Polis Kacukan Melayu-Thai, Lans Koperal Jupha Terima Pingat Kurniaan Yang di-Pertuan Agong

Siapa sangka, di sebalik kelembutan wajah Melayu-Thai milik Jupha Som Net, beliau sebenarnya seorang anggota polis, pelumba dan atlet berbasikal negara.

Itulah kelebihan wanita berusia 27 tahun tersebut sehingga terpilih untuk menerima pingat Bentara Pasukan Polis (BPP) dalam satu istiadat di Istana Negara, semalam.

Atlet elit skuad berbasikal wanita negara kelahiran Perlis itu berkata, pengurniaan darjah kepahlawanan itu sesungguhnya amat bermakna buat dirinya.

“Ini kali pertama saya menerima anugerah polis dan ia sangat istimewa kerana menerimanya daripada Yang di-Pertuan Agong. Memang saya gementar tadi, kerana persiapan pun dibuat pada minit-minit terakhir berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Anugerah ini meningkatkan semangat dan motivasi saya, untuk terus menabur bakti buat negara dan PDRM,” kata Lans Koperal Jupha di Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis bagi kurniaan tahun 2019 itu.

Kayuhan Hebat

Jupha yang menjadi atlet berbasikal sejak berumur 15 tahun, telah berkhidmat sebagai anggota polis hampir empat tahun.

Menurut beliau, buat masa ini belum ada perancangan dan pelan yang rapi mengenai latihan dan kejohanan seterusnya, berikutan impak pandemik COVID-19.

Dari kiri: Jupha Som Net, Fatehah Mustapa, Anis Amira Rosidi dan Farina Shawati (Bernama)

“Tahun ini saya fokus pada acara trek and sepatutnya menyertai Piala Trek Asia 2020 pada Oktober, tetapi berikutan COVID-19, saya masih tidak tahu apa statusnya.

Bagaimanapun, saya tetap meneruskan latihan sendiri sejak PKP dilaksanakan pada Mac. Kini masih sedang menunggu untuk menyertai latihan pasukan kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN),” cerita Jupha sejurus majlis tamat.

Dalam kariernya sebagai atlet, Jupha telah mengharumkan nama negara dengan meraih sebutir pingat emas, sebutir perak, dan tiga gangsa dalam tiga edisi Kejohanan Asia dari 2014 hingga 2018.

Di peringkat Sukan SEA, beliau meraih sebutir emas, dua perak dan dua gangsa dari edisi 2011 di Palembang hingga edisi 2017 di Kuala Lumpur, manakala acara trek tidak dipertandingkan pada edisi 2019 di Manila.

Merupakan anak keempat dalam lima beradik, Jupha membesar sepenuhnya di Chuping, Perlis. Ketika di tingkatan 2, beliau berpindah ke Sekolah Sukan Bandar Penawar dan seterusnya ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Syabas buat Lans Koperal Jupha di atas kurniaan yang diterima. Semoga beliau terus bersemangat untuk mengharumkan nama negara.

Share
Published by
Norzalina