Wanita Malaysia terus bangkit mengharumkan nama di persada antarabangsa. Terbaharu, jurutera Prof Ir Dr. Leong Wai Yie menjadi rakyat Malaysia pertama menerima anugerah daripada Persekutuan Pertubuhan-Pertubuhan Kejuruteraan Sedunia (WFEO) di Paris, Perancis.
Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Sains Semula Jadi, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu Shamila Nair-Bedouelle.
Kini Prof Ir Dr. Leong Wai Yie merupakan Pengarah di Pusat Kecemerlangan Penyelidikan, Universiti Perdana. Beliau juga adalah profesor dalam Kejuruteraan Perubatan di universiti tersebut.
Beliau menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Kejuruteraan Elektrikal (Kepujian) dari Universiti Queensland, Brisbane, Australia pada tahun 2005.
Selain itu, Prof Ir Dr. Leong Wai Yie juga pernah menerbitkan 6 siri buku dan lebih 100 kertas kajian yang mengetengahkan topik inovasi dalam elektronik dan kejuruteraan biomedik.
Menurut Institusi Kejuruteraan dan Teknologi (IET), anugerah ‘Gree Women in Engineering Award’ yang bermula pada 2018 bertujuan mengiktiraf jurutera wanita yang cemerlang.
Antara pencapaian cemerlang Prof Ir Dr. Leong Wai Yie ialah menubuhkan program bimbingan wanita dalam kejuruteraan untuk lebih 1,000 jurutera wanita.
Prof Ir Dr. Leong Wai Yie juga telah menjalankan lebih 500 ceramah, seminar dan persidangan untuk mengajar serta menyokong wanita dalam bidang ini.
UCAPAN TAHNIAH
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah terhadap kejayaan Prof Ir Dr. Leong Wai Yie.
“Pencapaian cemerlang beliau sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” menurut catatan di Facebook Istana Negara pada Khamis, 21 April 2022.
Baginda berdua juga berharap agar pencapaian Prof Ir Dr. Leong Wai Yie menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing sama ada dalam negara mahupun di persada dunia.
Inspirasi! Mualaf Korea Belajar Tarannum Dengan Johan Qariah, FARHATUL FAIRUZAH
Tumpang gembira dengan kejayaan Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Nor Farhatul Fairuzah Panut baru-baru ini. Selepas bergelar usahawan muslimah dan menerbitkan single dakwah tahun lepas… tahun ini Farha kembali menyemarakkan semangat cintakan Al-Quran. Sampaikan mualaf yang juga personaliti Youtube terkenal negara itu, Daud Kim pun teruja hendak belajar tarannum dengan gadis kebanggaan Malaysia ini. Kagum!
Ketika menghubungi Farha, gadis berusia 20 tahun ini memberitahu dia dan ibunya berangkat ke Korea Selatan minggu lalu dan berada di sana selama enam hari bagi menjayakan sebuah travel log. Berkongsi momen menarik dengan masyarakat di laman media sosial, Farha turut tidak melepaskan peluang mengenali budaya Korea selain mengenakan persalinan tradisional. Dengan raut wajah Farha, ramai mengatakan gadis ini tidak ubah seperti wanita di sana.
Berkesempatan bertemu dengan Daud Kim, ada cerita menarik yang ingin dikongsikan anak kelahiran Selangor ini kepada pembaca Nona. “Bagi saya, dia seorang yang memiliki
peribadi yang sangat bagus. Ketekunan dia mempelajari Islam sangat menyentuh hati. Sepanjang pertemuan bahkan dalam kereta sekalipun dia rajin hafal surah Al-Fatihah. Katanya, dia nak tarik lebih ramai orang untuk minat Islam.”
Menerusi perkongsian di Instagram, Farha ada memuat naik video dia dan Daud Kim bertarannum surah Al-Asr. Ujar Farha lagi, selain surah tersebut ada beberapa lagi surah pendek yang dipelajari mualaf Korea berkenaan.
