Pinggang Ramping Tapi Postur Badan Bongkok! Sebab Itu Kena Amalkan Senaman Plank Ini

Hendak sihat dan langsing memang perlukan azam yang tinggi. Iyalah, walau mahal mana sekali pun pakaian atau peralatan sukan yang dibeli tapi kalau tidak konsisten, sampai ke sudah tak dapat tubuh idaman.

Sama juga ke gimnasium, setiap bulan tak pernah missed bayar tapi cukup setahun hanya dua hingga tiga kali saja datang. Kalau sudah begitu caranya, jangan berangan hendak dapat tubuh seksi ala-ala Karisma Kapoor dalam filem Dil to Pagal Hai tu. Separuh bentuk tubuh Jennifer Lopez pun belum tentu berjaya.

Misi utama yang hendak dikongsikan di sini bukan saja fokus kepada kelangsingan tubuh badan tapi lebih kepada kedudukan postur badan yang betul. Baru nampak keseimbangan badan sekali gus mencerminkan amalan gaya hidup kalian.

Cantik dapat, badan pun cergas. Tak payah runsing fikirkan kos perbelanjaan untuk bersenam sebab dari rumah pun boleh buat. Cuma tanam azam dan komited membuat senaman plank yang mudah dan ringkas. Hanya dalam masa lima hingga 10 minit setiap hari anda akan berasa lebih cergas dan bertenaga.

Plank adalah salah satu senaman terbaik untuk diamalkan bagi kekuatan otot badan kerana melibatkan semua kumpulan otot teras utama. Ia antara lain meningkatkan keupayaan mengangkat bebanan lebih berat, memperbaiki kebolehan melentur badan dan menyokong bahagian belakang termasuk di kawasan punggung.

Manfaat Senaman Plank

(a) Peningkatan metabolisme

Nampak mudah tapi senaman plank mencabar seluruh badan untuk bersenam di samping membakar lebih banyak kalori. Amalkan sebelum atau selepas bekerja untuk meningkatkan kadar pembakaran lemak tetapi juga memastikan kadar metabolisme kekal sepanjang hari.

(b) Memperbaiki postur dan keseimbangan badan

Percaya atau tidak, senaman ini berupaya membuatkan anda berdiri atau duduk dalam postur lurus dan stabil. Otot abdomen yang sudah terbiasa dilatih dan direnggangkan melalui senaman ini mengekalkan postur betul setiap masa disamping memberi impak kepada kesihatan leher, bahu, dada dan belakang badan.

(c) Tubuh lebih fleksibel

Jika dilakukan dengan lebih kerap, senaman ini turut membantu mengembang dan menarik seluruh otot posterior seperti bahu, tulang belikat dan tulang selangka. Cara paling mudah untuk mendapat fleksibiliti adalah dengan membuat ‘side plank’. 

(d) Jana kekuatan mental 

Selain mengawal otot untuk bekerja dengan lebih kerap, plank juga berkait rapat dengan pengawalan pernafasan. Melalui penafasan yang betul dan stabil, tidak mustahil anda dapat mencapai mood gembira. Dalam erti kata lain, berupaya merawat simptom depresi.

Tikar Pelapik Senaman

Memandangkan senaman plank melibatkan banyak pergerakan di lantai dan untuk melindungi siku, kaki dan tangan tercedera, jangan lupa untuk menggunakan tikar pelapik senaman. Permukaan tikar pelapik ini yang lembut dan elastik tentu sahaja menjadikan aktiviti senaman anda selesa.

Lebih menarik jika tikar pelapik senaman tersebut dihasilkan dengan pelbagai corak berwarna-warni seperti produk ciptaan Chanmaya dari Dubai ini. Menampilkan warna-warna yang vibrant, mudah dicuci dan diperbuat daripada mikrofiber lembut serta tahan gelincir. Suziana Abu Daud

Kredit: Foto Google dan Chanmaya Mat

Share
Published by
Norzalina