PM Potong 2 Bulan Gaji Demi Hargai Jasa Frontliners & Rakyat Terjejas Covid-19!

Selepas beberapa hari rakyat bersedih dan muram dengan keadaan semasa negara, petang semalam penduduk Malaysia kembali menarik nafas lega. Seolah-olah mereka diberi sinar dan semangat baru lebih-lebih lagi apabila mendengar analogi ‘Makcik Kiah’ dalam usaha Tan Sri Muhyiddin menyampaikan contoh mudah kepada masyarakat mengenai bentuk bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. Sememangnya Perdana Menteri Kelapan ini bijak menceriakan hati rakyat Malaysia!

Belum pun sampai sebulan Tan Sri Muhyiddin Yassin menggalas tanggungjawab besar memimpin negara tetapi telah banyak usaha yang dilakukan beliau. Apa yang membuatkan rakyat lebih terharu adalah kesanggupan Tan Sri Muhyiddin melaksanakan pemotongan dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan ke Tabung Covid-19. Satu jumlah yang besar tu!

Ditambah pula dengan pemberian elaun dan bantuan khas kepada para petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam mengekang penularan Covid-19 seperti doktor, kakitangan perubatan, anggota polis, tentera, kastam, pertahanan awam dan RELA. Tidak terkecuali para pejawat awam termasuk petugas media yang turut terdedah risiko demi menyampaikan maklumat terkini dan sahih setiap hari.

Salah seorang frontliners yang menerima elaun khas tersebut ialah Inspektor Norhaslina Md Nor yang kini bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor. Ini reaksinya ketika dihubungi Nona, “Bagi saya dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan sedikit sebanyak meringankan beban kami sebagai anggota polis. Ini juga salah satu sokongan kerajaan kepada kami sebagai frontliners untuk terus bertugas dengan penuh tanggungjawab dan berdedikasi bagi memutuskan rantaian Covid-19.”

Inspektor Norhaslina Md Nor

Dengan elaun khas RM200 sebulan yang bakal diterima, ia sudah pasti melegakan anggota polis sepertinya. Apatah lagi, dia dijangka menimang cahaya mata sulung pada 1 Mei nanti.

Selain anggota polis, Nona turut mendapatkan reaksi penjawat awam yang juga petugas media BERNAMA. Menurut Izzah Fatihah Ibrahim, “Saya bersyukur sebab sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tiada istilah untuk saya bekerja dari rumah. Walau pun ada segelintir pihak beranggapan RM500 satu amaun yang kecil tapi bagi saya sedikit sebanyak duit itu boleh dimasukkan dalam tabung emergency.

Izzah Fatihah Ibrahim

Walaupun saya tak pasti sama ada turut menerima (Bantuan Prihatin Nasional RM1,000 kepada isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000) tapi kalau keluarga saya dapat, memang bersyukur. Harapan saya agar semua rakyat akan manfaatkan bantuan diberi dan dapat ‘berkongsi’ bersama pengusaha kedai runcit yang terjejas dengan cara membantu mereka membeli barang keperluan yang dijual.”

Turut menzahirkan ucapan terima kasih ialah Nurul Adillah Mohd Sani, seorang kakitangan perubatan di Hospital Besar Ampuan Rahimah, Klang. Ketika dihubungi Nona, dia yang baru pulang dari tempat kerja terharu diberi penghargaan seumpama itu.

Nurul Adillah Mohd Sani

“Syukur alhamdulillah, terima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan atas pemberian bantuan kepada kami penjawat awam termasuk rakan frontliners yang terlibat mengekang pandemik Covid-19. InsyaAllah bantuan ini akan digunakan dengan sebaik mungkin,” ujarnya yang mempunyai empat orang anak yang masih kecil.

Meneliti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang bersandarkan matlamat pertama iaitu lindungi rakyat, ia termasuklah Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM1,000 kepada isi rumah yang berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000; baki bawah Bantuan Sara Hidup dibayar pada Julai 2020, Elaun Khas RM200 sebulan kepada tentera, polis, kastam, pertahanan awam dan RELA yang terlibat mulai 1 April 2020; Elaun Khas RM600 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan mulai 1 April 2020; Bantuan RM500 kepada lebih 1.5 juta penjawat awam termasuk mereka yang bekerja secara kontrak untuk Gred 56 ke bawah pada April 2020 dan Bantuan RM200 seorang kepada pelajar pengajian tinggi.

 

Menerusi pakej rangsangan ekonomi ini jelas membuktikan betapa kerajaan berusaha memenuhi kehendak dan keperluan rakyat yang menyaksikan tiada seorang pun tercicir daripada menerima bantuan berkenaan.

Share
Published by
Suzi