
Sememangnya tugas mendidik masyarakat itu tugas yang terpuji. Sebelum berkahwin dengan selebriti, Neelofa Mohd Noor, PU Riz galas tugas murni sebagai pendidik.
Kini, pendakwah bebas, Muhammad Haris Ismail atau PU Riz dilaporkan menyandang tugas sebagai guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sri Petaling.


Lebih membanggakan apabila bekas peserta Pencetus Ummah (PU) yang berusia 26 tahun ini telah menyumbang lima projektor LCD yang dianggarkan bernilai RM15,000 kepada sekolah tersebut.
Murninya hati menantu kepada Datin Noor Kartini Noor Mohamed ini yang mengulurkan sumbangan projektor dari LUMOS Malaysia itu untuk kegunaan pelajar tingkatan lima sekolah tersebut.

“Alhamdulillah, usaha ini dapat juga direalisasikan. Kalau ikutkan sudah lama nak berikan projektor ini, tapi memandangkan sekolah belum dibuka, jadi tergendala. Sekarang, pelajar sudah kembali ke sekolah, jadi saya berasakan ini waktu sesuai.
“Dengan adanya projektor ini, sedikit sebanyak dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini terutama buat adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Masih terbayang keindahan majlis pernikahan pasangan selebriti popular ini bertemakan Jabbal Rahmah iaitu satu daripada lokasi popular yang diziarahi jemaah umrah dan haji di Mekah.
Pasangan sensasi ini telah selamat melangsungkan pernikahan dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di sebuah hotel terkemuka, di ibu negara.


Ternyata bibit-bibit cinta di antara pasangan PU Riz dan Neelofa tercetus apabila mula bekerjasama membangunkan sebuah pertubuhan kebajikan iaitu Pertubuhan Kasih Neelofa pada Jun tahun lalu.
Terdapat desas-desus mengatakan pasangan ini bakal bergelar ibu dan bapa tak lama lagi namun baik Neelofa mahupun PU Riz masing-masing mengunci mulut untuk berkongsi khabar gembira ini.
Pernah Bergelut Masalah Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) Sejak Remaja, MILI & MAYA KALE Terokai Perubatan Organik

