“Biasanya orang Arab masuk saja bulan Rejab dah terbayang Ramadan. Tapi orang perempuan kita belum masuk Rejab lagi dah terbayang Syawal!” begitu mukadimah Ustaz Syamsul Debat mengusik jemaah Muslimat tentang ragam berpuasa.
Nama pendakwah Ustaz Syamsul Debat atau Syamsul Amri Ismail, 43 tahun, sememangnya cukup mesra di kalangan peminat ceramah, terutama sekali penonton saluran TV AlHijrah. Orangnya santai dan kelakar, tapi amat bijak menyelitkan unsur-unsur nasihat yang menginsafkan.
Menyedari kedatangan Ramadan tidak lama lagi, Ustaz Syamsul berkongsi tiga jenis orang berpuasa yang menggambarkan keadaan dan kedudukannya, sebagaimana yang ditulis oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumiddin.
Beliau turut mengaitkan inti pati jenis berpuasa ini dengan ragam-ragam orang perempuan, eh kadang terasa juga benarnya!
==========================
Tinggal 12 hari saja lagi untuk kita menjemput tetamu yang paling dirindukan… Ramadan. Dia yang datang setahun sekali selama 30 hari, membawa pelbagai hadiah menarik untuk kita. Terserahlah mahu menerimanya atau membiarkan saja ia berlalu.
Allah SWT menyebut dalam surah Al-Baqarah ayat 183, bermaksud ‘Wahai orang-orang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertakwa.’
Kenapa sebut mudah-mudahan? Sebab belum tentu lagi orang berpuasa itu bertakwa. Mungkin waktu berpuasa kita buat perkara yang tak patut atau tak buat perkara yang sepatutnya. Jom semak 3 jenis orang berpuasa kalau nak tau di tingkat mana ibadah kita.
Pertama: Puasa Umum
Setakat berpuasa menahan perut dan nafsu syahwat sedangkan anggota yang lain masih melakukan maksiat terhadap Allah.
Ustaz Syamsul Debat: Puasa ni macam puasa budak darjah 5. Kita setakat puasa semata-mata, menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Tapi nama saja puasa tapi tak mengaji atau bersolat. Sebab padanya itu dah biasa.
Kedua: Puasa Khusus
Ditunaikan dengan turut mengawal seluruh anggota badan daripada melakukan maksiat terhadap Allah tapi hatinya masih belum dapat sepenuhnya daripada niat yang melalaikan diri dalam mengingati Allah.
Ustaz Syamsul Debat: Paling ramai puasa begini. Mereka menahan diri daripada perkara yang membatalkan atau mengurangkan pahala puasa. Contoh perkara yang mengurangkan pahala, siang-siang orang perempuan ni suka tengok drama Korea atau drama Melayu, rancangan hiburan atau bermain Facebook sampai melalaikan.
Mulanya konon-konon tak mahu bergosip, tapi nanti sibuk nak ambil tahu juga. Kalau pergi pasar Ramadan, nafsu makan membuak-buak sampai tak cukup jari-jemari nak gantung plastik makanan. Akhirnya membazir belaka.
Ketiga: Puasa Khusus al-Khusus
Puasa yang paling sempurna dimana hati turut dikawal daripada keinginan yang buruk dan memikirkan sesuatu selain Allah secara mutlak. Tahap puasa ini dinikmati oleh para Nabi, siddiqin dan muqarrabin kerana ia sukar digambarkan dengan kata-kata tetapi dilaksanakan dengan amalan.
Ustaz Syamsul Debat: Inilah puasa yang terbaik, dimana kita bukan saja menahan diri daripada perkara yang membatalkan atau mengurangkan pahala puasa tapi langsung mengelak daripada memikirkan soal duniawi. Jarang-jarang ada orang puasa jenis ni.
“Nak tengok dimana makanan paling membazir? Tengoklah waktu orang kita ke bufet Ramadan”
Kata Ustaz Syamsul Debat, salah satu tanda bertakwa ialah qanaah
atau berpada-pada dengan yang sedikit. Sifat suka membazir biasanya terserlah kalau kita berbuka di bufet Ramadan.“Kita patutnya kena belajar daripada orang putih. Mereka ini kalau pergi bufet mesti ambil sikit-sikit, kemudian duduk dan makan. Bila habis, baru bangun semula untuk ambil yang lain.
Yang perangai orang kita ni pula, dalam fikiran dah plan, kalau bangun ambil semua makanan. Kononnya tak perlu bangun berkali-kali. Sudahnya penuh semeja… terbazir macam tu saja. Itulah sebabnya kita kuat makan lebih banyak dari sebelum tak puasa.
Saya sejak kecil lagi Abah dah ajar, berbuka cukup dengan buah tamar dan air suam. Selepas tunaikan solat Maghrib barulah kami makan makanan berat,” kongsi beliau sebelum mengakhiri ceramah.
This website uses cookies.