Ditanya perancangan Farha selepas berjaya berkongsi ilmu tarannum dengan personaliti Youtube Korea, anak perempuan Allahyarham Haji Panut dan Hajah Jaliah Haji Simin ini sudah pun merencana hala tujunya tahun ini. “Rancangan untuk tahun 2020 ini saya nak mendalami ilmu Quran dan berjumpa lebih ramai ulama. Selain mahu berkunjung ke beberapa negara lagi dengan harapan semoga lebih ramai lagi meminati Quran dan mengajak golongan anak-anak muda supaya bangkit demi Islam.”
View this post on InstagramA post shared by Farhatul Fairuzah (@farhatulfairuzah) on
Lebih sembilan bulan menyandang gelaran Johan Qariah termuda dalam sejarah MTHQA, Farha terus melangkah setapak ke hadapan dengan menceburi bidang perniagaan muslimah. Hujung Julai tahun lalu, anak bongsu daripada lima beradik ini telah melancarkan koleksi hijab miliknya di bawah label Farha Looks. Selaku pengasas, dia bertanggungjawab memastikan produk keluarannya berkualiti dan paling utama ialah menepati syariah.
Bangga dengan pencapaian Farha. Muda-muda lagi sudah ada wawasan dan menambah ‘bekalan’ dunia serta akhirat. Dengar khabar, tudung bawal shawl Farha Looks dah banyak
yang sold out! Di samping mengajak para muslimah menutup aurat dan berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan, Farha turut mengambil pendekatan berdakwah melalui muzik.
Ogos tahun lalu juga, single dakwah pertama Farha bertajuk ‘Bukti’ diperdengarkan kepada umum. Sudahlah pandai mengaji, punya ilmu agama, berpekerti baik, dan sekarang… bijak berniaga pula.
Masih segar lagi kenangan bertemu Farha ketika sesi fotografi bersama Nona, Mac tahun lalu. Ditemani ibu tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin, Farha mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Ada saja masa terluang dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya.
“Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.
Mengimbas semula detik kemenangan Farhatul yang telah berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang hafaz Al-Quran, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah tertinggi iaitu 86.67 peratus. Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.
Kongsi Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah
yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah. Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula
pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.
Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya. Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.”
Nak Maju & Berjaya Kena Sentiasa Rebut Peluang, Macam DATO’ RAZI’IE MAHMOD Yang Tak Kenal Erti Kalah!
Kemampuan golongan wanita hari ini sememangnya tidak boleh dinafikan lagi tidak kira dalam bidang kerjaya tetap mahupun perniagaan yang diusahakan sendiri. Rata-rata kini ramai yang berjaya melakar kejayaan malah tidak kurang juga ada yang menjadi jutawan! Apa pun rezeki masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Rashwealth Group Sdn Bhd, Dato’ Razi’ie Mahmod tidak mengenal erti kalah demi menggapai kejayaan bukan sekadar buat dirinya malah demi syarikat yang kian berkembang.
Lebih membanggakan apabila sebuah syarikat besar diterajui oleh wanita muda berusia 34 tahun ini. Kematangan fikirannya melangkaui usia serta jauh di luar kotak dalam merencana hala tuju empayar perniagaan yang bertapak sejak tahun 2014.
LATAR BELAKANG
Dato’ Razi’ie mahmod memiliki pakej lengkap iaitu cantik dan bijak. Ibu dua anak ini pernah mengikuti pengajian dalam bidang farmasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pernah menjalani latihan di Hospital Kuala Lumpur sebelum meneruskan kerjaya di Gleneagles Intan Medical Centre Kuala Lumpur selama dua tahun.
Kemudian beliau meneruskan profesion di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur juga selama dua tahun. Setelah melihat masa depan yang lebih cerah Dato’ Razi’ie memilih untuk terlibat dalam industri jualan langsung secara sepenuh masa pada tahun 2008. Hasil usahanya beliau berjaya merangkul gelaran Highest Income Earner oleh syarikat jualan langsung yang beliau terlibat sebelum ini.
Enam tahun berada dalam industri jualan langsung akhirnya Dato’ Razi’ie mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat jualan langsung miliknya sendiri. Minat yang terlalu mendalam terhadap perniagaan di samping pengetahuan yang dimiliki dalam bidang farmasi menjadi panduan terhadap kajian serta pembangunan produknya (R&D).
