Cantik, kaya dan popular. Sebagai selebriti, Luna Maya sudah lali merasai kemewahan hidup glamor namun realitinya jelitawan ini lebih selesa hidup sederhana.
Berkongsi ruang kediaman bersama YouTube terkenal negara seberang, Boy William, rasa tenang dan selesa saja tengok mahligai Luna Maya. Walau seorang personaliti yang menjaga privasi tapi Luna akhirnya akur berkongsi suasana rumah agamnya bersama peminat.
Berstatus selebriti kelas A di negara kelahirannya dan mampu menghuni kediaman lebih besar namun aktres ini memilih untuk hidup bersederhana. Yang penting kata Luna, selesa!
Dalam wawancara bersama Boy William, Luna berkata dia gemar menghabiskan masa di ruang tamu rumah. Bersandarkan konsep kediaman open space, ia sekaligus membolehkan penghuninya melihat setiap ceruk rumah dengan lebih terbuka.
Lebih menarik, bersebelahan dengan ruang tamu tersebut ialah pemandangan kolam renang yang sering menjadi tempat riadah Luna ketika waktu lapang.
Ujar pemilik nama Luna Maya Sugeng ini lagi, rumah berkenaan dibeli dengan harga sekitar RM2.6 juta dan selepas selesai proses ubah suai mengikut kehendak dan cita rasanya serta harga pasaran semasa… nilai kediaman ini dipercayai mencecah sehingga RM7.5 juta.
Melewati bahagian kamar tidur pula, Luna selesa dengan dekorasi ringkas dan turut meletakkan sebuah televisyen bersama set permainan video. Tanpa berselindung, pelakon filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur ini mengakui dia sememangnya seorang ‘kaki video game‘.
Selain katil bersaiz queen, sofa dan televisyen, di ruang ini juga terdapat walking closet yang menempatkan pelbagai koleksi peribadi mewah milik Luna. Antaranya beg tangan, baju, kasut dan aksesori pelengkap gaya. Kebanyakan koleksi yang ada dalam simpanan Luna ialah dari jenama Hermes.
Mengamati simpanan dan koleksi mewah yang tersusun kemas, Boy William teruja untuk mengetahui nilai beg-beg tangan milik wanita berusia 39 tahun ini.
Namun Luna bijak menjawab persoalan tersebut dengan tidak mendedahkan harga sebenar beg tangan yang dimiliki. Mungkin kerana dia bimbang jawapan jujurnya akan disalah erti segelintir pihak.
Tatkala ditanya mengenai kehidupan Luna sewaktu kecil, selebriti ini lantas membuka bicara. “Saya memang mahu rumah impian yang homey dan cosy. Waktu kecil dulu saya hidup sederhana.
Tak pernah kekurangan tapi bukan lahir dari keluarga yang lavish atau silver spoon. Maksudnya kami sekeluarga juga mampu untuk keluar bercuti ke luar negara.
Memang duit itu penting tapi ia bukanlah nombor satu. Bila berlakunya pandemik (Covid-19) seperti hari ini, saya terfikir jika koleksi-koleksi mewah saya itu boleh jadi cash, memang saya mahu tukar.
It’s nice to have beg mahal-mahal tapi saya dah ada a lot! Apabila sudah berusia seperti ini, beg yang kulitnya buaya… sudah tak penting lagi. Mahu ubah pemikiran bahawa less is more dan mahu hidup seadanya. Tak beli baju baru atau sepatu baru.
Pada fasa hidup sekarang, saya mahu ‘kaya’ teman, ‘kaya’ knowledge, ‘kaya’ pengalaman dan berkat. Apa guna berhabisan untuk nampak sesuatu yang kelihatan grand dan kaya serta barang super mahal tapi kalau jiwa dan hati kita kosong?” tegasnya.
Dari apa yang diperkatakan Luna, pasti ramai memahami bahawa selebriti ini semakin rasa lebih tenang dengan kehidupan yang tidak terlalu menonjol dan mewah. Bagi Luna, dia lebih bahagia apabila dikelilingi insan tersayang, harta yang diberkati dan pengetahuan berguna.
Jika dihitung kekayaan milik Luna, sudah tentu dia mampu memiliki lebih daripada apa yang dinikmati sekarang namun wanita cantik ini memilih untuk bersederhana kerana sudah puas dengan segala yang dimiliki sebelum ini.