Mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengucapkan selamat tinggal kepada Kementerian Kesihatan semalam menerusi hantaran penuh emosi di laman media sosialnya. Khairy Jamaluddin juga sempat bergambar di lobi KKM, serta bergambar dengan warga kerja KKM termasuk Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta barisan kabinet baru yang dilantik selepas Pakatan Harapan yang diketuai YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah dan membentuk kerajaan baru-baru ini.
Di ruangan kepsyen, KJ menulis betapa bangga dirinya dapat berkhidmat di KKM. “Saya sudah buat yang terbaik, dan saya tak akan melupakan semua orang di KKM. Anda semua pasti ada dalam hati saya selamanya. Terima kasih, dan maafkan saya atas segala kekurangan,” tulis KJ.
KJ sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sejak Ogos 2021. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen (AP) Rembau sejak Mac 2008, dan bertanding di Parlimen Sungai Buloh sewaktu PRU15 baru-baru ini, namun tewas.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dari Februari 2021 hingga Ogos 2021 dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 dalam pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Khairy yang juga menantu kepada Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi sempat menyerahkan tugas dan mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada pucuk pimpinan KKM yang baharu, Dr Zaliha Mustafa yang mengantikan tempatnya sebagai Menteri Kesihatan yang baru.
Di ruangan Instagramnya, dilihat ramai warga maya yang terharu dan sedih dengan keberangkatan KJ memandangkan rekod prestasinya mengendalikan isu Covid 19 dengan begitu baik sekali. Ada juga yang berharap untuk KJ kembali semula menerajui KKM.
Kami di NONA mendoakan semoga yang baik-baik sahaja buat Khairy Jamaluddin.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
This website uses cookies.