
Namanya tidak perlu diperkenalkan lagi, sejak terpalit kontroversi rumahtangga bersama pengarah tersohor Syamsul Yusof apabila rumah tangga yang dibina dilanda badai dan diuji dengan kehadiran orang ketiga iaitu penyondol Ira Kazar yang kini merupakan isteri kedua dan juga madu kepada Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.
Memiliki rupa paras yang indah serta sepasang mata yang bulat dan cantik membuatkan pelakon, Puteri Sarah Liyana sering disoal samada matanya asli ataupun tidak.
Menjawab pertanyaan yang selalu diberikan kepadanya, pelakon yang dilahirkan di England ini telah berkongsikan gambarnya sewaktu zaman kecil bagi menangkis persepsi bahawa dia menggunakan kanta lekap selama ini. Untung betul miliki mata yang besar dan lawa sebegitu!
Comelnya Sarah!
Sejurus selepas berkongsi foto zaman sekolah, ramai pengikut laman sosialnya yang memuji kecomelan wajahnya yang dimiliki sejak kecil lagi. Memang saling tak tumpah seperti wajah anak perempuannya, Sumayyah.
Berikut merupakan tangkap layar komen yang ditinggalkan oleh para peminat dan follower, Puteri Sarah yang berjaya menarik perhatian NONA!
Sebagai info, Puteri Sarah Liyana telah berkahwin dengan Syamsul Yusof pada tahun 2014. Hasil perkongsian hidup selama 9 tahun itu, mereka telah dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam dan juga Sumayyah.
Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof akhirnya memutuskan untuk bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 18 April 2023.
Untuk rekod, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber: Instagram Puteri Sarah Liyana
Lulusan Kejuruteraan Kimia, Wajah Cantik & Lembut TUANKU ZARA Di Usia 47 Tahun Tambat Hati Rakyat!

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sememangnya memiliki pakej lengkap seorang Permaisuri. Bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik, peribadi yang lembut dan merendah diri bahkan baginda juga seorang permaisuri yang berpendidikan tinggi. Pada 22 Mac lalu, Tuanku Zara menyambut ulang tahun keputeraannya yang ke-47 dan merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik yang dilahirkan di Ipoh, Perak. Sempena ulang tahun tersebut, baginda turut berkenan membuka akaun Instagram rasmi milik baginda iaitu Tuanku Zara Salim.
Tuanku Zara bertemu jodoh dengan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah pada 17 Mei 2007 ketika baginda berusia 34 tahun. Perkahwinan baginda berdua dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Putera baginda iaitu Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diputerakan pada 14 Mac 2008. Manakala puteri baginda yang diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Nazira Safya pula diputerikan pada 3 Ogos 2011.
Menelusuri latar belakang pendidikan Raja Permaisuri Perak ini, Tuanku Zara mendapat pendidikan di SMK Convent Ipoh dan pernah mewakili sekolah dalam sukan squash dan tenis serta mewakili negeri Perak dalam sukan renang. Di samping aktif dalam bidang sukan, baginda juga cemerlang dalam akademik.
Ketika berusia 22 tahun, Tuanku Zara menerima Ijazah Kejuruteraan Kimia kelas pertama di University of Nottingham, United Kingdom pada Julai 1995. Selepas menamatkan pengajian, baginda berkhidmat dalam industri hydrocarbon di syarikat petroleum negara Petronas. Pengalaman baginda yang amat luas dalam bidang kejuruteraan menjadikan baginda salah seorang wanita Malaysia yang diberi kepercayaan menyandang jawatan penting dalam projek berskala besar.
Mendekati latar belakang Tuanku Zara, ayahanda baginda iaitu Dato’ Seri William Stanley Walker Davidson atau Salim Davidson ialah seorang peguam terkenal di Malaysia. Manakala ibunda baginda pula ialah Dato’ Seri Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabuddin yang merupakan kerabat diraja Kedah di sebelah bonda baginda. Tuanku Zara merupakan cicit kepada Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan anakanda cucunda saudara kepada Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri Malaysia Pertama.
Sesungguhnya Tuanku Zara memiliki keperibadian dalaman dan luaran yang menawan. Malah, kemunculan baginda dalam istiadat mahupun majlis-majlis rasmi sering mencuri perhatian kerana penampilan Raja Permaisuri Perak ini yang anggun dan elegan.
Tuanku Zara juga seorang permaisuri berjiwa prihatin kerana pada 13 April lalu baginda bersama Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Eleena binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah Al-Maghfur-lah berkenan mengurniakan 1,250 pelindung muka untuk petugas barisan hadapan bagi membantu memenuhi keperluan tersebut di hospital-hospital dalam usaha memerangi wabak COVID-19.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim bagi pihak Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dilaporkan telah menyerahkan sumbangan baginda kepada Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Mohamad Ghopran bin Yeop Hamzah.
Baru ‘Setahun Jagung’ Usahawan Kosmetik Ini Berniaga Tapi Keuntungan Berlipat Kali Ganda

Kejayaan yang dikecap oleh wanita ini sememangnya boleh dibanggakan malah menyuntik inspirasi buat wanita lain untuk berjaya dalam mengejar cita-cita. Manakan tidak, dalam usia perniagaan yang masih lagi ‘hijau’ Eriyca Baiduri berjaya mengemudi perniagaan yang berasaskan kecantikan ini naik dengan begitu drastik.
Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa ini terus bangkit dalam arus perdana membangunkan ekonomi wanita agar tidak tertinggal ke belakang. Melakar kejayaan from zero to hero turut menyuntik inspirasi kepada wanita muda agar terus berjuang dalam setiap aspek kehidupan.
Berkongsi kisah kejayaan Eriyca atau lebih dikenali sebagai Madammu di kalangan komuniti Noir Health & Beauty Sdn. Bhd., akur tanpa keyakinan tinggi dalam diri untuk mengecap kejayaan mungkin dia tidak mampu berdiri di tempatnya kini.
Walaupun personaliti wanita ini di luarnya nampak lembut dan feminin, tetapi tidak mudah menyerah kalah dan mampu melakukan apa sahaja walau dihalang pelbagai rintangan.
“Kecintaan saya dalam dunia perniagaan ini memang dibentuk sejak di bangku sekolah lagi. Dalam usia yang begitu muda saya sudah mula berkecimpung dalam dunia perniagaan. Dahulu saya pernah mengendalikan sebuah restoran yang berlokasi di tengah Bandar Raya Kuala Lumpur. Minat saya dalam bidang masakan telah saya realisasikan dengan membuka restoran tersebut.
Wanita dan kecantikan memang tidak boleh dipisahkan begitu juga dengan saya. Kemudian pada tahun 2017 saya mula berjinak-jinak dalam perniagaan atas talian dengan mempromosi produk kecantikan. Alhamdulillah, apa yang saya usahakan tidak sia-sia dan perjalanan perniagaan saya ini telah dipermudahkan oleh Allah SWT.
Saya bermula dari bawah tanpa menggunakan modal yang besar. Di fasa awal perniagaan ini saya melakukan semua proses daripada penghantaran, pembungkusan, penstoran dan sebagainya. Pendek kata ketika itu saya adalah majikan dan saya juga adalah pekerjanya. Operasi perniagaan juga bermula dari rumah sahaja,” tutur Eriyca memulakan bicara.
Noir Health & Beauty berkembang dengan pesat dan kini Eriyca boleh tersenyum bangga apabila operasi perniagaannya sudah mempunyai pejabat sendiri. “Saya bersyukur kerana usaha saya untuk menaikkan Noir Health & Beauty telah menampakkan hasilnya.
Walaupun baharu sahaja setahun lebih beroperasi namun jenama ini sudah mampu berdiri kukuh dalam kelasnya yang tersendiri. Kedatangan tahun baru 2019 disambut dengan pembukaan pejabat baru Noir Health & Beauty.
Pembukaan pejabat baru lebih memudahkan operasi dan memberi peluang kepada wanita yang bersungguh-sungguh mahu mengubah kehidupan mereka. Saya mahu membantu wanita lain untuk menjana pendapatan dan dalam masa yang sama menjaga kesihatan dan kecantikan diri,” ujar Eryica yang mempunyai niat murni membantu golongan wanita agar mereka menjadi lebih maju dan berdaya saing.
Merancang mewujudkan legasi dalam dunia perniagaan, wanita ini turut merancang untuk menghasilkan produk kecantikan premium pada harga mampu milik serta mencetus sejarah tersendiri untuk berada di papan Bursa Saham Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Saya mempunyai banyak perancangan dan impian untuk melebarkan lagi jenama NOIR dalam bidang kosmetik. Banyak lagi yang perlu diterokai untuk memastikan cita-cita serta azam NOIR untuk tempuh 10 tahun akan datang terlaksana,” ujar Eryica yang yakin kuasa wanita mampu memiliki segalanya seraya mengakhiri perbualan.
4 Kali Jadi Olahragawan Kebangsaan! Azizulhasni Sebaris Legenda Sukan Rashid Sidek, Lee Chong Wei

Baru sebulan menimang cahaya mata ketiga, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang terus mendapat khabar gembira apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara 2019/2020.
Tambah bermakna, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan hadir ke majlis berkenaan, diiringi Perdana Menteri serta Menteri Belia & Sukan untuk menyampaikan trofi anugerah.
Berusia 34 tahun dan terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’, bapa kepada Amna Maryam, Amna Khadeeja serta Amna Fateema ini melahirkan rasa kesyukuran dengan penganugerahan tertinggi itu.



“Alhamdulillah syukur.
Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di atas penganugerahan yang diberikan dan ianya akan patik jadikan sebagai sumber motivasi buat diri patik untuk terus menggapai kejayaan di masa hadapan.
Ucapan tahniah saya buat Tan Cheong Min dan Suresh Selvatamby di atas penganugerahan Olahragawati dan Olahragawan Paralimpik Kebangsaan. Tahniah juga kepada semua rakan-rakan atlet yang tercalon dan saya berharap anda semua terus gigih berusaha untuk mengharumkan nama Malaysia.” Datuk Azizulhasni

Datuk Azizulhasni mengatasi empat pencabar lain bagi anugerah berkenaan iaitu atlet bina badan, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, Khairul Anuar Mohamad (memanah), Tan Chye Chern (tenpin boling) dan Wong Weng Son (wushu).
Lelaki kebanggaan Malaysia yang sedang menetap di Melbourne, Australia itu turut memohon maaf kerana tidak dapat pulang ke tanah air untuk menerima sendiri anugerah tersebut.
“Terima kasih tidak terhingga kepada abang saya, Aswarudin Awang yang telah menjadi wakil kepada pihak saya.” Datuk Azizulhasni
LEGENDA
Lebih membanggakan, jaguh berbasikal trek negara itu meletakkan namanya sebaris dengan legenda sukan tanah air, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei.
Beliau sebelum ini sudah tiga kali dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan bermula pada 2009, 2010 dan 2017 dan gelaran keempat berkenaan membolehkan dia menyamai rekod Rashid dan Chong Wei yang turut memenanginya sebanyak empat kali.
Rashid pernah meraih gelaran itu secara hatrik pada 1990, 1991 dan 1992 sebelum kembali memenanginya pada 1996 manakala Chong Wei dinobatkan sebagai pemenang pada 2005, 2008, 2011 dan 2012.
Wira sukan kelahiran Dungun itu membuktikan betapa dia berhak menerima anugerah berkenaan menerusi pencapaian yang dilakarnya sepanjang saingan musim 2019/2020 termasuklah memenangi pingat gangsa dalam acara pecut dan keirin di Kejohanan Basikal Trek Dunia di Berlin, Jerman pada 2020.


Suami kepada Datin Athiah Ilyana Abd Samat itu turut menyampaikan penghargaan kepada ‘tulang belakang’ kejayaannya selama menjadi atlet negara.
“Saya berterima kasih kepada pihak Kerajaan Malaysia khususnya Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Terengganu atas sokongan jitu buat karier saya.
Setinggi terima kasih buat isteri tercinta dan anak-anak, ibu tersayang dan seluruh ahli keluarga. Tidak dilupai jurulatih John Beasley, seluruh ahli pasukan dan rakan seperjuangan yang sentiasa bersama ketika susah mahupun senang.

Ucapan terima kasih juga kepada seluruh warga media yang sentiasa bekerja keras dan juga penyokong-penyokong #TeamAzizul yang sentiasa setia bersama dengan perjuangan saya.
Last but not least, pastinya penghargaan tertinggi kepada penaja-penaja yang menjadi tulang belakang kejayaan saya selama ini terutamanya CIMB.” Datuk Azizulhasni
Syabas Datuk Azizulhasni, semoga kejayaan ini menjadi inspirasi buat atlet-atlet muda agar terus meraih lebih banyak kejayaan yang membanggakan negara!