Gaya Hidup

Pulau Cocos, Milik Australia Dihuni 600 Penduduk Yang berbangsa MELAYU ISLAM

Kaki travel mungkin boleh memasukkan wish list tahun 2019 dengan melawat Pulau Cocos (Keeling), Australia ini. Pulau Cocos menawarkan laut hijau kebiru-biruan, pepohon kelapa yang menari-nari ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Kepada yang meminati kehidupan dasar laut tentu teruja untuk meneroka keindahan sekitar laut dan pantai Pulau Cocos ini.

 

Aktiviti alam semula jadi menjadi tarikan utamanya termasuk pelbagai sukan laut seperti snorkeling, menikmati tapak menyelam kelas dunia dan ‘safari laut’. Pulau Cocos ibarat sebutir permata yang menanti untuk digilap.

Mungkin tidak ramai yang sedar akan wujudnya sebuah ‘Pulau Melayu’ terletak di wilayah Australia di Lautan Hindi ini. Dengan sekitar 600 orang Melayu yang menetap di sini, ia adalah satu-satunya ‘Pulau Melayu’ dalam wilayah Australia. Pulau Cocos adalah kepulauan kecil yang terletak sekitar 1000km dari Jakarta iaitu sebelah selatan Pulau Jawa di Lautan Hindi dan 2800km dari Perth, Australia.

Majoriti penduduk di kepulauan ini adalah Melayu beragama Islam. Orang Melayu merupakan komuniti masyarakat yang membentuk kumpulan etnik terbesar menetap di Pulau Cocos dan sebahagian lagi adalah orang putih.

Suku bangsa Melayu datang ke Pulau Cocos pada tahun 1827-1831 dibawa oleh seorang Pengusaha Kelapa berbangsa Scotland, John Clunnies-Ross. Pada awalnya, masyarakat Pulau Cocos bekerja dengan Clunnies-Ross untuk membantunya menanam pokok kelapa dan menuai hasil kelapa. John Clunies-Ross menukar kehidupan para penduduk Melayu ketika beliau tinggal di Pulau Cocos bersama dengan keluarganya.

Walaupun pekerjaan ini tidak banyak dilakukan lagi, namun segelintir masyarakat di sini masih mengekalkan tradisi mereka. Sehingga ke hari ini perayaan ala Melayu masih dijalankan. Contohnya majlis doa selamat, tahlil, manakala hari raya Aidilfitri merupakan perayaan terbesar masyarakat Cocos.

Kini Pulau Cocos mahu dimajukan dan dijadikan sebuah destinasi pelancongan mesra Muslim yang pertama di Australia. Persatuan Koperatif Kepulauan Cocos sedang giat berusaha untuk mengubah kepulauan seluas hampir 14 kilometer persegi ini, menjadi sebuah destinasi eksklusif yang mesra Muslim. Caranya, termasuklah ‘menyalurkan’ para pelancong Muslim ke Malaysia untuk mengunjungi Pulau Cocos.

“Dari segi pelancongan, pihak koperatif mempunyai rancangan sendiri yang dipanggil Gateway To Asia. Ini untuk membangunkan pasaran kecil Muslim, antara Malaysia dengan Cocos. Tujuannya untuk menjadikan Cocos destinasi pelancongan mesra Muslim yang pertama di Australia,” tutur Romzi Faizal CEO Persatuan Koperatif Kepulauan Cocos.

“Kami melihat tiga jenis pelancong Muslim. Pertama, mereka yang mahu menikmati alam semula jadi yang amat unik. Kedua, mereka yang mahu meninjau-ninjau aspek kebudayaan di sini. Ketiga, mungkin bagi golongan yang lebih muda, pelancongan dengan kegiatan lasak, yang kebanyakannya aktiviti laut,” terangnya lagi.

Kini, jumlah pelancong Muslim yang ke pulau kecil ini memang tidak banyak kurang daripada 50 orang sahaja setahun. Namun, menerusi projek Gateway To Asia, Pulau Cocos menyasar untuk menarik antara 5000 dengan 6000 pelancong Muslim setahun. Projek itu akan mula dilaksanakan dua tahun lagi.

Sumber: #beritamediacorp

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan