Pilih ‘Twenty Two Twenty’, Emma Maembong Sah Milik Juruterbang

Dalam diam rupanya pelakon cantik berdarah kacukan, Emma Maembong telah menyulam cinta dengan seorang jejaka kacak yang membesar di Selangor.

Tidak menunggu masa yang lama, Emma Maembong sepakat bersama kekasih hati menoktahkan ikatan cinta dengan ikatan yang rasmi pada tarikh yang sangat indah, 20.02.2020.

Foto: Instagram @amirnaufalphotography

“Selepas dua bulan mengenali diri masing-masing, kami sepakat menghalalkan hubungan ini. Pada 11 Oktober lalu, keluarganya datang merisik di rumah keluarga saya,” kata Emma Maembong.

Foto: Instagram @nvdism

Emma Maembong bersyukur segala perancangan sejak beberapa bulan lalu berjalan lancar. “Alhamdulillah, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan. Tarikh nikah juga sangat cantik dan kenapa tidak kami abadikan sebagai detik hari bahagia saya dan suami,” tutur pelakon drama Cemburu Seorang Perempuan ini.

Foto: Instagram @blackpepperproduction

Tepat jam 11.58 pagi tadi, dengan hanya sekali lafaz, wanita yang berusia 27 tahun ini sah menjadi milik mutlak Muhammad Shazli Azhar, 32 tahun yang bertugas sebagai juruterbang.

Foto: Instagram @amirnaufalphotography

Pasangan sama cantik sama padan ini telah dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohammad Akmal Abdul Aziz dan berwalikan bapa pengantin perempuan Ismail Embong dalam sebuah majlis tertutup di sebuah premis acara di Bukit Damansara.

Foto: Instagram @emma_maembongofficial

Emma Maembong atau nama penuhnya Fatimah Rohani Ismail kelihatan berseri-seri dalam persalinan rona putih rekaan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail. Emma Maembong memilih rona putih melatari majlis pernikahannya turut diserikan dengan kehadiran 300 orang tetamu.

Pengantin lelaki segak mengenakan baju Melayu telah menyerahkan mas kahwin sebanyak RM2,000 bersama senaskhah Al Quran bersama tujuh dulang hantaran berbalas lima. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Foto: Instagram @emma_maembongofficial

Berkongsi detik perkenalan, pasangan terbabit bersua buat kali pertama pada tahun 2017 ketika menghadiri majlis sambutan ulang tahun Uqasha Senrose. Namun ketika itu mereka hanya berbual kosong dan tidak pernah menjangkakan ada ‘percikan cinta’ selepas itu.

Foto: Instagram @emma_maembongofficial

“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami menjadi pasangan suami isteri yang sah. Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” kata Emma Maembong yang cantik dan ayu ditata rias oleh jurusolek, Nad Ismail.

Foto: Instagram @emma_maembongofficial

Pasangan ini juga belum merancang destinasi berbulan madu, malah tidak menolak rezeki jika dikurniakan anak secepat mungkin.

Pada 6 Mac depan, majlis berinai akan diadakan dan sehari selepas itu pasangan ini akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di Putrajaya.

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed