Puteri Eugenie dan suami tersayang, Jack Brooksbank bakal menimang cahaya mata kedua pada musim panas akan datang apabila puteri tersebut mengumumkan berita kehamilannya menerusi laman Instagram miliknya dua hari yang lalu.
Berita kehamilan pewaris takhta urutan ke 11 keluarga diraja Britain itu turut diumumkan oleh Istana Buckingham.
Puteri Eugenie dan Jack Brooksbank berkahwin pada 12 Oktober 2018. Perkahwinan diraja itu diadakan di Gereja St George yang terletak di Istana Windsor, gereja yang sama menyaksikan Putera Harry dan Meghan Markle serta Putera William dan Kate Middleton mengikat tali percintaan mereka.
Sekadar info, majlis resepsi pasangan ini pada tahun 2018 bertemakan perkahwinan diraja secara tradisional di mana Puteri Eugenie menggayakan gaun pengantin hasil sentuhan pereka Britain, Peter Pilotto dan Christopher De Vos.
Puteri Eugenie merupakan anak perempuan kepada Putera Andrew (anak ketiga Ratu Elizabeth) dengan bekas isterinya, Sarah Ferguson. Brooksbank pula merupakan seorang pembekal wain terkenal di London. Hasil perkongsian hidup sebagai suami isteri, pasangan ini dikurniakan cahayamata pertama mereka, August Philip Hawke Brooksbank pada Februari 2021.
Meskipun dirinya merupakan keturunan diraja, anak-anak Puteri Eugenie tidak memiliki sebarang gelaran memandangkan suaminya merupakan orang kebanyakan. Gelaran boleh dikurniakan kepada anak pasangan ini sekiranya Raja Charles memutuskan memberikan gelaran kepada Jack Brooksbank. Malah anak-anak Putera Harry, Archie Harrison Mountbatten-Windsor dan Lilibet ‘Lili’ Diana Mountbatten-Windsor juga tidak mempunyai gelaran memandangkan Putera Harry menolak gelaran tersebut.
Menyorot gaya hidup Puteri Eugenie, dia tidak bekerja sepenuh masa di istana seperti Putera William dan Harry. Puteri Eugenie tidak memiliki tugas khusus kerajaan. Dia dikhabarkan pernah bekerja di galeri seni Hauser & Wirth London selama tiga tahun dan menjawat jawatan sebagai Pengarah di galeri berkenaan.
Sebelumnya, Eugenie pernah bekerja di New York. Puteri Eugenie merupakan lulusan dari Newcastle dengan dua gelaran sarjana, Sastera Inggeris dan Sejarah Seni. Selain itu, puteri diraja ini juga aktif sebagai penaung pelbagai pertubuhan di Britain.