Dalam tempoh setahun yang lalu, Moom Health telah berjaya memantapkan kedudukannya di kalangan wanita di Singapura menerusi penawaran suplemen yang diperibadikan, disokong oleh pakar, dan semula jadi sepenuhnya oleh jenama itu.
Diasaskan pada Jun 2021 oleh dua usahawan adik-beradik, Mili dan Maya Kale, Moom
Health telah dicipta bagi mengisi kelompangan dalam pasaran ubat-ubatan semula jadi dan
holistik, selepas adik-beradik itu mengalami kekecewaan akibat ketiadaan pilihan
dalam menyelesaikan masalah perubatan yang dihadapi mereka.
Pada usia 15 tahun, Maya telah didiagnosis dengan Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) dan bergelut selama bertahun-tahun bagi mencari cara untuk merawat gejala selain daripada kerap menggunakan pil perancang kelahiran. Ketika berusia 28 tahun, Mili sering mengalami masalah jerawat akibat ketidakseimbangan hormon dan telah diberikan rawatan retinoid yang menyebabkan beberapa kesan sampingan yang teruk.
Kedua-dua adik-beradik itu sebenarnya sudah lama mengetahui tentang kaedah rawatan
tradisional. Selepas bertahun-tahun menghidap kesan sampingan yang tidak diingini
daripada ubat-ubatan moden, mereka akhirnya memutuskan untuk mengumpulkan satu
pasukan pakar bagi menghasilkan penyelesaian kesihatan semula jadi.
Pasukan penasihat yang menerajui proses formulasi, pengesyoran dan kandungan pendidikan itu terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang kesihatan dan perubatan, terutamanya kesihatan wanita. Ianya membolehkan Moom menghasilkan produk yang disokong dan dirumus oleh pakar bagi menangani sesuatu masalah itu pada terasnya dengan menggunakan bahan semula jadi, yang telah diuji oleh pihak ketiga, dipatenkan dan organik.
Selepas menjalani proses penyelidikan dan percubaan selama berbulan-bulan lamanya,
Moom telah memperkenalkan dua rangkaian suplemen fungsian yang benar-benar berkesan iaitu de/bloat dan sleep/well. Ia mengandungi 7 herba dan 2 enzim penghadaman berasaskan buah, de/bloat berfungsi untuk melegakan masalah kembung perut, ketidakselesaan penghadaman, dan ketakcernaan di bawah 60 minit – menyasarkan bakteria usus yang memfokuskan kepada melegakan saluran penghadaman secara semula jadi.
Sleep/well pula mengandungi herba, asid amino, dan melatonin dos rendah yang 100% semula jadi -ia membantu wanita tidur lebih nyenyak, bangun dengan lebih segar, dan menggalakkan tubuh menghasilkan lebih banyak melatonin secara semula jadi untuk pengawalan kitaran tidur yang lebih baik. Namun rangkaian suplemen fungsian Moom itu hanyalah permulaan.
“Menyokong keperluan tubuh badan kita secara holistik, sepatutnya menjadi salah satu
rutin harian setiap orang, tetapi malangnya pilihan semulajadi yang ada di dalam pasaran
untuk wanita menjaga tubuh mereka adalah terhad. Ianya sangat terhad hingga selalunya
amat menghampakan untuk mencari ubat-ubatan semula jadi yang benar-benar berkesan,”
kata Pengasas Bersama Moom, Mili Kale.
“Semasa saya mencari kaedah semula jadi bagi merawat gejala PCOS yang saya hadapi, saya hanya menemui banyak jalan buntu. Tiada satu tempat di mana saya boleh pergi untuk mendapatkan suplemen semula jadi yang telah melalui proses penyelidikan yang teliti dan tidak mengandungi bahan kimia tambahan. Oleh itu, kami memutuskan untuk mencipta jenama kesihatan baharu iaitu suatu jenama yang menggunakan bahan-bahan terbaik, formulasi yang disokong oleh pakar, mudah didapati dan didatangkan dalam
bungkusan mesra alam untuk wanita moden Asia,” ujar Pengasas Bersama Moom, Maya
Kale.
Baru-baru ini, jenama itu telah berjaya memuktamadkan pusingan pendanaan awal
berjumlah AS$1.2 jumlah dengan DSG Consumer Partners, Nuguru, dan Love, Bonito.
Moom Health merancang untuk melaburkan dana tersebut ke dalam pembangunan produk
dan ketelusan rantaian bekalan, meningkatkan kehadiran runcit mereka
dan mengembangkan pasukan dan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.
Makin Cerdik Al-Quran & Sedap Suaranya. Anak Tunggal USTAZAH SHARIFAH KHASIF Bakal Pelapis Qariah Negara

Comel sungguh Abeer Widad, anak tunggal Ustazah Sharifah Khasif yang cukup terkenal dengan kemerduan suaranya tatkala mengalunkan kalam suci Al-Quran.

Abeer atau nama penuhnya Abeer Widad Muhammad Hizal yang kini berusia 6 tahun sangat rapat dan manja dengan ibunya. Paling membanggakan Abeer sudah pun menunjukkan kecenderungannya untuk menjadi seorang qariah hebat suatu masa nanti.
Buktinya, lihat saja koleksi video bacaan Al-Quran Abeer yang dikongsi oleh Ustazah Sharifah Khasif di akaun Instagram miliknya. Sedap dan unik sungguh suara Abeer walaupun baru berusia 6 tahun. Selain itu, gelagat comel Abeer juga menarik perhatian kerana Ustazah Sharifah Khasif menerapkan konsep mengaji secara santai.
Sebagai ibu pastinya menjadi impian Ustazah Sharifah Khasif untuk melihat Abeer menjadi seorang anak yang solehah dan berjaya di dunia mahupun akhirat. Atas faktor itulah wanita berusia 38 tahun ini mahu memberikan yang terbaik demi Abeer.

“Sebagai ibu sudah tentu saya nak Abeer lebih daripada saya. Kalau boleh saya nak Abeer menjadi seorang insan yang bukan sekadar cantik bahkan cerdik, setia dan terdidik. Abeer bebas memilih kerjaya namun asasnya haruslah dengan menjadi ahli Al Quran, menjadi mutiara yang sangat berharga di sisi Allah SWT, insyaAllah.
Kita cari akhirat, dunia akan kejar kita. Saya yakin orang yang berilmu dan hidup dengan Al Quran akan diberi rezeki dan kehebatan yang luar biasa oleh Allah SWT.
Saya dalam usaha nak menjadikan Abeer seorang insan yang akan meneruskan legasi sebagai qariah negara. Amin Ya Allah..Saya dah nampak kelebihannya dari segi suara. Bakat pun dah ada. Skill saja perlu diasah lagi. Makhraj serta sebutannya jelas dan bulat-bulat, ketepatan makhraj yang sedap didengar.
Mengaji satu kewajipan untuk anak-anak kecil seperti Abeer. Saya aturkan kelas khas untuk Abeer bersama kanak-kanak lain bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran Al Quran sejak kecil.
Namun begitu, saya tak terlalu menekan kerana saya menerapkan gaya santai dan fun. Ini jugalah pendekatan yang saya gunakan untuk kelas anak-anak di Akademi of Sharifatuna Quranic Arts (ASQA). Alhamdulillah mereka seronok tapi syaratnya tak boleh ponteng kelas.

Saya menjadikan ibu sebagai contoh dalam mendidik anak. Ibu seorang yang sangat sabar dalam mendidik anak-anaknya. Ibu seorang yang tak banyak cakap, pendiam namun jujur. Susah sangat nak ikut, mungkin cara saya berbeza. Saya banyak ikut cara arwah walid (ayah) beliau seorang yang tegas namun sangat penyayang.
LAYAN ABEER SEPERTI SAHABAT
Hubungan kami memang sangat rapat. Saya memanggil Abeer sebagai ‘Kakak’ dan melayannya seperti orang dewasa, macam sahabat. Adakalanya kami melawak dan adakalanya serius, tapi bertempatlah.
Saya juga suka bercerita dengan Abeer contohnya tentang masa depan, situasi semasa dan sebagainya. Walaupun anak-anak kecil nampak seperti main-main dan tak berapa nak dengar namun percayalah mereka sebenarnya sedang cuba untuk faham.
Selain manja, Abeer juga seorang anak yang suka bercakap, mudah mesra dan suka senyum. Selalunya sebelum ini saya suka membawa Abeer ke taman. Biasanya kami akan bersenam bersama-sama atau pun ke shopping mall untuk makan-makan sambil bercerita hal-hal sekolah dan juga hal semasa.
IMPIAN
Saya bersyukur kerana Akademi of Sharifatuna Quranic Arts (ASQA) milik saya kian mendapat sambutan ramai sejak dibuka dua tahun lalu di Rampai Business Park Setapak Kuala Lumpur. Akademi ini mencari bakat-bakat baru dalam meneruskan legasi sebagai qari dan qariah masa depan. Satu lagi cawangan ASQA ialah di Damansara Perdana.

Impian saya seterusnya ingin membuka ASQA di Melbourne pula. Niat saya untuk approach international market supaya dakwah dapat dikembangkan dengan lebih meluas, Insya-Allah. Doakan yang terbaik untuk saya.”
Bagi mengekalkan kesihatan dan kecantikan luar dalam, Ustazah Sharifah Khasif mengamalkan jamu sejak usianya remaja di samping tamar dan air zam-zam yang sentiasa ada di rumahnya.
“Alhamdulillah saya sentiasa dikurniakan nikmat kesihatan yang baik. Mungkin Allah SWT tahu yang saya perlu sihat untuk menjaga Abeer dan dan keluarga. Setakat ini masih diberikan kekuatan mental dan fizikal. Saya sentiasa positif dan bersangka baik dengan Allah SWT di samping menjaga pemakanan dan kesihatan.”
Kredit Foto: Instagram @sharifahkhasif_official
Menginspirasikan Hasil Kerja Min Luna, FARAH DINANA Kini Rancak Bina Nama Sebagai Fashion Stylist Berjaya

YB Nurul Izzah, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella, Lisa Surihani dan Zahirah MacWilson ini antara nama-nama besar yang pernah mendapat sentuhan ‘magis’ fashion stylist, Farah Dinana. Di sebalik penampilan glamor seorang artis mahupun selebriti, adanya sentuhan fashion stylist yang bertanggungjawab menyediakan, memilih serta menata gaya personaliti pilihan.
Farah Dinana atau nama sebenarnya, Nor Farah Dinana Abdul Fattah antara generasi muda yang sedang rancak membina nama sebagai fashion stylist berjaya di Malaysia. Bukan itu saja, Farah Dinana juga pernah terlibat dalam kempen-kempen yang dianjurkan oleh FashionValet, SimplySiti dan Creacion. Ternyata, kemampuan gadis berusia 25 tahun ini tak boleh dipandang mudah.
“Sebaik tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Seni Reka Fesyen UiTM Shah Alam saya memulakan karier sebagai pembantu penata gaya selama setahun bersama Min Luna. Setelah mendapat secebis pengalaman saya cuba untuk bergerak sendiri dalam bidang ini.
Sebenarnya tak pernah terlintas pun untuk menjadi seorang fashion stylist sebab cita-cita saya sejak kecil mahu menjadi fashion designer. Tapi lama kelamaan baru tersedar yang saya sering mengkritik cara berpakaian rakan-rakan dan ahli keluarga saya.
Sejak itu, mereka sering mendapatkan pandangan saya tentang apa yang sesuai untuk dipakai untuk ke majlis-majlis tertentu. Saya juga suka membeli koleksi majalah fesyen dan mengikuti perkembangan trend semasa.”
PENGALAMAN MENCABAR
“Antara pengalaman mencabar pernah ditempuhi sepanjang bergelar fashion stylist ialah pernah baju-baju yang saya bawa untuk klien tak muat atau terlalu besar. Satu lagi pengalaman, saya pernah tertinggal barang styling di rumah. Waktu itu saya dah pun sampai di set. Kebetulan shooting akan bermula setengah jam saja lagi.
Saya sangat panik tapi nasib baiklah ada seorang rakan sempat menghantar barang styling tu kepada saya sebelum shooting bermula. Bagi saya jika barang styling tak lengkap ia bukan saja akan menjejaskan mood bahkan mempengaruhi apa yang saya buat ketika itu.”
IDENTITI & CARA TERSENDIRI
“Setiap fashion stylist ada identiti dan cara tersendiri. Saya sendiri sukakan persaingan sihat. Saya sendiri sentiasa meningkatkan kemampuan dengan mencari kelainan dan kreatif dalam setiap penataan gaya. Saya juga ada identiti tersendiri apabila membuat styling. Apabila hasil kerja saya dikongsi di laman sosial, orang akan tahu itu adalah artwork saya.
Saya percaya, kalau seseorang itu rajin berusaha kejayaan pasti akan datang tak kira usia. Saya sendiri suka mengikuti kisah-kisah mereka yang berjaya dalam usia muda kerana secara tak langsung dapat memberi semangat dan dorongan terhadap diri sendiri untuk lebih berjaya kelak.
Idola saya semestinya Min Luna yang dianggap sebagai ‘sifu’. Selain diberi peluang untuk bekerja dengannya satu ketika dulu, Min Luna juga banyak memberi tunjuk ajar dan ilmu bermanfaat bagaimana menjadi fashion stylist berjaya. Saya juga amat meminati hasil kerjanya.”
IMPIAN
“Impian saya untuk menjadi ikon wanita Melayu berjaya dan membina empayar perniagaan hebat di mata dunia. Selain itu juga, saya mahu masyarakat mengingati hasil kerja dan idea-idea saya. Maka, saya perlu berusaha memberi kelainan dalam setiap hasil kerja.
Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa yang banyak memberi dorongan, kasih sayang, semangat dan doa sehingga berada di tahap ini. Saya juga mahu berterima kasih kepada kakak dan abang kerana membimbing dan memberi galakan buat saya.
Tak lupa rakan-rakan yang banyak membantu ketika susah mahupun senang,” akhiri Farah Dinana yang berketurunan Indonesia-Belanda. 2019 merupakan tahun ketiga Farah Dinana bergelar fashion stylist. Semoga terus sukses Farah Dinana!
Kredit Foto: Instagram Farah Dinana