Raut wajahnya masih cantik dan susuk tubuh Shilpa Shetty Kundra pun tidak ubah seperti anak dara, maintain langsing! Bergelar isteri kepada Raj Kundra, Shilpa sebenarnya sudah pun mencecah usia 44 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berumur 7 tahun. Amboi, apalah agaknya rahsia dia sampai boleh sentiasa tampil anggun seperti zaman bujang dulu.
Ads
Lepas diselidik dan meneliti gaya hidup Shilpa, rupa-rupanya ibu kepada Viann Raj Kundra ini cukup disiplin soal pemakanan dan rutin senaman. Malah, Shilpa aktres jelita India ini juga telah menerbitkan sebuah buku resipi ‘The Diary of A Domestic Diva’ yang memaparkan 90 jenis resipi sihat. Sudahlah berbakat dalam bidang lakonan, di dapur pun dia lincah beraksi. Ada bermacam-macam jenis sajian dikongsikan Shilpa dalam medium media sosial Youtube, Facebook, Instagram dan Twitter di bawah nama ‘The Shilpa Shetty’.
Jadi, buat wanita yang sedang berusaha menurunkan berat badan dan mahu menjalani gaya hidup sihat, anda patut jadikan Shilpa Shetty sebagai inspirasi dan intai semua medium media sosial tersebut. Sesekali, bolehlah cedok resipi sihatnya sebagai diet harian. Confirm dengan usaha gigih dan komited, anda pun mampu milik tubuh ideal seperti beliau.
Ads
Antara sajian yang pernah dihasilkan Shilpa termasuk Mushroom Bruschetta, Vegan Pumpkin Curry & Rice, Nutrition Bar, Chickpea & Sweet Potato Chaat dan sajian pencuci mulut Baked Karanji. Memang menyelerakan dan ternyata sihat untuk dinikmati pada bila-bila masa. Disebabkan permintaan dan sambutan hebat masyarakat tempatan terhadap dunia kulinari Shilpa Shetty, sebuah aplikasi permainan yang mengetengahkan bidang masakan Shilpa iaitu ‘Domestic Diva’ turut dilancarkan Januari tahun lalu. Hebat betul penangan Shilpa Shetty!
Mencungkil lagi rahsia kecantikan beliau, dia juga tekun mempelajari rutin senaman baru dan kardio terutamanya melibatkan senaman yoga. Oh, kini petua kecantikan Shilpa Shetty bukan lagi rahsia. Asalkan anda konsisten bersenam dan menjaga pemakanan, impian memiliki tubuh idaman telah pun berada di dalam genggaman.
Kalau tengok media sosial The Shilpa Shetty, ia umpama medium gaya hidup sihat yang sarat dengan pelbagai rutin senaman, pilihan menu berkhasiat dan sisi hidup Shilpa di samping keluarga tercinta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama Mohd Harris Shahrul Annuar atau lebih dikenali sebagai Harris Annuar mungkin kedengaran agak asing di kalangan masyarakat. Namun, apabila berbicara tentang usahawan yang terkenal dengan gelaran ‘Kak Ton’ pasti ramai yang sudah terbayang celoteh wanita berusia 58 tahun itu.
Walau pun kini kelibat Kak Ton jarang menghiasi mana-mana program TV tetapi figura yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd ini masih ligat berniaga. Baik secara dalam talian mahupun jualan terus, Kak Ton atau nama sebenarnya Zaiton Hassan tetap tidak menang tangan menguruskan tempahan pelanggan setia.
Perkara itu diakui sendiri anak bongsu Kak Ton, Harris Annuar yang terpilih antara 20 finalis Hero Remaja 2017. Menginjak usia 24 tahun pada 14 Mei lalu, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian ini tanpa berselindung mengagumi personaliti ibu tersayang. Selain menyifatkan karakter ibunya sebagai seorang yang lucu, petah bercakap dan tegas, Kak Ton juga digambarkan ibarat srikandi yang tidak mengenali erti putus asa.
“Apa yang anda nampak dia di TV, begitu juga sikapnya di dunia realiti. Memang transparent habis sebab mak tak pandai bermuka-muka dan telus dengan sesiapa pun. Dia memang suka bercakap sampai kadang-kadang susah hendak suruh dia berhenti. Samalah juga situasinya bila bersiaran dalam program TV. My mom hanya akan berhenti bercakap bila dia sudah puas beritahu apa yang dia hendak sampaikan. Anak-anak semua sudah lali dengan perangai mak,” terangnya sambil tertawa.
Pernah berdepan perit maung sepanjang mengendalikan empayar Pravenus Beauty, Harris dan empat adik-beradik yang lain menjadi saksi kejatuhan perniagaan tersebut sekitar tahun 2004 apabila gerai jualan yang disewa terkena gangguan sihir. Turut terpalit dengan kesukaran hidup waktu itu, Harris terpaksa akur melihat dua kereta keluarganya dijual semata-mata untuk menyelamatkan keadaan.
“My mom mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan pada tahun 1999. Dari dulu lagi, rumah flat yang sama juga menjadi tempat kami sekeluarga berlindung sampai sekarang. Masa itu, mak cuma jual produk jamu dari rumah. Saya ingat lagi dia letak semua barang jamu dalam sebuah peti berwarna hitam. Apabila bisnes makin dapat permintaan, mak sewa sebuah kedai di Seksyen 18, Shah Alam.
Bayangkan, dia berkongsi ruang kedai itu dengan dua lagi peniaga lain. Mulanya tak ada apa-apa masalah sehinggalah perniagaan mereka terkena sihir. Jalan penyelesaian terakhir yang dia ambil adalah dengan menjual kereta yang ada. Saya ingatkan duit yang dia dapat untuk buat modal pusingan. Sebaliknya mak guna untuk menunaikan umrah bersama ayah. Sepanjang berada di sana, dia tak putus-putus berdoa meminta pertolongan daripada Allah.”
Murni sungguh jiwa Kak Ton yang berpaksikan keredaan dan rahmat Allah SWT untuk meneruskan perniagaan tersebut. Sekembalinya dari Tanah Suci, ibu kepada lima orang anak ini mendapat jemputan dari stesen televisyen untuk mempromosikan produknya. Dalam tempoh masa yang diberi selama lima minit saja, Kak Ton memperkenalkan produk Beauty Umaira.
Ajaibnya, sebaik melangkah keluar daripada program berkenaan talian telefon Kak Ton dihujani dengan panggilan orang ramai yang ingin membeli Beauty Umaira. Situasi yang tidak pernah dialaminya selama ini. Hasilnya, sebanyak puluhan ribu unit terjual.
“Dari dulu sampai sekarang mak percaya, lagi banyak kita memberi lagi banyak rezeki yang akan kita terima. Paling saya kagum dengan dia adalah hubungannya dengan Allah. Walau sudah dapat rezeki melimpah-ruah dan bisnes makin maju, mak tak tinggal buat solat-solat sunat setiap hari. Bagaikan satu rutin wajib baginya.
Malah, dia juga rajin berzikir sampai tertidur pun ada. Tahun pertama dapat duit jualan, mak bawa 40 stokis mengerjakan umrah. Tahun berikutnya pula dia tunaikan niat bawa golongan mualaf. Seterusnya anak-anak dan kawan rapat. Mungkin sebab itu Tuhan limpahkan rezeki meluas kepada mak.”
Berkali-kali meluahkan rasa kagum terhadap sifat tabah dan cekal ibunya, Harris tanpa segan silu menjadikan perjuangan Kak Ton sebagai inspirasi dalam menempuh titian kerjaya dan kehidupan.
Semoga pengalaman hidup anak dan ibu ini mampu dijadikan teladan kepada khalayak untuk mencipta kekayaan di dunia dan akhirat!SUZIANAABUDAUD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dari syarikat korporat ke dunia penjagaan kanak-kanak, Muhaini Mahmud akhirnya menemui kerjaya yang diimpikan. Bersandarkan sifat keibuan yang tebal, wanita jelita berusia 43 tahun ini bangkit bersama rakan kongsi, Nadira Yusoff mengasaskan Kiddocare Sdn Bhd. Misi mereka jelas, mahu membantu menangani isu pengasuh di Malaysia dan menjana pendapatan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Peramah dan menyenangkan. Begitulah personaliti Muhaini ketika pertemuan kami di program MySTEP di The Club, Bukit Utama. Tampil anggun dalam persalinan sut serba putih, Muhaini mesra menyapa penulis sambil menerangkan program latihan team Kiddocare yang sedang berlangsung waktu yang sama.
Kiddocare diasaskan dengan tujuan membantu ibu bapa yang bekerja untuk menjaga anak-anak di rumah menggunakan perkhidmatan pengasuh terlatih dan boleh dipercayai.
“Semuanya bermula apabila Nadira mendapat idea untuk mengasaskan Kiddocare. Secara kebetulan idea tercetus apabila beliau terlupa untuk mengambil anak dari taska kerana terlalu sibuk bekerja. Dia hanya menyedari perkara ini apabila guru taska menelefonnya pada lewat petang.
Saya pula seorang ibu tunggal kepada anak lelaki, Mateen Maliq yang baru berusia setahun waktu itu. Jadi saya sangat memahami keadaan ibu bekerja, terutamanya ibu tunggal yang sentiasa memikirkan anak-anak dan sama ada mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Iya, memang susah nak mengimbangi kerjaya dan komitmen dalam satu masa.
Ibu-ibu sebenarnya menghadapi cabaran dan tekanan yang besar apabila bekerja. Mereka mempunyai komitmen tambahan terhadap pekerjaan. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang besar berkaitan keluarga, hendak atau tidak mereka terpaksa mengambil cuti sehingga menjejaskan tugas.
Jadi berdasarkan hal ini, timbul idea penubuhan Kiddocare untuk membantu ibu bapa mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka sewaktu bekerja.
Selain itu, masa bekerja yang fleksibel dan peluang menjana pendapatan di Kiddocare mampu memperkasakan semula wanita daripada komuniti B40 untuk menyara keluarga.
Kami juga memberi peluang pendapatan kepada wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang lepas. Ada banyak kisah kejayaan mengenai pengasuh kami dan bagaimana Kiddocare telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.” Muhaini
ILMU & LATIHAN
Bercerita isu pengasuh tanpa kelayakan yang banyak menjalankan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak, Muhaini pantas menekankan pentingnya ilmu dan latihan kepada bakal pengasuh Kiddocare.
“Kami selalu memberi latihan kepada mereka melalui kursus-kursus dan mengajar kemahiran asas seperti kursus penjagaan kanak-kanak, kursus CPR & Safety serta sebagainya. Malah dalam kerja asuhan mereka pun kami akan buat pemantauan dan penilaian berterusan.
Bukan itu saja. Kami juga akan sering berbincang tentang apa yang baik dan apa yang boleh diperbaiki.
Dengan ini dapat melengkapkan kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pengasuh, malah sebagai seorang insan kerana semua kursus ini dikendalikan oleh pakar industri yang berwibawa dan berpengalaman.” Muhaini
Tonton temu bual Nona bersama Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud tentang aspirasi penubuhan Kiddocare untuk ibu bapa Malaysia ni…
Menyelami sejarah kerjaya Muhaini, wanita jelita asal Kuala Lumpur ini rupanya memiliki kelulusan tinggi dan pernah bertugas di syarikat korporat terkemuka Malaysia. “Saya memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Kemudian saya melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Sains Aktuari di City University di London.
Kerjaya saya bermula dalam sektor korporat dan di sana saya berkhidmat kira-kira 14 tahun. Lebih lima tahun sebagai Perunding Aktuari di The Actuarial Partners dan lebih lapan tahun sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat di The Weststar Group. Saya banyak menimba pengalaman dan itulah yang membantu saya sehingga hari ini untuk menubuhkan Kiddocare.
Pada awal kerjaya saya ketika muda, memang menjadi kebiasaan apabila kita terbiasa mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada kerja supaya boleh mencapai standard hidup yang lebih baik dan maklum jugalah, sektor korporat ini memang penuh dengan cabaran, tekanan dan kerja yang tak habis-habis jadi saya mempunyai jadual kerja yang sangat sibuk dan padat ketika itu.”
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
KEIBUAN
Menjadikan masa bersama si kecil sebagai momen ‘me time’ dan cara menghilangkan stres, Muhaini kebiasaannya suka melancong atau bersantai di rumah dengan anakanda tersayang.
“Selain itu, saya suka melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal, ‘personal training’ di gym dan bermain golf apabila kerana saya percaya senaman itu bukan sahaja penting untuk tubuh dan kesihatan kita, malah ia berfungsi sebagai penghilang stres. Bila saya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, saya rasa seperti bebanan kerja dan hidup saya teralih sementara.”
Muhaini juga bijak mengagihkan tugas di Kiddocare di antara sesama rakan kongsi. Katanya, mereka akan melihat kepada minat, kecenderungan dan kemahiran masing-masing dalam bisnes.
Misalnya, jika ada sesi bersama pelabur, mungkin yang lebih mahir bercakap dan bersosial akan lebih ‘ke depan’ dan jika ada promosi yang perlu dilakukan melalui laman web atau media sosial pula, yang lebih mahir menulis atau mereka bentuk bahan promosi akan melakukan tugas ini.
“Tetapi apa pun tugas kami berdua, kami sentiasa membincangkan pelan tindakan kami dan kami juga akan saling memberi komen dan cadangan kepada satu sama lain. Di antara kami, ada banyak perbincangan, input dan komen yang diberikan dan kami sering menyelesaikannya bersama-sama.” Muhaini
Kini Kiddocare giat melakukan promosi untuk menarik para pelanggan seperti pakej harga murah, pemberian diskaun dan sebagainya.
Mengakhiri pertemuan, Muhaini turut berkongsi impian mereka.
“Kiddocare juga sering bergandingan dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk mencari hubungan kerjasama dan sinergi, dan dengan memaksimumkan pengaruh pihak-pihak ini, kami dapat berkembang dan menyebarkan konsep perniagaan kami kepada jaringan audiens yang lebih besar.
Setakat ini, khidmat asuhan kami meliputi bandar-bandar besar di Malaysia tetapi kami menyasarkan supaya khidmat Kiddocare boleh dicapai di mana-mana sahaja di Malaysia. Itulah yang kami ingin usahakan.
Dalam pada itu, kami juga memasang niat untuk berkembang ke negara-negara jiran juga kerana konsep perniagaan kami yang unik ini saya rasa ada potensi untuk dimajukan sebagai suatu konsep yang boleh mengubah dan memodenkan industri jagaan kanak-kanak.
Seperti di Malaysia, saya yakin negara-negara jiran yang lain juga ada potensi yang besar untuk kami ke sana.
Selain meluaskan perniagaan, kami akan sentiasa mencari peluang untuk menambah baik lagi model perniagaan semasa kami supaya tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak pelanggan kami yang sedia ada dan juga menarik lebih ramai lagi pelanggan yang baharu.” Muhaini
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Nor Yanti Shaharudin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masih ingat lagi kisah seorang bayi kacukan Malaysia-Rusia, Dhuhaa Sophea Stumbrys yang tular sekitar dua tahun sebagai bayi tercantik dunia. Begitu pantas masa berlalu kini Sophea sudah pun berusia dua tahun dan bergelar kakak.
Adiknya, Amiraa Al Imaan Stumbrys dilahirkan pada Februari 2019 di Karolinska Universitetssjukhuset Huddinge, Stockholm Sweden. Sophea dan Amiraa merupakan anak kepada pasangan bahagia, Siti Safuraa Hamzah dan Asadullah Stumbrys.
Lumrah apabila sering menjadi perhatian di laman sosial, rupa paras Sophea dan Amiraa mula menjadi perbandingan.
