Belum habis masyarakat seluruh dunia memperkatakan mengenai ‘Wedding of The Year’ Priyanka Chopra dan Nick Jonas. Pasangan romantis ini sekali lagi membuatkan ramai berbicara apabila mereka mengadakan resepsi yang gilang-gemilang. Selepas lawatan singkat ke New York City, Chopra dan Jonas telah membuat penerbangan 15 jam ke Mumbai untuk majlis perkahwinan kedua dan ketiga.
Mereka mengadakan majlis resepsi yang kedua pada Rabu lalu. Priyanka tampil memukau dengan memakai persalinan gabungan rona biru dan keemasan dipadankan bersama kalung berlian yang cukup menonjol. It’s almost blinding! Manakala Jonas tampil kacak dalam tuxedo rona kelabu bersama padanan top hitam. Sememangnya pasangan merpati dua sejoli ini tampil menyerlah.
Priyanka juga menggayakan gaun two-piece ilham pereka terkenal Ralph & Russo di majlis resepsi tersebut. Penampilan tersebut pertama kali ditunjukkan semalam oleh penata gaya Priyanka iaitu Mimi Cuttrell melalui akaun Instagram miliknya. Rekaan tersebut menonjolkan sisi feminin seolah seperti Puteri Jasmine ke dalam diri Priyanka.
Majlis resepsi ketiga atau yang terakhir akan diadakan pada hari ini dimana ia khusus buat komuniti Bollywood. Priyanka akan tampil dengan menyarungkan pakaian yang tampak mewah untuk menutup tirai majlis resepsi terakhirnya.
NEELOFA Akur Tak Selamanya “Sembunyikan” Wajah Bilal
Sejak akhir-akhir ini, nama Muhammad Bilal Muhammad Haris sering menjadi sebutan di kalangan peminat ibunya, Noor Neelofa Mohd Noor kerana sejak dilahirkan pada 29 Januari 2022, wajahnya tidak pernah dikongsikan di laman sosial media milik ibu dan bapanya.
Namun begitu, selebriti dan usahawan berpengaruh itu akur tidak selamanya dia akan ‘menyembunyikan’ wajah anak sulungnya, Muhammad Bilal Muhammad Haris daripada tatapan umum.
Walau bagaimanapun, Neelofa lebih selesa untuk berkongsi wajah anak lelakinya yang telah menginjak usia lapan bulan itu apabila tiba masanya dan bukan dalam keadaan dipaksa-paksa.
Terdahulu, Neelofa turut berkongsi perkembangan anak kesayangannya itu. Menurut Neelofa, putera kesayangannya itu sudah boleh merangkak dan tidak lama lagi akan berjalan.
“Bilal sudah boleh merangkak dan tidak lama lagi akan berjalan. Pada waktu itu, saya dan Haris pasti akan membawanya bersiar-siar di taman atau bercuti bersama keluarga.
“Tiada sebab untuk saya sekat orang daripada melihat wajah Bilal apabila terserempak. Cuma, saya harap keadaan itu berlaku secara semulajadi.
Selebriti ini juga berkata dia tidak akan menghalang mereka yang ingin melihat Bilal apabila berada di kawasan umum apatah lagi sebagai selebriti dia dan keluarganya pasti akan bertemu dengan ramai orang .Sebagai ibu bapa, dia dan Haris akan memastikan keadaan terkawal untuk keselesaan Bilal apatah lagi apabila berada di khalayak ramai.
“Kami akan memastikan keadaan terkawal dan masa bersesuaian jika ada yang mahu melihat atau bergambar.
“Apa yang saya harapkan, mereka menghormati privasi kami sekeluarga. Saya tidak akan sembunyikan Bilal bila orang ternampak.
“Alang-alang mereka sudah ambil tahu pasal Bilal, tiada salahnya jika mereka turut mendoakan kesejahteraannya,” katanya.
