
Ketika pertama kali memuat naik gambarnya berpenampilan sopan dan bertudung labuh di Instagram sekitar Ogos tahun lalu, pelakon jelita Izara Aishah menarik perhatian peminat dan warganet sekaligus mencetuskan tanda tanya adakah dia sudah mula bertudung.
Ketika itu, pemenang tempat ke-2 Pencarian Dewi Remaja 2010/2011 ini terus mencetuskan tanda tanya apabila dia turut menutup ruangan komen di posting tersebut.
Lebih menguatkan spekulasi, Izara atau nama sebenarnya Nik Izara Aishah Nik Izazurin ini bertindak memadam semua gambar lamanya yang tidak bertudung di Instagram.
Penghijrahan Izara Di Sambut Baik Peminat!
Penghijrahan pelakon berusia 29 tahun ini yang tampil sopan dan bertudung labuh mendapat reaksi positif di kalangan warganet yang turut gembira dengan perubahannya.
Menurut menantu kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza ini, penghijrahannya itu bukanlah alasan untuk dia tidak menjaga penampilan dan kecantikan seperti biasa.
Malah, pelakon filem Kau Yang Satu Ini turut berkongsi satu hadis yang menyebut Allah SWT menyukai umatnya yang menjaga kebersihan dan kecantikan. Namun, perlu berpada-pada dan jangan menimbulkan rasa riak.
Melihat kepada penampilan terkini Izara sejuk mata memandang. Cantik luar dan dalam walau bergelar ibu serta isteri.
Walau bertudung labuh tetapi Izara tetap ada ‘taste’ tersendiri dalam berfesyen. Semoga Izara kekal istiqamah dan bahagia bersama keluarga tersayang.
Untuk rekod, pada tahun 2017 Izara berkahwin dengan Muhammad Adib Khalid yang merupakan anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza. Mereka dikurniakan seorang puteri bernama Irisa Alaia yang kini berusia dua tahun.
Sumber Foto: Instagram Izara Aisyah
“Jangan Biar Klien ‘HIDU’ Perasaan Gugup” – Jurusolek EMMA MUSTAFA

