Kagum dengan semangat Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan yang komited menyuarakan isu berkaitan kesihatan mental. 11 Disember lepas, Tengku Puteri Iman Afzan yang merupakan puteri sulung Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Perwakilan Persekutuan Kesihatan Mental Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tidak hanya dikagumi ramai kerana kecantikan yang dimiliki bahkan Tengku Puteri Iman yang juga seorang ibu menjadi sumber inspirasi memandangkan sikapnya yang sentiasa menyebar aura positif.
Pelantikan Tengku Puteri Iman Afzan ini sekaligus dapat membawa dan membantu usaha Malaysia ke arah meningkatkan kesedaran kesihatan mental, rawatan serta cabaran dasar.
“Saya telah berpeluang bekerjasama dengan pihak berkepentingan kesihatan mental tradisional dan bukan tradisional. Saya telah melihat bagaimana usaha itu telah menerima sokongan hebat dengan idea-idea baharu dan pandangan tentang cara untuk memecahkan halangan dan mendorong agenda itu di negara kita. Saya tidak sabar untuk menyampaikan kisah Malaysia di PBB.
Menjadi Penaung Antarabangsa Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 ketika pandemik Covid-19 satu penghormatan. Kesihatan mental tidak boleh diperjuangkan sendirian, ia memerlukan segala input dan saya menantikan 2022 yang amat memberangsangkan.”
Penugasan itu berikutan pelantikan Tengku Puteri Iman Afzan sebagai Penaung Antarabangsa Hari Kesihatan Mental Sedunia dari 10 Oktober 2020 hingga 10 Oktober 2021.
Sumber: BERNAMA
This website uses cookies.