Puding Karamel Menu ‘Favourite” NABILA RAZALI Setiap Kali Ramadan, Pilih Berbuka Di Rumah Bersama Keluarga

Nabila Razali, nama yang tak perlu diperkenalkan lagi. Si pelantun lagu Pematah Hati dan Peluang Kedua kini kian ligat dengan karier seninya.

Namun begitu, sesibuk mana pun dirinya sepanjang bulan Ramadan ini, Nabila tetap memilih untuk berbuka puasa di rumah bersama keluarga.

“Detik ini bukan selalu ada memandangkan saya sentiasa sibuk dengan karier. Kesempatan itu saya manfaatkan pada bulan Ramadan. Semoga tahun ini kami sekeluarga berpeluang untuk berbuka puasa bersama.

“Antara juadah berbuka yang sentiasa saya nanti-nantikan setiap kali Ramadan ialah Murtabak Daging, Puding Karamel, Nasi Beriani Daging dan Kuih Lompang.”

Selain Datuk Chef Wan, Nabila turut menjadikan ibunya sebagai idola dalam dunia masakan. Bagi Nabila, ibunya bukan saja pandai memasak malah kreatif dalam mencipta menu-menu baru tanpa perlu merujuk buku.

“Salah satu menu kreatif ibu ialah Ikan Bilis Goreng Cili yang dicampur dengan anggur. Rasanya sangat sedap!

“Menu air tangan ibu yang lain yang turut menjadi kegemaran saya ialah Kari Baba Nyonya, Rendang Ayam dan Ayam Goreng Cili. Bagi saya keenakan rasanya sangat unik.”

Nona kongsikan resipi Puding Karamel yang menjadi juadah kegemaran Nabila setiap kali Ramadan.

PUDING KARAMEL

Bahan-bahan:
4 biji trelur saiz A
1 tin susu cair
4 sudu besar gula
170 ml air
Sedikit vanila esen

Cara Membuat:

  1. Untuk karamel masak gula dan air di dalam kuali. Kacau sehingga keperangan lalu segera masukkan ke loyang. Ratakan karamel dan biar sejuk.
  2. Untuk puding, pukul telur sehingga rata jangan sampai berbuih.
  3. Masukkan susu cair, gula, air dan vanila esen. Kacau sehingga gula larut.
  4. Kemudian tapis adunan dan masukkan ke loyang yang telah dituangkan karamel tadi.
  5. Bungkus loyang dengan kertas aluminium lalu kukus selama 45 minit atau sehingga masak.
  6. Biarkan sejuk barulah diterbalikkan loyang. Simpan ke dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.

Kredit Foto: Instagram Ustazah Asni Mansor

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad