Pulang Mengerjakan Haji, Rezeki Datin Hajah Rita Sosilawati Dinobat Wanita Ikon Selangor. Beri Keutamaan Aspek Soal Kesihatan Psiko-Sosial

Nama Datin Rita Sosilawati amat sinonim dengan pelbagai aktiviti korporat dan kemasyarakatan. Bukan sahaja berjaya sebagai seorang usahawan, isteri kepada Setiausaha politik Menteri Sumber Manusia, Datuk Khamarulazlan Mohammad Hanafiah ini menempa lagi satu kejayaan manis apabila dinobatkan sebagai Wanita Ikon Negeri Selangor 2022 baru-baru ini. Rezeki datang sebaik pulang dari mengerjakan ibadat haji baru-baru ini.



Terpilih sebagai Wanita Ikon Negeri Selangor 2022, tokoh korporat ini terus menyumbang bakti dalam kerja-kerja khidmat masyarakat dengan memulakan langkah mempromosi kesihatan psiko-sosial melalui program yang diberi nama “Are You Okay”. Penubuhan sebuah pusat yang diberi nama “Are You Okay” akan berfungsi sebagai initial step dalam menangani isu-isu berkaitan psiko-sosial dan kesihatan mental. Pusat ini akan dikendalikan oleh sukarelawan dalam kalangan pelajar yang terpilih dan terlatih, dengan dikawal selia oleh Pegawai Psikologi berpengalaman dari UiTM sendiri.


Ditemui di majlis menandatangani surat hasrat di antara Universiti Teknologi MARA dan Wanita Ikon Selangor 2022, menurut Datin Hajah Rita Sosilawati, objektif utama penubuhan Are You Okay Centre adalah sebagai medium interaktif sesama warga UiTM yang terdiri daripada golongan pelajar dan kakitangan dalam berkongsi masalah yang menyumbang kepada tekanan dan masalah mental.

“Selain itu, pusat ini bertindak dalam membantu mencadangkan saluran yang betul kepada pihak yang berkaitan untuk diambil tindakan. Ramai orang yang mempunyai masalah, tidak tahu ke manakah saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah mereka.


Selain itu, pusat ini juga berfungsi sebagai tempat bagi aktiviti-aktiviti sihat minda di kalangan warga UiTM dan komuniti setempat.

Ditanya mengapa UiTM terpilih sebagai pusat, menurut Datin Hajah Rita, ia merupakan satu peluang keemasan untuk berbakti di Alma-Mater di mana Datin Rita merupakan alumni UiTM pada tahun 2008. Beliau merupakan graduan Diploma dan Sarjana Muda dalam bidang Seni Reka Tekstil di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Datin Hajah Rita Sosilawati merupakan seorang graduan yang cemerlang serta aktif dalam bidang akademik dan ko-kurikulum sewaktu bergelar mahasiswa di UiTM dan pernah merangkul beberapa anugerah antaranya  Anugerah Pelajar Terbaik Program 2006, Anugerah Pelajar terbaik Final Year 2006, Anugerah Graduan Terbaik Kepimpinan 2006 dan Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan 2006.

Berbekalkan asas seni yang kukuh sememangnya menjadi batu loncatan untuk beliau menceburi bidang industri fesyen kreatif. Bersandarkan minat dan ilmu yang ada dari zaman universiti lahirlah jenama VICTORIA SLOANE .

Kini, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Kreatif  jenama VICTORIA SLOANE sejak 2016. Victoria Sloane merupakan jenama aksesori Malaysia yang memfokuskan produk pada tas tangan wanita. Jenama ini hanya menjalankan perniagaan secara dalam talian dan seterusnya menjadi antara “top 5” jualan yang tertinggi dalam bidang fasyen di dalam platform Shopee Malaysia.

“Saya melihat peluang dan ruang ini sebagai salah satu cara membalas budi buat UiTM yang telah menjadi tempat saya menimba ilmu. Sementelah pula, baru-baru ini saya telah terpilih sebagai Wanita Ikon Selangor 2022,  saya merasakan pengiktirafan ini sebagai satu pencapaian tertinggi dalam perjalanan hidup saya selama ini.

Saya menerima ini sebagai satu tanggungjawab sosial yang akan mengubah kehidupan saya dan wanita lain di masa akan datang,” ujar Datin Hajah Rita yang ingin menjadi inspirasi dan memberi aspirasi kepada kaum wanita di luar sana untuk tidak takut bermula di usia yang muda.

Seorang yang ceria namun tegas dan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara yang dilakukan, wanita yang tidak pernah lekang dengan senyuman ini menyahut cabaran untuk menggunakan platform Wanita Ikon Selangor 2022 sebagai langkah terbaik untuk mendekati permasalahan wanita di Selangor khususnya.


Dari segi penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan, baru-baru ini Datin Hajah Rita turut terlibat dalam forum Literasi Undang-Undang Syariah: Menganiaya Isteri Menzalimi Suami? Are You Okay? di mana ia menampilkan panel-panel hebat antaranya termasuklah Presiden Peguam Syarie Malaysia, Tuan Musa Awang, Dato Mohd Zaidi Bin Mohd Zain, Dato Hjh. Hazizah Bt Kassim serta Pensyarah & Personaliti Dakwah, Dato’ Dr Norhafizah Musa.

Intipati forum ini membincangkan mengenai isu dan masalah rumahtangga serta turut membincangkan mengenai peruntukan undang-undang syariah bagi membantu mereka dalam menyelesaikan masalah.


Wanita IKON Selangor 2022 ini mengambil pendekatan untuk bekerjasama dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) untuk Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) sebagai salah satu dari program CSR Are You Okay? di mana ia bermatlamat untuk memastikan umat Islam di negara ini terutamanya golongan B40 diberi akses kepada keadilan khususnya di Mahkamah Syariah.

Untuk rekod, Datin Hajah Rita Sosilawati sedang melalui proses pemilihan untuk dinobatkan sebagai Wanita Ikon Malaysia 2022 yang dianjurkan oleh KELAB WANITA IKON MALAYSIA (KWIM) ditubuhkan pada 2hb September 2015. Ia adalah sebuah badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (Non-Governmental Organization) yang ditubuhkan oleh pemenang-pemenang serta finalis-finalis Anugerah Wanita Ikon Malaysia, bertujuan untuk pembangunan dan pemerkasaan wanita di seluruh Malaysia tidak kira agama, kaum, adat atau budaya, generasi atau latar belakang mereka

Share
Published by
Rosmah Idayu