Umum sedia maklum menuntut ilmu merupakan satu fardu (wajib) terhadap seseorang individu. Dalam erti kata lain dengan adanya pendidikan, ia mampu mengeluarkan seseorang atau sesebuah keluarga daripada kepompong kemiskinan.
Oleh itu, untuk keluar daripada belenggu kemiskinan, pendidikan adalah jalan terbaik yang dapat menentukan sejauhmanakah seseorang itu boleh pergi lebih jauh. Tidak dinafikan, semakin tinggi pengetahuan pendidikan yang dicapai, semakin terbuka luas peluang pasaran untuk menjawat pelbagai jawatan dan mendapat pulangan yang lumayan.
Namun begitu, kepentingan pendidikan ini tidak harus dilihat dari segi matlamat ekonomi sahaja, tetapi ia berkaitan dengan melahirkan seorang insan yang beriman. Dalam usaha mendapatkan pendidikan yang sempurna, tabungan dana pendidikan juga perlu diberi perhatian khusus untuk membolehkan proses melanjutkan pelajaran tidak dibebani
dek hutang yang boleh menjejaskan kehidupan di masa akan datang.
Atas insiatif ini, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997.
Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid yang ditemui ketika sesi penggambaran NONA Superhero Award baru-baru ini menerangkan tentang fungsi PTPTN secara menyeluruh.
“Sepertimana yang kita sedia maklum, penubuhan PTPTN merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memastikan tidak ada pelajar yang tercicir untuk meneruskan pendidikan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN memainkan peranan penting dalam mendukung hasrat kerajaan untuk memastikan kelestarian pendidikan tinggi terus terjamin melalui fungsi dan peranan PTPTN termasuklah menguruskan pinjaman untuk tujuan pendidikan tinggi dan seterusnya memungut bayaran balik pinjaman, menyediakan skim simpanan dan mengurus deposit untuk tujuan pendidikan tinggi,” ujar beliau yang telah berkhidmat selama 25 tahun di PTPTN dan merupakan salah seorang pegawai terawal yang menyertai PTPTN pada tahun 1998.
Tambah beliau lagi, peranan PTPTN merangkumi memberi akses pendidikan yang lebih tinggi dalam memberi manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat amatlah besar kerana melalui pendidikan mereka dapat membangunkan taraf hidup keluarga, bangsa dan negara.
“Pelbagai usaha dan bantuan dilaksanakan bagi mereliasasikan hasrat masyarakat Malaysia antaranya memberi bantuan kepada para pelajar di peringkat awal dengan memperkenalkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada para pelajar yang akan memasuki Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tanpa perlu ibu bapa mengorbankan tanah, barang kemas atau binatang peliharaan mereka.
Tidak hairanlah mengapa jenama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ini cukup sinonim dalam melestarikan impian pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Malah pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk memastikan ibu bapa cakna
soal menabung untuk dana pendidikan anak-anak supaya peluang dan ruang untuk melanjutkan pelajaran terbuka luas tanpa kekangan dari aspek kewangan.
“PTPTN merupakan tabung pendidikan untuk masa depan rakyat Malaysia. Ia merupakan satu tabung yang disediakan ibu bapa untuk anak-anak melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Dengan adanya tabung ini, ia membolehkan anak-anak belajar sehingga ke
peringkat yang tertinggi tanpa masalah kewangan.
Ia membuka peluang masa depan yang lebih cemerlang menerusi manfaat dan nilai tambah yang diperoleh daripada pendidikan tinggi sekali gus menjadi orang yang berguna untuk masyarakat dan dapat memberi sumbangan kembali kepada masyarakat,” ujarnya mewakili badan tersebut untuk pengiktirafan sebagai NONA BEST FUTURE EDUCATION FUND AWARD sempena NONA Superhero Award 2023.
Ketika ditanya mengenai pelbagai medium simpanan yang wujud sebagai langkah untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan amalan menabung, Ahmad Dasuki mempunyai pandangannya tersendiri.
“Sejak kebelakangan ini banyak cara simpanan yang diperkenalkan antaranya termasuklah simpanan emas dan sebagainya. Ada juga yang menjadikan hartanah sebagai tabungan untuk dana pendidikan. Tetapi di PTPTN kami memperkenalkan tabungan yang dikenali sebagai Simpan SSPN untuk penabungan awal anak-anak.
“Antara produk simpanan yang diperkenalkan oleh PTPTN termasuklah Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau dikenali Simpan SSPN. Ia merupakan satu skim simpanan yang diwujudkan oleh PTPTN untuk penabungan pendidikan tinggi dari seawal usia 1 hari. Ia diperkenalkan sejak tahun 2004 lagi untuk menyemai tabiat menabung di kalangan
ibu bapa.
Dengan adanya simpanan ini, ia dapat menjadi tabungan pendidikan untuk anak-anak tanpa perlu meminjam dari mana-mana institusi. Inilah yang dikatakan pendidikan secara percuma oleh PTPTN di mana ibu bapa menyediakan satu dana dan tak perlu bergadai dengan adanya simpanan,” ujarnya lagi.
Ramai beranggapan usai menamatkan pengajian di peringkat universiti, para graduan merasa terbeban untuk membayar kembali pinjaman pendidikan atas pelbagai faktor dan desakan kewangan. Stigma tersebut dapat dielakkan sekiranya tabiat menabung dapat disemai sebaik mungkin.
Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, dari perspektif pelajar, minat dan tabiat menabung boleh dibuat secara berterusan dan berbelanja secara berhemah untuk masa depan.
Jika sebelum ini pelanggan perlu log masuk di portal yang berbeza untuk mendapatkan
perkhidmatan PTPTN. Kini, pelanggan dapat menikmati pelbagai kemudahan PTPTN
berkaitan bayaran balik, simpanan dan pinjaman dalam satu aplikasi secara Single
Sign On (SSO). PTPTN juga terus komited untuk memastikan para peminjam membuat
bayaran balik pinjaman secara konsisten bagi kelangsungan dana untuk generasi akan
datang.
Sehingga 31 Oktober 2023, seramai 2.25 juta peminjam atau 83.05% yang sepatutnya
membuat bayaran balik, telah mula membuat bayaran balik pinjaman mereka. Terima
kasih diucapkan kepada para peminjam atas sifat tanggungjawab yang ditunjukkan.
Semoga amalan mulia ini dicontohi oleh para peminjam lain. Sesungguhnya bayaran
balik yang diterima adalah penting untuk memastikan kesinambungan pinjaman kepada
pelajar baharu.
“Ia sekali gus memberikan peluang dan ruang untuk para pelajar belajar bersungguh-sungguh dan menamatkan pengajian ke peringkat yang tinggi dan mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikan. Ia adalah antara motivasi terbaik diterapkan oleh PTPTN untuk melahirkan graduan yang berkualiti serta mampu mencapai tahap pendidikan terbaik untuk pembangunan bangsa dan negara,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.■
This website uses cookies.