Amboi, harumnya aroma Tomyam Putih masakan Datin Isma Rohaiza ni. Wangi semerbak, rasanya bukan main sedap lagi… macam sajian istana Ayutthaya. Ummphh cukup rasa!
Mengenali wanita putih gebu yang merupakan pengasas produk kecantikan Tia Amelia ini, sesungguhnya cukup menyenangkan. Diam-diam hati memuji, betapa sempurna kehidupan Datin Isma, serba-serbi indah, dikelilingi keluarga bahagia dan disayangi ramai.
Petuanya mudah. Datin Isma suka memasak dan air tangannya pengerat kasih sayang. Tak cukup dengan bakat di dapur, beliau juga tak lokek berbahagi resipi di Instagram miliknya iaitu @masakwithpassion.
“Saya belajar memasak daripada Umi. Sejak remaja dah biasa menyinsing lengan di dapur, siapkan juadah untuk adik-adik makan. Alhamdulilah berkat ilmu tu, saya turunkan pada anak-anak dan followers pula,” kata anak sulung daripada enam beradik ini.
Datin Isma turut berbesar hati menyediakan juadah Tomyam Putih Mengancam untuk followers Majalah Nona. Video eksklusif beliau melalui segmen ‘Me Time: Air Tangan VIP Nona’ pada hari Sabtu, 18 April itu mendapat tontonan tinggi di Instagram serta Facebook Nona.
Bagi yang terlepas, boleh tonton semula di sini.
Bahan-bahan:
Bawang merah
Serai
Daun limau purut
Cili padi (ikut pedas yang diinginkan)
Lengkuas
Cendawan
Kubis bunga
Lobak merah
Tomato
Akar ketumbar
Daun ketumbar
Sos ikan
Jus limau nipis
Ayam @ seafood
Cara membuat:
Panaskan air, masukkan tomato. Masukkan lengkuas, cili padi dan serai. Bila mendidih, letakkan akar ketumbar dan ayam. Taburkan sedikit serbuk stok ayam, sos ikan, gula dan garam. Seterusnya masukkan jus limau nipis, lobak, daun limau purut, kubis bunga, cendawan dan bawang merah. Kacau sampai semua bahan mesra. Tutup api. Akhir sekali taburkan daun ketumbar.
Rahsia Tomyam Sedap
Kunci untuk masakan Thai yang sedap adalah ramuan yang segar serta keseimbangan rasa pedas, masam, manis dan masin. Patutlah masakan Datin Isma sedap-sedap!
- Kalau perasan, Datin Isma gunakan daun dan akar ketumbar dalam masakan Tomyam Putih ini. Katanya, akar ketumbar akan mewangikan lagi masakan selain taburan daun ketumbar yang dihiris-hiris.
- Buang tulang daun limau purut (dikongsikan dalam video) supaya baunya lebih wangi.
- Masukkan tomato awal-awal supaya rasa masam tomato mesra dengan masakan.
- Kalau nak tukar ayam kepada seafood, masukkan seafood macam sotong dan udang akhir-akhir sekali.
Selamat mencuba!
Jom Ke EATROPICA CAFE Sempena Cuti Hari Kemerdekaan, Sesuai Buat Family Gathering!
Kafe Eatropica adalah dari singkatan dua ayat EAT at TROPICA mengetengahkan konsep tropikal. Memulakan operasi sekitar Mac lalu, kafe yang membuka pintu di Menara 1 Sentrum, bersebelahan KL Sentral (rooftop NU Sentral Mall) ini cukup sesuai untuk anda yang mahukan kedamaian tatkala menjamu selera tanpa sebarang gangguan.
Pemiliknya, Azlin Zulkarnian, berkata pilihan konsep sedemikian mampu memberikan ketenangan dan kedamaian kepada penghuninya sebaik melangkah masuk. Terutamanya apabila ingin “melarikan diri” daripada kesibukan suasana ofis hutan konkrit Kuala Lumpur.