Memilih jurusolek untuk merias wajah pada hari perkahwinan umpama love at first sight. Sentuhan mereka pada wajah buat kali pertama membuka pelbagai reaksi; baik yang positif atau negatif. Bagi jurusolek professional Kamaruddin On atau lebih dikenali dengan nama Emma Mustafa, 49, bakal pengantin perlu tahu siapa dan jenis solekan yang akan menambahkan ‘wow factor’ pada wajahnya.
Begitu lama memahat nama sebagai jurusolek professional, nama Emma Mustafa sering meniti di bibir barisan selebriti dan menjadi pilihan bakal raja sehari untuk diberi kepercayaan menyolek wajah mereka. Keperibadian yang mudah didekati dan kreativiti yang menjadi taruhan anak jati Teluk Intan, Perak ini cukup disenangi.
Permulaan kerjaya anda dan berapa tahun berada dalam dunia solekan?
Di awal dunia pekerjaan, saya mula bekerja di butik milik pereka fesyen terkenal, The House of Bill Keith sebagai pembantu jurujual dan kemuadian sebagai tukang jahit. Tidak lama selepas itu, saya diberikan kepercayaan untuk berada bahagian pengeluaran dan mengendalikan pertunjukkan fesyen dan sesi fotografi.
Pada masa sama, saya mengambil kursus solekan dan penggayaan rambut jangka pendek di SML College yang terletak di Low Yat. Selepas waktu kerja, saya terus ke kolej dan sebaik berhenti kerja di The House of Bill Keith, saya terus buat freelance untuk makeup.
View this post on InstagramYes i do…. #wedding #bridalmakeup #makeupbyme💄 #hairbyme #tb #canadianwedding
A post shared by EM STUDIO (@emmamustafa) on
Bagaimana minat bermula sebagai jurusolek?
Saya mula berminat bidang solekan sejak kali pertama ikut kakak angkat mengandam pengantin. Melihat cara-cara solekan, bagaimana seseorang itu kelihatan berbeza selepas dirias membuatkan saya rasa teruja untuk belajar solekan dengan lebih serius lagi. Dan orang yang dirias pula tersenyum bahagia melihat diri yang sudah cantik.
Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda memilih untuk menjadi jurusolek?
Mereka sangat menyokong apa yang saya lakukan. Mungkin melihat kepada kesungguhan saya menceburi dalam bidang ini, jadi mereka menunjukkan sokongan positif kepada saya. Bagi saya, dorongan dan restu keluarga yang membawa saya sehingga ke hari ini.
Pengalaman pertama menyolek bakal pengantin?
Yang pertama selalunya yang paling terpahat dalam memori. Apabila bercerita pengalaman pertama, tentulah saya gugup tetapi saya perlu tunjukkan keyakinan agar bakal pengantin tidak boleh ‘hidu’ kegugupan itu dan mereka akan selesa dengan kita. Keyakinan dan kemahiran yang ada digabungkan untuk memastikan solekan pada wajah mereka tampak berseri dan cantik.
Apakah cabaran pernah anda hadapi ketika menyolek bakal pengantin?
Persediaan rapi bukan sahaja kepada jurusolek pengantin tetapi bakal pengantin itu sendiri perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Saya pernah menyolek pengantin yang lambat bersiap. Ketika tiba di rumahnya, dia masih belum bersedia. Bukan itu sahaja, saya juga pernah berhadapan dengan pengantin yang tidak duduk diam. Sukar untuk menyerlahkan kreativiti jika mereka asyik ke sana ke mari dan sibuk untuk melihat wajah yang belum sempurna dirias.
Dan cabaran paling besar adalah apabila ada campur tangan dari saudara-mara. Bukan menolak pandangan mereka tetapi tidak adil sekiranya solekan kami di nilai pada pertengahan jalan. Belum apa-apa sudah mula mengomel sedangkan pengantin selesa dengan apa yangkita lakukan.
Nama anda begitu dikenali dan sering menjadi pilihan bakal pengantin. Bagaimana anda mampu terus kekal menjadi jurusolek pilihan bakal pengantin?
Kita perlu sentiasa positif dan percaya pada rezeki yang Allah berikan. Jangan mudah mengalah dan menanam sifat dengki dalam diri. Paling penting, lihat diri sendiri. Kita perlu kekalkan hasil kerja kita dengan baik. Terlalu banyak perubahan solekan dari semasa ke semasa dan sebagai jurusolek yang baik, ikut arus perubahan itu dan jangan ketinggalan zaman.
Siapakah idola anda dalam kehidupan?
Tentulah ibu saya. Sebagai seorang wanita, kekuatan ibu luar biasa. Saya melihat ibu dari pelbagai sudut dan ambil setiap satu sebagai kekuatan saya juga. Malah, ibu saya juga pandai menjaga kesihatan dan sudah tentu cara pemakananya menjadi pilihan saya. Di samping itu, sifat-sifat ibu yang tegas saya gunakan untuk kehidupan saya seharian. Ini mungkin antara sebab mengapa kerjaya saya bertahan sehingga kini.
Bagaimana anda mengekalkan kedudukan anda sebagai jurusolek kini?
Jangan biarkan diri kita terkebelakang. Belajar dan ambil tahu perkembangan dunia solekan ini kerana terlalu banyak teknik-teknik solekan yang digunakan jurusolek di dalam dan di luar negara. Jangan malu bertanya biarpun daripada jurusolek muda kerana setiap individu mempunyai kelebihan masing-masing.
Pada pendapat anda, apakah kelebihan anda dalam solekan?
Mungkin saya suka mencuba sesuatu yang baru dan melalui pengalaman dalam bidang ini, saya tahu bagaimana untuk ‘tackle’ pelanggan dan memilih solekan yang bersesuaian dengan personaliti mereka. Saya juga melihat kelebihan saya membuat rambut dapat digunakan sekaligus untuk pelanggan yang disolek. Pada pendapat saya, setiap jurusolek perlu tahu penggayaan rambut kerana memudahkan kerja sendiri dan pelanggan.
Bagaimana anda melihat kemunculan jurusolek ‘instant’ kini dan adakah anda melihat itu sebagai satu cabaran atau persaingan?
Saya sentiasa terbuka menerima kehadiran jurusolek baru dalam dunia solekan. Banyak yang boleh kita pelajari dari mereka dan begitu juga sebaliknya. Percayalah pada rezeki kerana setiap individu itu mempunyai kelebihan tersendiri.
Nasihat anda kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang ini?
Pastikan ilmu cukup di dada. Jangan hanya sekadar solek untuk suka-suka. Belajar dahulu teknik-teknik solekan dan carilah guru yang terbaik untuk anda.
Nasihat kepada bakal pengantin bagaimana ingin memilih jurusolek untuk hari perkahwinan.
Pilih jurusolek yang betul. Pastikan mereka boleh menyiapkan anda dari A hingga Z kerana penampilan anda perlu sentiasa on-point. Mereka juga perlu tahu bagaimana untuk mempersiapkan bakal pengantin lelaki.
Saya lebih suka jika bakal raja sehari mempunyai reference sendiri kerana ia memberi idea kepada jurusolek yang bakal menyolek anda. Tetapi jangan pula pilih reference yang jauh dari keperibadian anda. Kenali personaliti diri dan dari situ barulah anda tahu apa yang terbaik untuk anda.
Kredit foto: Instagram Emma Mustafa
Sekuntum Mawar Putih Di Kerusi Tiada Penonton Undang Sebak. BUNGA CITRA LESTARI Luah Emosi Di Konsert!

Konsert BCL Blossom Intimate di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini meluahkan sejuta rasa yang sarat terkandung di jiwa dan sanubari empunya nama Bunga Citra Lestari.

Mana tidaknya, dalam setiap lantunan suara tatkala menyanyikan lagu-lagu yang banyak menyentuh kehidupan peribadinya, Bunga Citra Lestari atau lebih mesra di sapa BCL tidak dapat menahan rasa sebak. Momen tersebut turut membuatkan kebanyakan penonton yang hadir berada sebak dan menitiskan air mata.
Lebih membuatkan ramai mengalirkan air mata apabila persembahan tersebut turut memaparkan koleksi foto momen indah Bunga bersama Allahyarham suaminya, Ashraf Sinclair.

Menurutnya yang mesra disapa sebagai BCL, lagu tersebut terhasil daripada semua memori pahit manis sepanjang 12 tahun bergelar isteri kepada Ashraf.
“Malam ini, saya ingin berbagi rasa indah dengan anda semua sepanjang 12 tahun kehidupan bersama Ashraf. Lagu ini bukan meratapi tetapi untuk merayakan kegembiraan yang Allah SWT beri selama 12 tahun terindah,” kata penyanyi berusia 39 tahun yang ternyata menahan sebak tatkala mendendangkan lagu hasil liriknya itu.
BCL sempat berkongsi perasaannya kembali ‘ke rumah Ashraf’ setelah hampir tiga tahun tidak menjejakkan kaki ke Malaysia. Kepulangannya itu mengingatkan dirinya dengan pelbagai memori ketika arwah Ashraf masih bernafas.
“Datang ke Malaysia, sangat istimewa buat saya. Perasaannya berbeza, ianya bukan seperti datang ke sesebuah negara. Sebab Malaysia adalah rumah kedua. Bukan senang untuk ke tempat yang banyak memori bersama.
“Berada di sini tidak mudah tetapi demi anda semua, semangat saya terus melonjak. Konsert ini telah menyatukan semua rasa termasuk rindu, bahagia, sedih dan gembira. Terima kasih Malaysia,” katanya lagi.
Lensa kamera tersentuh melihat sebuah kerusi kosong tanpa penonton bersebelahan bapa Ashraf, Mohamad Anthony John Sinclair. Di kerusi tersebut, kelihatan sekuntum mawar putih diletakkan sebagai simbolik BCL untuk arwah suami tersayang.
Malah ketika BCL menyampaikan lagu Wanita Terbahagia dan 12 Tahun Terindah, sekali lagi lensa kamera menyorot reaksi bapa Ashraf, Mohamad Anthony John Sinclair dan ibunya, Khadijah Abdul Rahman yang menyimpan pelbagai rasa.


Selain berkongsi momen sedih, penonton turut diberi kejutan apabila anak lelaki BCL, Noah Aidan Sinclair tampil menyanyi bersama ibunya untuk lagu terakhir, Dance Tonight.
Persembahan penuh tenaga menjadi ‘rapper’ untuk persembahan mengiringi ibunya, Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 12 tahun itu juga dilihat lincah menari persis penari profesional sekali gus mengundang sorakan gemuruh penonton.
Menerusi konsert yang berlangsung selama dua jam, BCL menyampaikan lebih 20 buah lagu hitsnya sejak bergelar penyanyi sekitar tahun 2006.
Antaranya ialah Cinta Sejati, Sunny, Wanita Terbahagia, Karena Ku Cinta Kau, Ada dan Dirimu, Jangan Gila, Tentang Kamu, Ingkar dan Saat Kau Pergi.

BCL juga mengejutkan penonton apabila tampil berduet dengan Ariel menerusi lagu Menghapus Jejakmu dan Mencari Cinta meskipun vokalis kumpulan Noah itu tidak berada di Malaysia secara fizikal. Menurutnya, Ariel merakam video nyanyian tersebut khas buat penonton konsert di Malaysia.
Acara tersebut turut dihadiri keluarga Ashraf termasuk ibu dan bapanya iaitu Mohamed Anthony John Sinclair, Khadijah Abdul Rahman serta adik perempuan Allahyarham, Aishah Sinclair.
Ia turut dihadiri tetamu VIP iaitu Tengku Permaisuri Selangor, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin binti Abdul Rahman dan rakan selebriti antaranya termasuklah Anuar Zain, Mimi Lana, Syafiq Kyle, Ella, Hanis Zalikha dan Puteri Aishah.
Raja Permaisuri Agong Berkenan Tunai Hasrat Pesakit Leukemia Untuk Merasai Masakan Baginda

Akhirnya tertunai hasrat seorang pesakit leukemia apabila KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menziarahinya di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.
Selain ingin bertemu dengan Seri Paduka baginda berdua, Mya Zara Damia Faizal yang berusia 15 tahun ini juga berhasrat untuk merasa ‘air tangan’ Raja Permaisuri Agong.
Ketika keberangkatan tiba Seti Paduka berdua, Mya Zara kelihatan amat gembira dan meminta untuk memakai baju kurung yang dipinjam daripada jururawat.
Terdahulu, kunjungan tersebut merupakan usaha bersama perkhidmatan Pediatrik Hematologi dan Onkologi HPKK serta Make-A-Wish Malaysia bagi merealisasikan impian Mya Zara yang mengidap leukemia akut berisiko tinggi untuk bertemu Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sejak dari kecil.
Sebagai Raja Permaisuri yang kasih dan sayang akan rakyatnya, baginda berkenan untuk menunaikan impian Mya Zara merasai masakan baginda.
Manakala Agong pula bertitah agar Mya Zara menjaga pemakanan, berehat secukupnya serta mendoakan Mya Zara sembuh seperti sedia kala seterusnya dapat kembali bersekolah dan bertemu rakan-rakan.
Memetik laporan Bernama, Mya Zara menyatakan, pada awalnya dia berhasrat untuk melawat dan melihat sendiri Istana Negara namun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan kerana masih dalam rawatan.
“Walau tidak dapat masuk Istana Negara, Permaisuri Agong titah akan masak makanan untuk saya.
“Saya amat teruja kerana sebelum ini sering melihat di televisyen Permaisuri Agong masak makanan orang lain. Selepas ini saya pula dapat rasa air tangan Tunku Azizah.”
Semoga Mya Zara terus kuat dan Allah SWT memberi kesembuhan buatnya agar dapat menjalani kehidupan seperti sediakala.