syed Faizal Syed Noh, Raysha atau nama lengkapnya Farza Naquraisha Mohd Fariz bersyukur segala perancangan diatur berjalan lancar.
“Syukur segala-galanya yang dirancang salama ini dipermudahkan.
“Saya dengan kerendahan hati amat terharu kerana sejak mengumumkan berita pertunangan, banyak mesej dan doa yang baik-baik dipanjangkan ramai. Saya doakan kebaikan sama berbalik kepada semua.
“Semoga permulaan fasa baharu membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” kata Dewi Remaja 2014/2015 itu.
Adik kepada Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu sempat menyingkap kisah perkenalan mereka mekar sejak 10 tahun lalu.
“Kami kenal dari tahun 2013 menerusi akaun Twitter. Ketika itu saya masih menuntut di sekolah menengah.
“Biasalah dalam tempoh sedekad itu, hubungan kami ada turun naik. Tapi pada akhirnya kami banyak bertolak-ansur. Kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.
Pelakon filem Seandainya Kau Ada itu turut berkongsi tarikh lamaran Nabil yang terpateri pada 16 Ogos 2022.
“Momen dan detik itu masih berbekas di hati. Ini kerana lokasi lamaran berkenaan terjadi di tempat sama dia melamar saya sebagai kekasih, iaitu di sebuah lokasi di Subang Jaya, Selangor kira-kira sedekad lalu,” kata pelakon drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin dan Ex Aku Pontianak ini.
Mengenai bulan madu dan soal anak, pelakon ini mengakui mereka belum merancang.
“Banyak komitmen dan kerja yang saya perlu selesaikan selepas berkahwin. Malah sebelum majlis nikah ini pun, saya terikat dengan penggambaran beberapa kempen dan projek yang tidak memerlukan komitmen panjang. Jadi bolehlah saya memberi tumpuan terhadap persiapan kahwin sepanjang tempoh itu.
“Sejujurnya, memang belum ada perancangan berbulan madu lagi saat ini. Soal anak pula, baik saya dan suami tidak meletakkan ketetapan. Bagi kami perihal cahaya mata ini, insya-Allah ada rezeki ia akan datang tepat pada waktunya.
“Cuma selepas kahwin, saya perlu lebih selektif memilih watak. Saya sudah berubah status, jadi keutamaan tentunya lebih kepada suami,” katanya.
Mengenai Nabil atau nama penuhnya, Muhammad Nabil Jan Al Jeffri, Raysha menyifatkan suami melengkapi segala-galanya.
“Selama ini, dia (suami) sentiasa menjadi inspirasi dalam hidup saya. Dia sentiasa mendorong saya menjadi lebih baik,” kata Raysha.
Sementara itu, Nabil Jeffri menganggap Raysha sebagai wanita yang banyak menyuntik semangat.
“Dia (Raysha) sentiasa ada ketika saya memerlukannya. Di saat berada di tahap paling bawah dan sedih, dialah yang tak pernah berpaling daripada saya.
“Kebijaksanaannya juga menambat hati saya. Dia seorang yang memahami dan matang. Malah kualiti lain yang mencuri perhatian saya ialah dirinya memang pandai membawa diri, sentiasa santun dan menghormati orang.
“Tentunya, dia sangat comel dan itu yang buat saya jatuh hati dengannya. Dia juga jujur dan ikhlas dalam setiap apa dilakukan,” kata Nabil Jeffri.
Tambah Nabil Jeffri lagi, Raysha juga selama ini begitu memahami jadual dan tuntutan kerjanya.
“Ada ketika saya perlu berada di luar negara kerana urusan kerja, dia umpama begitu dekat dengan diri ini menyokong dari kejauhan.
“Syukur, jodoh dan cinta kami mekar serta erat hingga ke saat ini. Moga hubungan ini kekal ke jannah,” kata Nabil Jeffri.
Terdahulu, pasangan ini melangsungkan pertunangan secara tertutup pada 22 Disember, tahun lalu.
Namun, Raysha dan Nabil Jeffri hanya berkongsi dan mendedahkan cerita pertunangan mereka di media sosial pada 14 Februari lalu. Tanggal 26 Februari ini, mereka akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi juga di lokasi sama majlis pernikahan berlangsung.
This website uses cookies.