Punya sebuah keluarga yang bahagia serta dilengkapi cahayamata yang comel-comel merupakan satu anugerah terindah buat pelakon terkenal, Que Haidar dan isteri yang merupakan bekas guru tari Akademi Fantasia (AF), Linda Jasmine.
Perkahwinan yang dibina kini menjangkau usia 14 tahun. Selain bergelar suami yang penyayang dan romantik, Que Haidar yang berasal dari Johor dan berusia 40 tahun ini juga merupakan seorang bapa yang sangat penyayang terhadap anak-anaknya.
Ini dapat dibuktikan menerusi setiap posting yang dikongi di laman sosial Que Haidar dan Linda yang pastinya memberikan inspirasi buat semua pasangan di luar sana agar sentiasa menghargai insan tersayang sementara ada. Tak sekadar itu saja, pasangan ini sentiasa menghargai saat susah senang bersama.
Linda kini berusia 47 tahun namun masih kelihatan jelita. Tak pernah lekang dengan senyuman, wajah kacukan Inggeris Linda punya pesona tersendiri. Dan ia diwarisi oleh dua anak perempuannya iaitu Tengku Ratu Haidar (13) dan Tengku Cleopatra Haidar (11). Linda turut mempunyai seorang anak lelaki yang juga anak tiri Que iaitu Qalif Khan yang berusia 23 tahun.
Jika diamati, Ratu lebih mewarisi kecantikan ibunya manakala Cleo pula ‘copy paste’ wajah bapanya.
Namun begitu, menurut Que Haidar dari segi keakraban Ratu lebih manja dengannya berbanding Cleo yang manja dengan ibunya yang digelar Mummy.
RATU & CLEO TIADA AKAUN SOCMED
Satu lagi perkara yang menarik tentang pasangan ini ialah anak-anak mereka, baik Ratu mahupun Cleo tidak memiliki akaun sosial media (socmed) sendiri. Bagi Que dan Linda mereka punya pendirian tersendiri.
Berikut perkongsian Que Haidar kepada Nona.
“Saya dan isteri memutuskan untuk tidak membuat IG mereka kerana rasa terlalu awal untuk mereka. Biar mereka berdua bersedia sendiri, menjadi diri mereka sendiri, mempunyai pendirian sendiri serta bijak membuat keputusan sebelum memiliki account IG (Instagram) sendiri.
Siapalah mereka to have their own account as a public figure when they are still young to have contributed anything to the public (yet). We would like to let them come into their own,” kongsi Que Haidar.
Memandangkan darah seni mengalir dalam diri Ratu dan Cleo, kedua-duanya cenderung ke arah minat yang berkaitan dengan seni. Seperti mana ibunya, Ratu meminati seni tarian serta aktif mengikuti kelas tarian balet. Malah, Ratu turut berimpian untuk bergelar seorang pelakon.
Manakala adiknya Cleo, meminati seni kreatif seperti fotografi serta mewarisi bakat Que iaitu melukis. Dari segi persamaan pula, Ratu dan Cleo berbakat dalam bidang modelling.
“Perbezaan antara mereka ialah Ratu lebih lemah lembut, berimaginasi tinggi dan suka berdandan. Manakala Cleo cheeky, bijak, dan lebih realistic,” ujar Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar.
Sebagai ibu bapa, pasangan ini sentiasa mengharapkan yang terbaik buat anak-anak mereka terutama dari segi didikan dan bersyukur dengan segala yang dikurniakan oleh Allah SWT.
“Alhamdulillah, dalam masa sekarang saya dan isteri sangat bersyukur dengan apa yang kami ada. Semua ibu bapa inginkan dan impikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Begitu juga saya dan isteri.
“Kami berpakat akan memberi sokongan dalam apa jua yang mereka inginkan untuk menentukan hala masa depan mereka waima dalam bidang seni. Tapi mereka harus jelas bidang seni wajib mempunyai bakat serta ilmu juga.”
Kredit Foto: Instagram Que Haidar