Puan Sri Tiara Jacquelina & Tepati Masa Rahsia CheTa Berjaya Dalam Bisnes

Rozita mula menceburi dunia lakonan sekitar tahun 2005 dan sudah mula memperlahankan aktiviti seni dengan menumpukan perhatian kepada perniagaan. Berjinak-jinak dengan perniagaan busana Muslimah dengan menjual rangkaian jubah dan tudung di bawah jenama Padusi pada 2011. Kemudian Rozita tampil dengan tudung dan selendang segera di bawah label Zeta en Rawdah pada awal 2015.

Rozita terus rancak merencana empayar perniagaan dengan memperkenalkan pula wangian Precious, diikuti Gorgeous. Tidak terhenti di situ sahaja apabila mengeluarkan produk losen mencerahkan kulit dan jus untuk wanita selain produk makanan tambahan untuk kanak-kanak dengan memperkenalkan Aaisyah Dhia Rana sendiri sebagai jenama.

Mencungkil rahsia kejayaan wanita yang peramah ini, bicaranya, “Saya seorang yang menepati masa. Sebenarnya apabila kita menepati masa kita boleh merancang pelbagai perkara dalam hidup. Apabila kita merancang dan ikut apa yang direncanakan, pasti apa yang kita impian akan menjadi kenyataan. Tidak kisah tentang apa sahaja saya sangat menepati masa seperti berjanji dengan orang, mematuhi jadual penggambaran atau apa sahaja yang melibatkan masa.

Kekuatan saya adalah apabila saya sangat menjaga masa saya. Wanita sukses kena ada impian dan cita-cita. Apabila kita tahu apa yang kita impikan dan berusaha untuk mencapai impian tersebut. Namun jika mempunyai impian tetapi tidak berusaha untuk mencapainya, tidak berguna juga,” terang isteri kepada pelakon Oh My English, Zain Saidin ini.

Foto: Instagram @rozitachewan1

Menyuntik inspirasi daripada wanita yang sudah berjaya sedikit sebanyak mampu menaikkan semangat untuk terus berjuang mencapai impian dan harapan. Rozita sendiri mempunyai wanita inspirasi dalam hidupnya. “Wanita inspirasi bagi saya terdiri daripada dua kategori. Kategori pertama adalah wanita yang bergelar ibu namun tidak mempunyai kerjaya sendiri, sudah tentu ibu saya sendiri.

Ibu banyak berjasa dan terlalu banyak berkorban untuk membesarkan kami adik-beradik selepas arwah bapa meninggal dunia. Tanpa pengalaman kerja ibu sanggup keluar merantau dari Kedah mencari rezeki untuk membesarkan kami adik-beradik yang masih kecil seramai 7 orang. Alhamdulillah, bila kami adik-beradik sudah besar dan mempunyai kesedaran untuk membalas balik kasih sayang ibu.

Bagi wanita kategori yang mempunyai kerjaya pula saya sangat mengagumi Puan Sri Tiara Jacquelina Eu Effendi. Bagi saya Puan Sri Tiara adalah lambang wanita sukses dan tahu apa kemahuannya serta berusaha untuk mencapai impiannya. Saya sangat kagum dengan semangat juang Puan Sri Tiara dan apa sahaja yang dilakukannya pasti akan berjaya. Beliau mempunyai syarikat produksi sendiri dan membikin filem itu sangat menyuntik semangat saya untuk menjadi sepertinya,” ulas Rozita tentang dua wanita yang diangkatnya menjadi sumber inspirasi.

Kehidupan mereka sekeluarga juga kelihatan cukup mewah. Apatah lagi Che Ta sering membawa anak-anaknya bercuti ke luar negara dan memberikan hadiah yang mewah. Mengusik tentang kemewahan yang diberikan kepada anak-anaknya, Che Ta punya jawapan yang tersendiri.

“Saya bawa anak-anak berjalan, bercuti ke luar negara bukan sebab untuk menunjuk tapi itu adalah tanggungjawab. Tidak salah saya bawa mereka bercuti kerana menghargai anak-anak. Anak-anak antara motivasi untuk saya sediakan apa saja keperluan mereka. Bila ada anak, pastinya kita akan bekerja keras dan berikan yang terbaik untuk anak-anak,” terang Rozita mengakhiri perbualan.

 

 

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan