Sejujurnya ramai yang meluahkan rasa kagum melihat semangat luar biasa Elyana dalam mengharungi kanser limfoma yang dialami. Meskipun berdepan kesakitan yang teramat sangat namun penyanyi ini sering tampil positif dan ceria di hadapan khalayak. Tidak dinafikan ada suara nakal yang mengatakan dia sengaja mereka-reka cerita mengenai penyakit yang dihidap namun Elyana dalam satu program temubual menjelaskan perkara tersebut bukan satu hal yang boleh dibuat main atau dipersenda.
Memetik kenyataan Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, keadaan kesihatannya hari ini semakin merosot dan membuatkan dia cepat berasa penat. “Terus terang saya katakan di depan kamera saya akan nampak ok, macam ni. Saya takkan tunjuk yang saya sakit sekalipun sampai bila-bila. Saya takkan tipu sakit. Ia bukan benda main-main. Apa pun orang kata, saya minta maaf awal-awal, saya takkan tunjuk yang saya sakit.”
Ujar Elyana lagi, “Saya seorang penghibur jadi saya nak hiburkan orang. Saya tak nak simpati. Yang saya perlu ialah doa anda. Itu saja. Di belakang kamera, saya memang struggle sangat. Macam pesakit kanser lain juga… saya sakit sepanjang masa.
Waktu ini memang kanser saya berada di tahap agak kritikal tapi saya cuba teruskan hidup dengan positif dan buat macam biasa. Saya positifkan diri dan kalau doktor kata saya perlu jalani kimoterapi lagi, saya akan buat. Di rumah sekarang ini pun, saya tak banyak pergerakan sangat sebab saya cepat penat.”
Biarpun cuba menyembunyikan perasaan sebenar, air mata Elyana tak mampu lagi dibendung dan akhirnya gugur. Meniti usia 34 tahun, Elyana yang sudah 21 tahun bertapak dalam industri muzik disifatkan seorang pejuang kanser yang kuat! Mengimbas kembali detik awal dia menghidap kanser, Elyana berkata dunianya waktu itu gelap dan bagai hilang arah.
“Awal dulu memang ada simptom kanser. Saya batuk setiap hari, sakit kepala dan ada benjolan di leher yang makin membesar. Keluarga saya tak ada sejarah kanser sebab itu pada awalnya saya anggap ia sekadar migran. Lama-kelamaan, saya sendiri terdetik ia bukan penyakit biasa-biasa dan pergi ke hospital. Doktor buat biopsi dan barulah saya tahu saya hidap kanser limfoma stage
dua.Dunia saya waktu itu gelap. Hanya Allah yang tahu perasaan saya dan tiada ucapan yang keluar dari mulut saya. Rasa macam dunia saya hancur. Sebelum kahwin memang saya nak sangat ada anak. Bila dapat anak, tiba-tiba sakit. Jadi kesan ubat kimoterapi buatkan saya tak boleh peluk anak dan berada dekat dengan dia. Hidup saya berubah 100 peratus.
Masa buat kimoterapi hari pertama, saya rasa ok lagi. Masuk hari kedua dah mula sakit dan hari ketiga, nak telan air liur pun tak boleh. Selama empat tahun, saya rasa down yang teramat sangat. Saya duduk di rumah je sebab saya tak tahu siapa yang boleh bagi saya semangat. Saya rasa kosong.”
Pernah popular menerusi lagi hit ‘Tak Tercapai Akalmu’, Elyana akhirnya bangkit daripada kesedihan dan terpanggil untuk memberi kata-kata semangat kepada insan yang mengalami nasib serupa. Jelas Elyana, salah satu cara yang membuatkan dia mahu berjuang dan terus ceria menempuh dugaan hidup ini adalah dengan cara menggembirakan orang lain.
“Bila kita down, kita perlukan semangat dan support each other.
Setiap hari saya mahu beri semangat untuk orang lain. Bila kita bagi orang positif, saya percaya ia akan patah balik kepada saya. Jadi, dari sekarang saya mahu terus bagi semangat kepada orang dan dalam masa sama buatkan saya happy setiap hari.Yang menggembirakan saya dan buat saya ceria adalah apabila saya menggembirakan orang lain. Sebab itu juga saya ambil anak angkat. Anak ini dalam kesusahan. Bila saya buat kebaikan untuk dia, belikan baju contohnya… saya rasa happy. Kalau dapat gembirakan keluarga, saya rasa macam tak ada apa lagi saya perlukan dalam hidup.”
Begitu tabah dan kuatnya semangat Elyana! Kekuatan yang ada dalam dirinya patut dijadikan inspirasi buat seluruh wanita, khususnya pesakit kanser. Moga Elyana dapat terus menikmati hidup dengan gembira dan diberi kesembuhan segera.
Kredit foto: Instagram Elyana
This website uses cookies.