“Bagi saya itu pandangan masing-masing, terpulanglah. Saya dan suami tak pernah ambil kisah pun sampai jadi stres. Sophea dan Amiraa anugerah terindah dari Allah SWT dan terbaik di mata kami.
Didikan diberikan sepenuhnya buat mereka. Untuk Sophea kami ada mohon sekolah yang melebihkan aktiviti luar dan more to nature. Pada masa sama, kami terapkan ilmu agama di rumah biar seimbang dunia akhirat memandangkan kami menetap di negara yang majoritinya bukan Muslim.
Saya menjadikan ibu bapa sebagai inspirasi yang berjaya mendidik kami seramai 9 beradik. Setiap kepayahan dilalui bersama. Mereka mengutamakan tanggungjawab dan nilai kekeluargaan agar kami tak berpecah belah. Mereka juga mendidik kami saling menghormati dan tak mudah lupa diri. InshaAllah saya juga impikan perkara sama terhadap anak-anak.”
KONGSI PENGALAMAN BERPANTANG ANAK KEDUA
“Saya melahirkan Amiraa awal seminggu dari due date. Sakit contraction pun tak lama tanpa bantuan pain killer. Proses melahirkannya juga mudah dan tiada sebarang koyakan, alhamdulillah.
Namun pengalaman berpantang anak kedua ini agak mencabar kerana pada mulanya sukar mencari siapa yang dapat menjaga saya di rumah. Ibu bapa saya dah tiada, adik beradik pula ada hal masing-masing yang tak dapat dielakkan. Suami juga bekerja dan terlalu sibuk. Jadi suami tanya ada lagi tak sesiapa yang boleh datang untuk jaga saya. Tiba-tiba saya teringat kepada Kak Dini yang saya dah anggap seperti kakak kandung.
Dulu kami pernah berbual dan dia kata nak datang lawat saya di Sweden sambil berseloroh kalau saya beranak lagi dia nak datang. Bila teringat terus saya hubungi Kak Dini dan tak sangka dia setuju. Tanpa berlengah saya terus booked tiket untuknya.”
Bagi Dini pula pengalaman menjaga Safuraa ketika berpantang anak kedua di Stockholm, Sweden adalah pertama kali dalam hidupnya lebih-lebih lagi di negara asing yang berbeza dari segi cuaca. Niatnya cuma untuk memudahkan urusan Safuraa. Bagi Dini bila kita mudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan mudahkan urusan kita.
Ini komen Dini:
“Saya dan Safuraa dah lama kenal. Safuraa sebagai bekas model Muslimah dan saya pula sebagai jurumekap. Boleh dikatakan kami sering bekerjasama. Dari situlah kami menjadi akrab dan saya anggap Safuraa seperti adik sendiri.
Sepanjang menjaganya saya gabungkan cara berpantang tradisional-moden seperti dari segi urutan, menu berpantang dan pemakaian bengkung readymade. Bahan-bahan untuk menu berpantang saya dah bawa siap-siap dari Malaysia seperti ulam, rempah, jamu, halia, serai, daun kari, kunyit hidup, cekur dan mandian herba.
Antara menu berpantang yang saya sediakan ialah daging bakar, ayam bakar, ikan bakar, sambal bilis sangan dan bejah (menu berpantang Jawa). Semuanya dimakan bersama ulam.
Nasihat saya jaga makan sepanjang tempoh berpantang, tak lama pun… 44 hari saja. Badan nak pakai lama. Paling penting ketika berpantang ialah dua minggu pertama elak makanan pedas, belacan dan air bergas. Walau dah habis pantang jangan tinggalkan jamu, mandi herba dan ambil makanan seimbang. Banyakkan minum air suam lebih-lebih lagi bagi yang menyusukan bayi.”
Kredit Foto: Instagram ctsafuraa & Dinie Awalluddin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Makin cantik berseri-seri suri hati kesayangan Datuk Latif Romly, Datin Nabila. Meniti usia 27 tahun, pendidik ini bukan saja tampil memikat. Malah bertambah bahagia sejak bergelar isteri jaguh paralimpik negara berkenaan ...