Dato’ Razi’ie turut memiliki kilang memproses produk kesihatannya sendiri iaitu Rashwealth Biotech terletak di Kajang.
NIAT MAHU MEMBANTU
“Saya memilih perniagaan produk kesihatan kerana memiliki latar belakang dalam bidang farmasi selain ingin membantu golongan yang memerlukan. Menerajui sebuah syarikat bukanlah satu kerja mudah. Kadangkala saya juga melakukan kesilapan dalam membuat keputusan. Penting bagi saya untuk membuat keputusan yang tepat agar mendatangkan keuntungan kepada syarikat.
Setiap kesilapan dijadikan pengajaran seterusnya mencari pelan alternatif. Sikap mudah mengalah tiada langsung dalam kamus hidup saya. Apa pun yang berlaku perlu ada jalan penyelesaian. Selalunya jika ada sebarang masalah saya akan duduk berbincang bersama team.
Saya menjadikan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Vida sebagai sumber inspirasi. Ikon luar negara pula saya sangat mengagumi Jack Ma, beliau berjaya membina satu platform pasaran terbuka terbesar yang diguna pakai oleh seluruh dunia seperti Alibaba. Saya juga kini dalam proses melancarkan sebuah platform pasaran terbuka buat para usahawan kecil di Malaysia bagi memasarkan produk mereka dibawah nama ‘Senang Jual Beli App’,” ujar Dato’ Razi’ie.
IMPIAN
Target 10 tahun mendatang saya akan kurang bekerja kerana mahu memberikan komitmen terhadap keluarga. Saya mahu menikmati hasil usaha yang telah dilakukan sekarang. Saya juga mahu membina empayar perniagaan bukan hanya di Malaysia malah ke seluruh dunia. Sebab itulah saya mengasaskan Rashwealth Biotech kerana ia salah satu cabang untuk saya meneroka pasaran luar.
Saya juga berhasrat ingin menyertai bidang hartanah kerana ia sangat menguntungkan dalam jangka masa panjang. Kini saya juga telah mula membeli beberapa buah hartanah bagi pulangan pelaburan jangka masa panjang. AMY MOHD
Kredit Foto : Instagram Dato’ Razi’ie @raziiegee
“Tidak Ada Istilah ‘AKU OTAI’ Dalam Dunia Solekan, Tak Salah Belajar Dari JURUSOLEK BARU” – Sheila Mohamad, Jurusolek Selebriti
Namanya seringkali meniti di bibir ramai selebriti tanah air. Dia di antara jurusolek artis yang menjadi ‘orang kuat’ dalam menghasilkan solekan yang indah di wajah-wajah persona negara. Hasil karyanya diminati dan personalitinya disenangi orang-orang sekeliling. Sheila Mohamad bukanlah nama asing lagi dalam industri solekan. Perintis muda yang baharu ingin menceburi bidang ini turut mengangkat Sheila Mohamad sebagai ‘guru’ bidang solekan.
Tidak pernah sunyi laman Instagram daripada post yang menunjukkan hasil karyanya, Sheila Mohamad bangga kerana apa yang dilakukannya ini mendapat perhatian. Usaha dan kegigihannya selama ini juga diabadikan dalam sebuah pertandingan pencarian makeup artis, Malaysian Makeup Artis Awards (MMA) yang diadakan dengan gah sekali pada Ogos lalu.
Bagaimana bermulanya kerjaya sebagai jurusolek?
Saya sudah mula sebagai jurusolek sejak tahun 1995 dan ini adalah tahun ke 26 saya bergelar jurusolek artis. Waktu itu, saya masih di tanah kelahiran saya iaitu Alor Setar Kedah. Apabila tinggal bersama keluarga dan adik beradik perempuan, saya jadi seronok melihat mereka bersolek. Calit sana, calit sini.
Lebih seronok lagi apabila saya melihat orang bersolek sakan untuk menghadiri majlis-majlis yang diadakan. Mungkin menjadi lumrah setiap insan, suka melihat kecantikan dan kesempurnaan. Sejak itu, saya mula menanam minat dan berusaha ke arah minat ini.
Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda memilih untuk menjadi jurusolek?