Neelofa ditemui di majlis pelancaran produk terbarunya, Nilofa Plus Drintox Pineapple Juice, minuman suplemen kesihatan yang menjadi salah satu rahsia bagaimana Neelofa berjaya mengembalikan berat badan ideal selepas bersalin.
Neelofa mendirikan rumah tangga dengan pendakwah bebas, Muhammad Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz pada 27 Mac 2021.
Sumber: Mstar & Media Hiburan
4 Cucu Ratu Denmark Kehilangan Gelaran Yang Teramat Mulia
Kehidupan sebagai anggota kerabat diraja sering kali digambarkan sebagai kehidupan yang indah dan sering mendapat perhatian masyarakat di seluruh dunia. Baik dari segi protokol gaya hidup sehinggakan kisah-kisah peribadi menjadi sajian di media massa.
Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan keputusan yang dibuat oleh Ratu Margrethe II yang melucutkan gelaran monarki terhadap empat orang cucunya iaitu Nikolai, Felix, Henrik dan Athena. Mulai 1 Januari 2023, empat anakanda Putera Joachim. dan Countess Alexandra tidak lagi akan dirujuk sebagai Yang Teramat Mulia.
Baginda membuat keputusan itu dengan harapan empat beradik itu dapat membentuk kehidupan mereka tanpa rasa tertekan oleh tugas atau peraturan rasmi diraja.
Malah, keputusan yang diambil oleh Ratu Margrethe itu dilihat mengejutkan tetapi menurut sumber ia dibuat untuk membebaskan keturunannya daripada pemerintahan atau tugas diraja.
Putera Joachim dan isteri pertamanya iaitu Alexandra, Countess of Frederiksborg mempunyai dua orang putera, Nikolai dan Felix yang merupakan pewaris ketujuh serta kelapan dalam barisan perwarisan takhta Denmark.
Pasangan Diraja tersebut bercerai pada 2005 dan berkongsi hak penjagaan kedua-dua putera itu. Nikolai dan Felix mempunyai dua lagi adik – Putera Henrik, 12 dan Puteri Athena, 10 hasil perkahwinan kedua bapanya.
Putera Nikolai dari Denmark yang dilucutkan semua gelaran monarkinya menyuarakan rasa terkejut, sedih dan keliru berhubung keputusan tersebut yang dibuat oleh nendanya, Putera yang turut dikenali sebagai seorang model ini melahirkan rasa terkejut dan keliru walaupun mereka masih akan menerima gelaran Tuan Yang Terutama Count daripada Monpexat dan memasuki takhta monarki Denmark.
Nikolai, 23, tidak lagi boleh menggunakan semua gelaran monarki selepas beliau dan tiga adik-beradiknya diberitahu oleh Ratu Margrethe bahawa pelucutan gelaran itu adalah untuk kebaikan mereka pada masa hadapan.
“Seluruh keluarga saya dan saya sendiri berasa sangat sedih. Kami, seperti yang dinyatakan oleh ibu bapa saya, terkejut dengan keputusan ini dan betapa cepatnya keputusan ini dibuat,” katanya yang merupakan anak sulung Putera Joachim.
Sementara itu, Countess Alexandra iaitu ibu kepada Putera Nikolai dan Putera Felix, 20, juga mempersoalkan keputusan Ratu Margrethe yang didakwa dibuat dalam tempoh singkat.
“Mereka tentunya akan kehilangan gelaran diraja apabila mereka berkahwin suatu hari nanti.
“Countess Alexandra tidak memahami mengapa pihak Istana enggan menunggu sehingga hari tersebut di mana gelaran monarki mereka akan hilang secara automatik”, kata setiausaha akhbar Alexandra, Helle von Wildenrath Løvgreen.
Malah, Putera Joachim hanya dimaklumkan mengenai keputusan itu lima hari lalu dan merasakan bahawa ini telah menyakiti anak-anaknya walaupun Ratu menyatakan keputusan itu untuk kebaikan cucu-cucunya.
