Gaya Hidup

Praktik Kaedah TIME OUT Untuk Didik Disiplin Anak-Anak. Ibu Bapa Boleh Cuba Amalkan TEKNIK TAKTIKAL Ini

Dalam mendidik dan menerapkan kelakuan baik terhadap anak-anak, kreativiti ibu bapa menyempurnakan tugas asuhan turut memberi sumbangan besar.

Jika sebelum ini metodologi mendidik si manja tidak menunjukkan perubahan positif, kini masanya untuk beralih ke taktikal terbaharu, ‘Time Out’. Didikan seumpama ini dipercayai sudah lama dipraktikkan ibu bapa di negara-negara maju.

Tidak dinafikan ada di kalangan ibu bapa yang merasa kesal dan bingung kerana tidak mampu membentuk sikap anak-anak. Biarpun berkali-kali mengelak untuk tidak menggunakan kekerasan namun ada ketika terpaksa berbuat demikian disebabkan perwatakan anak-anak yang sukar diatur.

Mujur, teknik mendisiplinkan anak-anak melalui teknik sudut diam atau time out berikut mendatangkan hasil yang baik terutama bagi anak-anak berusia dua tahun ke atas.

Metodologi

(a) PILIH MASA & LOKASI 

Cari tempat yang mudah untuk anda memantau dan tidak berisiko mendatangkan kecederaan terhadap anak-anak. Gunakan kerusi, alas lantai atau apa sahaja peralatan yang boleh digunakan mereka berdiri atau duduk. Sebagai tanda peringatan kepada mereka, cipta nama tertentu untuk menggambarkan cara disiplin ini dengan gelaran ‘zon senyap’.

Selain itu, ibu bapa boleh sengaja mencipta ruang tersebut dengan cara membosankan seperti tiada televisyen, barang permainan atau apa sahaja objek yang boleh mengganggu konsentrasi anak-anak. Juga, asingkan mereka dari anak-anak lain. Tetapkan pula berapa lama mereka harus berada di sana.

Misalnya, dua minit untuk yang berusia dua tahun, tiga minit bagi berusia tiga tahun dan seterusnya. Jika dirasakan tempoh berkenaan masih tidak mencukupi untuk mendisiplinkan anak anda, lanjutkan masa denda tetapi sentiasa peka terhadap ketetapan masa dan pemantauan anak.

(b) KENALKAN LOKASI ‘TIME OUT’

Apabila anak-anak dalam keadaan terkawal, kenalkan kepada mereka ‘zon senyap’ atau lokasi time out

tersebut di samping menerangkan kepada mereka fungsi dan tujuan anda berbuat demikian.

Sebagai contoh, jika salah seorang anak didapati tidak berkelakuan baik seperti tidak mendengar kata, memukul, menggigit, menjerit atau melontar barang, mereka perlu didenda duduk di situ.

(c) USAH TANGGUH HUKUMAN

Jangan tunggu selesai makan, menonton televisyen atau sebagainya jika didapati anak melakukan kesalahan yang telah anda nyatakan terhadap mereka. Segera bawa anak-anak ke ruang time out kerana kanak-kanak memiliki memori yang sangat singkat dan jika ibu bapa tidak dilakukan segera, mereka akan lupa sekaligus tidak memberi sebarang impak.

(d) IBU & ANAK DALAM KEADAAN TENANG

Sentiasa tanam di fikiran ibu bapa bahawa bentuk didikan ini bertujuan untuk meredakan situasi dan mendisiplinkan anak-anak. Untuk itu, ibu bapa harus mengawal emosi dan bertindak tenang meskipun ketika menjatuhkan hukuman ini kepada anak. Apabila mengenakan denda, usah menjerit mahupun mengkritik. Cara terbaik adalah dengan menunjukkan ketegasan

(e) KEKAL KONSISTEN

Usah teragak-agak untuk terus mempraktikkan usaha ini biarpun anak pernah melaluinya beberapa kali. Apa yang penting, memastikan ia terus dilaksana dengan konsisten agar anak-anak sedar anda amat menitikberatkan kaedah ini bagi mendisiplinkan mereka.

(f) AJAK ANAK BERBUAL USAI SELESAI

Apabila sudah tamat masa denda, ajak si kecil berbual bersama. Sekali lagi terangkan kepada mereka sebab dan akibat daripada perlakuan mereka serta menanyakan anak anda adakah mereka faham tindakan anda tersebut.

Dalam masa sama, berikan mereka peluang untuk menzahirkan perasaan di samping mengingatkan anak-anak supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Suziana Abu Daud

Share
Published by
Norzalina