Selaku penyanyi nombor satu negara dan rakyat Malaysia pertama memiliki jumlah pengikut paling tinggi di Instagram iaitu 7.2 juta orang, Datuk Seri Siti Nurhaliza menggunakan pengaruh yang ada untuk membantu para frontliners, individu terjejas akibat Covid-19 dan bantuan khas kepada golongan kurang bernasib baik sempena ketibaan Ramadan dan Syawal ini menerusi inisiatif Dana PKP Siti Nurhaliza.
PKP yang dimaksudkan Datuk Seri Siti bukanlah Perintah Kawalan Pergerakan, tetapi ia merupakan singkatan kepada Peduli, Kemanusiaan dan Prihatin iaitu satu bentuk sumbangan yang disalurkan kepada tiga kumpulan terlibat. Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd mengambil inisiatif untuk membantu para pejuang barisan hadapan dan orang ramai yang terkesan dengan situasi ini melalui pengumpulan Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP) Siti Nurhaliza.
Berkongsi usaha murni itu di laman media sosial miliknya, isteri Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini menjelaskan objektif Dana PKP Siti Nurhaliza dibahagikan kepada tiga kategori.
Pertama, Peduli (P) yang membantu menyediakan keperluan dan peralatan di pusat-pusat perubatan yang terlibat menangani Covid-19. Antaranya termasuk peralatan perlindungan PPE, topeng muka dan sarung tangan.
Kedua, Kemanusiaan (K) iaitu membantu individu dan keluarga yang terjejas pendapatan. Bantuan kepada keluarga terjejas pendapatan di samping mempunyai anggota keluarga OKU atau penyakit kronik.
Dan ketiga, Prihatin (P) yang menumpukan kepada bantuan khas sempena bulan Ramadan dan Syawal kepada golongan kurang berkemampuan serta rumah-rumah kebajikan.
Bagi memudahkan urusan pemberian sumbangan kepada kumpulan terlibat, satu platform dinamakan Kitafund diwujudkan. Ujar Datuk Seri Siti, “Platform Kitafund dibina bagi memupuk nilai murni untuk menderma selain memudahkan orang ramai untuk menyumbang di atas talian (online) tanpa ragu-ragu.”
Sebagai langkah permulaan, SNP mensasarkan pengumpulan dana keperluan segera bagi kategori Peduli iaitu sebanyak RM50,000. Memetik kenyataan Datuk Seri Siti kepada Berita Harian, “Jumlah sasaran ini akan dinaikkan dan berterusan memandangkan tempoh PKP dilanjutkan dan banyak jenis bantuan akan disalurkan.”
Sumbangan boleh dibuat secara pembayaran sama ada menggunakan Perbankan Atas Talian (Online Banking), Kad Kredit/Debit/PayPal atau E-Wallet seperti Boost/GrabPay/Touch n Go.
Dalam pada itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga akan menjayakan Youtube Live PKP Siti Nurhaliza di saluran Youtube Siti Official Video pada 19 April 2020 bermula jam 2.30 petang. Menariknya, para penonton di saluran Youtube ini nanti berpeluang menderma dengan cara membuat imbasan Kod QR dan selebriti ini akan menghiburkan anda dengan nyanyian lagu-lagu pilihan.
This website uses cookies.