Istana Denmark berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa terdapat banyak emosi susulan pengumuman itu tetapi keputusan mengenainya sudah lama dibincangkan dan diputuskan bagi menjamin masa depan monarki.
Empat cucu Ratu Margrethe yang lain iaitu Putera Christian, 16, Puteri Isabella, 15, dan kembar Putera Vincent dan Puteri Josephine yang berusia 11 tahun dan merupakan anak kepada putera sulung dan pewaris takhta, Putera Mahkota Frederik akan mengekalkan gelaran mereka.
Untuk info, selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II baru-baru ini, Ratu Margrethe II memegang gelaran monarki paling lama bertakhta di Eropah. Margrethe, 82 menaiki takhta pada tahun 1972 dan telah menerajui Denmark sebagai Ratu selama 50 tahun.– Agensi
Badan Sado Tapi Songsang, Luluh Hati Isteri Nampak Suami ‘Bersama’ Boyfriend!
Tatkala seluruh negara diminta mengamalkan social distancing, rupanya masih ada minoriti pasangan sejenis yang susah berenggang. Kisah rumah tangga Puan S ini bukan disiarkan untuk membuka aib sesiapa, melainkan sebagai peringatan bahawa masih wujud sekelompok kaum Nabi Lut dan beratnya dugaan isteri mendepani suami songsang.
“Nama saya S, saya seorang akauntan serta ibu kepada dua cahaya mata”
Tujuan saya berkongsi cerita ini bukanlah mahu membuka pekung di dada, jauh sekali mahu memburuk-burukkan suami atau mendedahkan kekurangan dirinya pada orang lain. Tapi saya harap dengan perkongsian ini dapat membuka mata masyarakat tentang perlakuan di luar tabii manusia dan realiti ‘persahabatan’ lelaki yang sebenarnya.
Perkahwinan saya dan Syed, kini masuk tahun ke-8. Kami berkahwin kerana suka sama suka dan pada awal-awal dahulu, amat bahagia sekali. Setiap hari ibarat musim bulan madu. Usik mengusik dan saling ketawa. Saya benar-benar pernah bahagia… Bagi saya, dialah segala-galanya.
Masuk tahun ketiga bekerja saya dinaikkan pangkat. Pendapatan saya lebih stabil daripada Syed tapi saya tahu, suami adalah syurga isteri. Dengan niat mahu meringankan bebannya, saya ambil tugas membeli barang keperluan rumah kami, bayar ansuran apartmen dan bil-bil setiap bulan.
Anehnya gaji Syed semakin lama, semakin kurang. Sepertinya tidak mencukupi setiap bulan untuk menampung belanja lain. Bahagian yang patut dibayar terpaksa saya lunaskan. Kalau tidak, menimbunlah tunggakannya. Dari sebulan dua, melarat hingga berbulan-bulan. Saya redha berkorban demi keselesaan kami anak-beranak.
Bila ditanya ke mana gaji Syed, jawabnya tidak ada. Perniagaan merosot. Tiada jualan. Syarikat rugi dan macam-macam lagi. Kadang-kadang pasal duit, kami bergaduh besar. Jadi disebabkan malas bergaduh, maka saya hadam dan telan saja sikapnya.
Mula Berubah
Perubahan Syed tidak berlaku secara drastik. Dia mula suka ke gimnasium untuk membina badan sekitar tahun 2017. Ada masanya kawan-kawan gym suami datang lepak di rumah. Badan semua berotot dan sasa. Ada seorang dua yang lembut. Wajah putih bersih, bibir merah dan bercukur alis… macam pelakon Thailand!
Mereka suka datang sewaktu ketiadaan saya dan anak-anak. Bila balik rumah, saya tahu mereka datang bila sinki ada pinggan-pinggan kotor. Habuk dan puntung rokok merata. Syed sekarang sejak diberi unpaid leave oleh majikannya, selalu merungut stres. Tak ada duit. Jadi untuk hilangkan bosan, dia ajak mereka ke rumah.
