Qarin Punca Kita Malas Solat? Ini Caranya Tutup Pintu Masuk Jin Dari Tubuh Manusia

Tujuan jin dan manusia diciptakan ialah untuk beribadah sepertimana firman Allah Taala dalam surah Adz-Dzaariyaat, 56-58,

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu. Aku tidak menuntut rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menuntut supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Maha Pemberi Rezeki lagi mempunyai kekuatan sangat kukuh. 

Menurut Dr Nor Azian Ab Rahman dari Gabungan Perawat Muslim Malaysia, jin seperti juga manusia hidup di dunia wajib menyembah Allah Yang Maha Berkuasa. Tapi benarkah mereka puncanya manusia malas melakukan ibadah?

FAHAMI PERMAINAN JIN

Timbalan Setiausaha Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM)

Apabila disebut syaitan, semua manusia menyalahkan jin kerana bagi sebahagian manusia semua jin adalah syaitan sehingga lupa syaitan juga ada di kalangan manusia.

(1) Pada setiap manusia terdapat qarin jin iaitu pendamping yang mengajak untuk melakukan kejahatan dan menahan daripada melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Qarin bangsa jin sentiasa bersama kita sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat. Mereka berkata, “Engkau juga ya Rasulullah “ sabdanya “ Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuIslamkan dan menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Abdullah bin Mas’ud RA)

(2) Tentera iblis ini sentiasa berada di depan, belakang, kiri dan kanan untuk jauhkan kita dari beribadah. Apa keistimewaan kita sehingga iblis mengecualikan kita dari sumpahnya pada Allah SWT?

Firman Allah dalam surah Al-Araaf ayat 16-17 bermaksud, “Iblis berkata oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus.

Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”

Filem Sebelum Iblis Menjemput

(3) Jin yang jahat juga akan bersekongkol dengan manusia untuk menghantar sihir kepada mangsa sihir atau menjadi khadam manusia untuk melakukan sihir pada orang lain atau menjadi teman kepada manusia agar dapat dilindungi manusia tersebut dari disakiti perasaan dan emosinya dengan menyerang sesiapa yang mengganggu temannya.

Tanda-tanda dan gejala sihir ialah sukar beribadah, badan akan rasa sakit atau akan pengsan jika melakukan ibadah, hati ingin beribadah tetapi jasad menjadi lemah jika melakukan ibadah tetapi menjadi kuat untuk aktiviti selain ibadah dan banyak lagi.

Namun begitu, tidak semua kes sihir akan mengalami tanda dan gejala yang sama.

(4) Jin yang masuk atau bersama dengan manusia secara sukarela kerana sebab-sebab tertentu.

SIAPA SASARAN JIN

Jadi, bolehkah kita salahkan jin jika kita malas beribadah atau jika kita melakukan kejahatan?

Pertamanya, perlu dibezakan keadaan di mana seseorang yang terkena sihir dan melakukan sesuatu kerana berada dalam kawalan sihir dengan keadaan di mana seseorang yang tidak ada unsur sihir padanya. Dalam hal ini perlu mendapatkan pandangan ahli dalam bidang ini.

Keduanya, perlu memahami konsep hati dan nafsu dalam diri bagi melawan qarin jin dan tentera Iblis. Hati adalah ibarat raja yang berkuasa ke atas bala tentera untuk tunduk pada kehendaknya dan menggunakannya mengikut kehendaknya.

Ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu qalbun salim (hati yang sihat), qalbun mayyit (hati yang mati) dan qalbun maridh (hati yang sakit).

HALANG PINTU MASUK

Sasaran tentera iblis adalah pada hati dan mereka mampu menguasai lapisan sadr pada hati manusia.

Maka wajib mengetahui jalan masuk jin syaitan ke dalam hati dan pintu masuk tentera iblis ini adalah sifat yang ada pada manusia itu sendiri.

Nafs atau jiwa yang akan menentukan hati seorang manusia itu hendak melakukan ibadah ataupun tidak.

Sifat jiwa manusia disebut di dalam al-Quran diantaranya ialah Mutma’innah (jiwa yang tenang), Lawwamah (jiwa yang tercela) dan Ammaratun bis suu’ (jiwa yang sentiasa memerintahkan kepada perbuatan buruk).

Para fuqaha dan mufassirin (ahli tafsir) berpendapat jiwa manusia adalah satu dan mempunyai tiga sifat.

Manakala ahli tasawuf dan ahli tahqiq pula berpendapat bahawa manusia memiliki tiga jiwa.

Jadi, jin syaitan tetap berperanan dalam menjadikan seseorang itu berat melakukan ibadah tetapi pada masa yang sama, seseorang itu juga berperanan menutup pintu masuk jin syaitan ke dalam ruang sadr hati mereka dengan menguasai dan membimbing jiwa mereka ke arah jalan menuju Rabb.

Sumber: Gabungan Perawat Muslim Malaysia

Share
Published by
Norzalina