Alhamdulillah, keluarga saya tidak pernah membantah. Mereka tahu apa yang terbaik untuk anak-anak asalkan apa yang saya lakukan ini dilaksanakan dengan sepenuh hati. Minat itu sangat mendalam, tidak mungkin saya akan sia-siakan kepercayaan yang keluarga berikan kepada saya selama ini.
Apakah cabaran anda sebagai jurusolek?
Setiap kerjaya ada cabarannya tersendiri. Walaupun saya sudah lama di dalma industri, tipulah jika saya boleh bersenang-lenang dan terus hidup dalam kepompong ‘aku otai’. Persaingannya sangat sengit tambah-tambah lagi bidang solekan kini melahirkan ramai jurusolek-jurusolek baru melalui sosial media khususnya.
Untuk bersaing dengan mereka, saya juga perlu banyak belajar. Teknik-teknik yang mereka gunakan melalui peredaran zaman dan mengikut permintaan ramai. Jadi, saya tidak boleh duduk diam dan terus belajar, waima daripada jurusolek baru sekalipun.
Siapakah idola anda dalam kehidupan?
Saya meletakkan bapa saya sebagai idola dalam kehidupan. Selain itu, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad adalah idola yang sangat saya hormati.
Bagaimana anda mengekalkan kedudukan anda sebagai jurusolek kini?
Tidak susah sebenarnya untuk kekal relevan dalam industri. Just be professional, never stop learning and be creative. Sebagai jurusolek, kita bagai mempunyai hubungan erat dengan selebriti dan pelanggan yang memberi kepercayaan kepada kita untuk mencantikkan mereka. Jadi, dalam apa juga keadaan kita perlu sentiasa bersedia.
Sebagai contoh, apabila saya menerima job dan konsep diberikan pada hari penggambaran, saya perlu bersedia dengan peralatan yang ada. Kita perlu bijak menyampaikan apa yang diingin pelanggan walaupun peralatan tidak mencukupi.
Dan sebagai jurusolek ‘lama’, jangan pernah ego untuk belajar Teknik-teknik baru dalam solekan daripada orang lain. Lain orang, lain kelebihan mereka. Jangan segan untuk belajar, jangan sombong untuk bertanya. Kita cuba kekalkan kedudukan kita sebagai jurusolek artis.
Pada pendapat anda, apakah kelebihan anda dalam solekan?
Semakin lama kita menyolek orang, kita sebenarnya mengasah skil yang kita ada. Jujurnya saya merasakan skil, teknik dan pengalaman saya adalah perkara yang membuatkan orang mengenali siapa Sheila Mohamad. Teknik dan skil ini boleh dipelajari tetapi untuk lebih menajamkan keupayaan dan kelebihan itu, kita perlu sentiasa praktis.
Dari segi pengalaman pula, mungkin saya sudah lama dalam industri ini membuatkan saya sudah faham apa yang dikehendaki seseorang. Apabila bertemu pelanggan, saya sudah mengenali karaktor mereka dan sesuaikan dengan solekan yang betul. Kita tak boleh syok sendiri. Apa yang cantik di mata kita, mungkin tidak sesuai dengan personaliti mereka jadi kita perlu memahami pelanggan itu.
Bagaimana anda melihat kemunculan jurusolek ‘instant’ kini dan adakah anda melihat itu sebagai satu cabaran atau persaingan?
Ia sangat bagus! Dek kerana kebanjiran jurusolek ini membuatkan saya mengadakan pertandingan MMA bersama teman seperjuangan, Deq Sha. Mereka mempunyai bakat yang sangat besar dan kreativiti mereka benar-benar mengikut arus zaman. Apa yang mereka miliki itu adalah satu cabaran yang perlu kita sahut kerana dari situlah persaingan jurusolek lama dan baru akan mengembangkan lagi skil dan dunia solekan kini.
Nasihat anda kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang ini?
Nasihat saya, walaupun jauh mana kita berada sebagai jurusolek, kita tetap perlu terus belajar dan mencari ilmu supaya skil yang ada tidak hanya setakat itu sahaja. Paling penting, belajar merendah diri dan buangkan sikap ego dan sombong agar disenangi orang sekeliling. Sekalipun kita ada bakat namun andai personaliti kita negatif, ia tidak akan ke mana.