Lebih tiga tahun menduda, bekas suami kepada Erra Fazira iaitu Engku Emran Engku Zainal Abidin dikhabarkan bakal melangsungkan pernikahan dengan gadis dari Indonesia pertengahan September ini.
Bukan calang-calang ya penakluk hati Engku Emran kerana insan yang dimaksudkan tersebut adalah selebriti terkenal Indonesia, Laudya Cynthia Bella.
Dilahirkan pada 24 Februari 1988 di Bandung, Indonesia, Bella cukup dikenali di negara jiran kerana bakatnya dalam bidang seni nyanyian dan lakonan. Dia yang berketurunan Sunda, Jawa dan Minangkabau mula berkecimpung dalam industri seni sejak 2001 dan telah membintangi filem-filem hebat seperti Di Bawah Lindungan Ka’abah, Lantera Merah, Belenggu serta termasuklah, Surga Yang Tak Dirindukan.
Tahun 2015 menjadi detik istimewa buat Bella kerana bukan hanya mendapat hidayah untuk mengenakan hijab malah turut mencipta kemuncak kerjaya apabila dianugerahkan Pelakon Wanita Terbaik dalam Filem di Festival Film Bandung (FFB) 2015 menerusi filem Surga Yang Tak Dirindukan.
Selain itu, wajahnya juga kian menjadi rebutan untuk pelbagai iklan komersial di negara seberang.
Dia seterusnya mengekalkan momentum populariti hingga berjaya dinobatkan selaku Pelakon Wanita Terbaik di Indonesia Box Office Movie Awards 2016, Selebriti Wanita Instagram di Indonesian Social Media Awards 2016, Selebriti Hijab Paling Cantik di Seleb On News Awards 2017 dan Aktres Pilihan di Indonesian Movie Actor Awards 2017.
Sebelum kisah cintanya bersama Engku Emran bertebaran di laman sosial, jelitawan yang mempunyai lebih 17 juta pengikut di Instagram ini juga pernah mengalami episod duka apabila berita pernikahannya dengan seorang jejaka Indonesia terputus sebelum masanya.
Enggan meratapi kisah silam dan khuatir popularitinya akan merosot setelah berhijab, penampilan sopan dan matang Bella hari ini bukan sekadar menarik perhatian peminat Indonesia dan Malaysia semata-mata.
Paling penting, Bella berjaya menambat hati Engku Emran untuk menyunting wanita berusia 29 tahun itu sebagai suri hati. Tahniah diucapkan kepada Bella dan Engku Emran. Moga ikatan yang bakal dibina berkekalan hingga ke syurga. Suziana Abu Daud