Bertuahnya Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki kerana bukan hanya mempunyai seorang isteri yang berpendidikan tinggi dan taat. Malah dikurniakan enam cahaya mata yang bijak dan mendengar kata.
Melihat cara Pengerusi MARA berusia 48 tahun ini membentuk jati diri keluarga tersayang pastinya mengundang inspirasi khalayak.
Walau sibuk dengan pelbagai program masyarakat dan sebagainya namun Dato’ Dr Asyraf Wajdi tetap melaksanakan tanggungjawab selaku ketua keluarga dengan sebaik mungkin.
Buktinya, anak-anak Dato’ Dr Asyraf Wajdi dan Prof Dr Nurdianawati Irwani Abdullah ini mampu menghafaz Al-Quran dalam usia yang masih muda.
Salah satu perkongsiannya, “Anak-anak perlu dibudayakan dengan Al-Quran sejak mereka kecil lagi. InsyaAllah sampai besarpun Al-Quran akan menjadi sebahagian rutin kehidupan mereka.
Bahkan Al-Quran lah boleh menjadi pendinding dan pemelihara mereka terutamanya untuk hadapi peredaran zaman yang lebih mencabar masa depan.”
Suka berkongsi rutin dan kisah anak-anak kesayangan di media sosial sebagai pembakar semangat kepada para ibu bapa, Dato’ Dr Asyraf Wajdi yang merupakan ahli politik dan individu yang kental memperjuang agama ini sebenarnya bapa yang sangat mementingkan ilmu Allah kepada anak-anak.
Julai lalu, dia sempat berkongsi anak kedua iaitu Affaf yang berjaya melangkah masuk ke Pusat Asasi di Gambang, Pahang.
“Moga Affaf sentiasa dalam peliharaan Allah dan dipermudahkan untuk menuntut ilmu dan terus melazimi hafazan 30 juzuk yang beliau khatam ketika Tingkatan 4 lagi.”
Mendirikan rumah tangga bersama Prof Dr Nurdianawati Irwani pada 27 Mei 2001, pasangan bahagia ini dikurniakan enam anak iaitu Ammar, Affaf, Affan, Azzah, Azzam dan Attiyah yang bakal menginjak usia enam tahun.
Sempena ulang tahun perkahwinan ke-23 yang lalu, Dato’ Dr Asyraf mengimbau momen indah di samping isteri tercinta.
“Lebih 23 tahun lalu di bumi barakah Madinah al-Munawwarah inilah, saya mula-mula melamarnya untuk menjadi kekasih untuk berkongsi hidup dan perjuangan.
Doakan kami bersama 6 cahaya mata tersayang dikurniakan Allah sakinah, mawaddah dan rahmah sehingga ke penghujung nyawa. Juga diberikan tawfiq, barakah, hidayah, iradah, maghfirah dan inayah untuk terus menyumbang dan mengabdikan diri kami untuk agama dan ummah.”
Dato’ Dr Asyraf Wajdi adalah anak kepada Datuk Dusuki Ahmad dan Datuk Nik Nooraini Nik Yahya. Semoga perkongsian figura ini dijadikan inspirasi buat para ibu bapa agar dapat menekankan perkara sama kepada anak-anak mereka.
This website uses cookies.