Oh yea, waktu itu sebenarnya memang mencurigakan. Syed selalu main telefon, senyum seorang diri dan paling ganjil, syok ambil selfie! Bila ditegur, dia ajak pula saya bergambar katanya untuk di post ke Facebook. Sebagai isteri, saya masa tu langsung tiada syak wasangka tapi maaf cakap, sudah dua tiga bulan juga kami tidak berhubungan intim.
Kantoi Bercinta
Dua hari sebelum arahan PKP dikuat kuasakan, Allah nak tunjuk sikap sebenar Syed. Kebetulan hari tu saya kurang sihat dan dapat cuti separuh hari, jadi saya pulang dengan tujuan mahu berehat. Masa itu hanya bantal yang terbayang. Anak-anak sengaja saya biarkan di taska dulu kerana tidak larat.
Tapi sampai saja di apartmen, saya lihat pintu tak berkunci dengan beberapa pasang selipar lelaki di luar. Dengan lagak terhendap-hendap, saya berjingkit masuk ke dalam. Ya Allah! Tiba-tiba tegap di depan mata, seorang lelaki yang cukup saya kenali, iaitu suami saya sedang bersama seorang lelaki lain berasmaradana di ruang tamu kami.
Sempat saya beristighfar panjang sebelum dunia jadi gelap segelap-gelapnya. Saya terus pengsan. Entah berapa lama begitu, buka mata saja saya sudah terbujur di atas sofa. Ayat pertama yang saya dengar adalah ucapan maaf. Berkali-kali Syed mohon maaf di atas dosa yang dilakukan tadi.
Jijiknya saya melihat dia… memikirkan hubungan maksiatnya itu dan entah beribu kali telah dibuat sewaktu ketiadaan saya ke pejabat. Sungguh, saya tak sangka sampai begitu sekali. Tidak pernah terlintas dia bernafsu pada kaum sejenis, pada kawan-kawan sado yang selalu datang ke rumah. Ah, saya benci dan meluat melihat mukanya!
Petang itu saya menggeletar seluruh badan. Saya berlalu keluar tanpa sepatah kata apabila teringatkan anak-anak yang menunggu di taska. Hati saya hancur. Berkecai-kecai luruh ke hujung kaki. Tapi hendak menangis pun tak guna. Saya hilang respek pada dia, lebih teruk lagi kerana dia curang dengan kaum sejenisnya.
Membisu
Sehari selepas peristiwa itu, negara diarahkan Perintah Kawalan Pergerakan. Maka saya hanya mampu stay at home bersama anak-anak dan Syed walaupun meronta-ronta hati ini mahu pulang ke rumah ibu bapa saya. Syed ada cuba-cuba memujuk dan minta saya lupakan hal tersebut. Dia janji tak buat lagi.
Sebenarnya saya dah tawar hati dengan Syed. Terkenang betapa pengorbanan selama ini, untuk dia, hanyalah sia-sia belaka. Tapi kerana simpati, saya berusaha memaafkan perbuatan suami dengan sumpah, “Akan gugur satu talak ke atas saya jika dia mengulangi maksiat keji itu”. Syed setuju.
Kini sepanjang PKP di rumah, kami lebih banyak membisu daripada bercakap. Anak-anak pun hairan, kenapa Mama asyik berkurung dalam bilik. Saya jadi begitu setiap kali nampak Syed capai telefonnya. Saya ragu-ragu jika itu semua cuma alasan untuk berhubung kekasih gelapnya.
Entahlah, saya makin bingung di rumah. Ingatkan kalau PKP berakhir dapatlah bawa masalah ini ke pejabat agama. Rancangan saya supaya Syed diberi kaunseling dan kemudian kami sama-sama dekatkan diri dengan Tuhan. Tapi nampaknya PKP dilanjutkan! Saya buntu sekarang. Doakanlah agar saya kuat dan bertemu penyelesaian terbaik untuk masalah kami ya!