Putih Telur Rahsia Cantik Nad Zainal Kekal Menawan Di Usia 31

Setiap wanita mempunyai rahsia kecantikan masing-masing. Bagi selebriti cantik ini pula lebih selesa mengunakan putih telur sebagai salah satu rutin kecantikan dirinya.

Wanita kecil molek ini sejak dari awal pembabitannya dalam dunia seni sehingga bergelar ibu kepada dua orang anak, penampilannya jauh tak berubah.

Foto: Terima Kasih Pinography

Mencungkil rahsia kecantikan isteri kepada Muhammad Faliq Amirullah ini, “Bagi saya setiap wanita perlu seimbang menjaga kecantikan dalaman dan luaran. Bagi penjagaan dalaman setiap pagi saya amalkan minum Audela untuk proses detoksifikasi dan bersenam sekurang-kurang 20 minit, tiga kali seminggu.

Foto: Terima Kasih Pinography

Manakala untuk penjagaan wajah pula saya rajin melakukan rejim penjagaan kulit dan stim kulit wajah seminggu sekali.

Antara tip kecantikan yang saya tak pernah lupa untuk lakukan ialah letak putih telur di muka untuk tutup pori-pori kulit,” tutur Nad Zainal sambil melemparkan senyuman manis.

Foto: Terima Kasih Pinography

Lumrah bergelar seorang selebriti mereka dikatakan perlu menjaga sentiasa penampilan. Nad Zainal juga tidak terkecuali apabila penampilannya sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Nyata definisi cantik bagi wanita ini benar-benar ringkas. “Bagi saya untuk kelihatan cantik itu perlu sihat, fit dan kemas,” tutur wanita yang berusia 31 tahun ini penuh pesona.

Foto: Terima Kasih Pinography

Memulakan karier sebagai seorang pelakon di usia 18 tahun telah mematangkan wanita ini dalam mengharungi dunia seni yang mencabar ini. Walaupun kini sudah hampir 13 tahun berkecimpung dalam dunia glamor ini namun Nad Zainal tetap merendah diri dan mudah bekerjasama.

Kehebatan dan pembawaan emosi pelakon yang mempunyai nama sebenar Farah Nadia Zainal Abidin ini benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam terhadap peminat seni tanah air. Berilah apa sahaja watak kepada wanita kelahiran Selangor ini pasti akan dibawa dengan jayanya.

Foto: Terima Kasih Pinography

Bijak merebut peluang dan mengatur strategi dalam bisnes dan lakonan, pengasas kepada jenama Audella by Nad Zainal ini sudah mampu mengumpul aset termasuk membeli kediaman mewah.

Kejayaan yang dikecap oleh pelakon filem Juvana 2 dan Juvana 3 ini bukan datang dengan mudah tanpa menempuh pelbagai cabaran. Namun, atas dasar minat yang mendalam serta dorongan rakan perniagaan menjadikan wanita ini berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Foto: Terima Kasih Pinography

Lima tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan sedikit sebanyak telah membuka mata wanita ini dalam dunia perniagaan dan sudah mula mempelbagaikan cabang bisnesnya.

“Saya masih lagi sibuk dengan promosi produk Audela, minuman kesihatan yang sudah nak masuk 5 tahun dalam pasaran. Selain itu, kini saya mempunyai perniagaan berasaskan makanan iaitu MasDaebak Bakso Oden Viral.

Foto: Terima Kasih Pinography

Syukur kerana bisnes baharu ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan alhamdulillah, sudah ada agen di seluruh Malaysia,” terang Nad Zainal yang turut membantu wanita lain untuk menjana pendapatan sebagai agen di bawahperniagaannya.

Share
Published by
Hamizatul Maizan