Putus Terpaksa … ZIANA ZAIN & ARMIN Akhirnya Berpisah Talak Satu!

Jodoh hanya sampai di sini. Selepas beberapa bulan menghadapi kemelut yang menimpa rumah tangga, akhirnya Ziana Zain akur dengan ketentuan takdir. Selepas 20 tahun melayari bahtera perkahwinan, Armin Zaharin Ahmad melafazkan cerai terhadap penyanyi bersuara lunak itu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam petang tadi.

Menurut laporan Sinar Harian, lafaz talak satu itu dibuat di hadapan Hakim Syarie, Mohd Nizar Mohtar pada jam 2.48 petang. Armin yang memakai kemeja putih dengan nada sebak melafazkan cerai terhadap wanita yang telah dikahwininya itu sejak 1998.

Berdasarkan video yang tular di media sosial, aktres filem Sembilu ini dilihat mengesat air mata ketika keluar dari mahkamah sambil ditemani adiknya, Anuar Zain.

Dengan lafaz cerai tersebut, mahkamah memerintahkan Ziana menjalani iddah selama tiga bulan dan penceraian didaftarkan di pejabat agama. Terdahulu, bekas pramugara syarikat penerbangan ini turut memohon mahkamah memberikan kebenaran untuk berjumpa dengan anak mereka. Bagaimanapun Hakim Syarie berkata permohonan itu perlu difailkan di mahkamah tinggi.

Pada 6 Mac lalu, Armin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam selepas Ziana membuat laporan polis terhadap Armin kerana mencederakan anak mereka. Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah mendirikan rumah tangga bersama Armin pada tanggal 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18 dan Muhammad Ammar, 14 serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9 tahun.

Sumber: Sinar Harian

 

Share
Published by
Suzi