Memahami bagaimana tekanan di tempat kerja mampu mempengaruhi kehidupan dan emosi seseorang, Azlin mengilhamkan dekorasi kafe yang mendamaikan dan dipenuhi kehijauan bagi memberikan elemen ketenangan sambil para pelanggan menjamu selera dengan hidangan yang enak dalam suasama yang santai dan harmoni.
“Eatropica merupakan outlet pertama dan tidak terdapat di mana- mana lokasi sebelum ini. Terdapat banyak hidangan istimewa di Eatropica di antaranya adalah Pulled Lamb Burger. Ia merupakan daging kambing dicarik halus, menjadi patty burger (bukan daging kisar), digandingkan dengan keju feta dan sos tzatziki ala greek.
Hidangan ini sering menjadi pilihan untuk dinikamti oleh golongan korporat untuk hidangan makan tengahari kerana ianya mudah dan mengenyangkan terutamanya di kala sibuk dengan mesyuarat dan tugasan lain di pejabat. Selain itu, kami juga ada Melting Moroccan Lamb Shank, kambing yang dimasak hingga empuk, dinikmati dengan kemanisan apricot chutney dan kentang putar.
Hidangan lain yang turut mendapat sambutan termasuk Crispy Chicken Tenders, Melted Leek Risotto dan Crispy Skin Salmon Fillet dan Naked Burger (burger tanpa roti untuk pengamal sihat Keto diet). Manakala untuk pencuci mulut yang menjadi kegemaran ramai pengunjung adalah Sticky Date Pudding, iaitu puding kurma borsama sos butterscotch dan aiskrim vanila”, jelasnya.
Kafe yang memulakan operasi dari jam 8.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari isnin sehingga Jumaat ini turut beroperasi pada hari sabtu pula pada jam 8.00 pagi hingga 6 petang dan turut menerima tempahan untuk sebarang majlis yang hanya dibuat pada hari Ahad sahaja.
Selain hidangan yang menarik, lokasi yang strategik dan hiasan dalaman Eatropica ini amat sesuai sebagai lokasi alternatif bagi business meetings, workshop, majlis pelancaran produk, family gathering dan lain-lain lagi kerana mempunyai keluasan kapasiti 160 tempat duduk dan 300 tetamu untuk jamuan secara berdiri atau koktel.
Impian Eatropica di masa akan datang adalah untuk mempunyai rantaian cawangan restoran pelbagai konsep unik. Keunikan rasa setiap hidangan dengan konsep dekorasi yang menawan pastinya menjadikan Eatropica sebagai salah sebuah kafe pilihan masyarakat kini yang mementingkan kualiti makanan setanding dengan konsep dekorasi yang diterapkan!
6 Idea Menu Sahur Ringkas Tapi Mengenyangkan! Mesti Cuba!
Ibadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur merupakan satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Ada yang memilih nasi sebagai menu bersahur, tetapi ada juga yang lebih gemar memilih menu ringkas untuk mengalas perut. Jom cuba beberapa menu sahur yang enak dan mengenyangkan ini!
HEALTHY SANDWICH
BAHAN-BAHAN:
1 buku roti bijan (dipotong nipis)
3 helai salad segar
Hirisan tomato dan bawang
Isi ayam (siap masak dan dihiris nipis)
1 biji telur goreng (digoreng dengan minyak zaitun)
2 keping keju ceddar
1 sudu sos tomato
½ sudu mayones (jika suka)
CARA MEMBUAT:
Bakar roti sehingga sedikit berwarna. Letakkan salad, tomato, bawang dan susun isi ayam bersama telur goreng serta keju. Kemudian letakkan sos tomato dan mayonis.
OMELETTE BAWANG DAN KEJU
BAHAN-BAHAN:
3 biji telur ayam
50ml susu segar
Garam dan lada hitam secukup rasa
Sedikit mentega
½ biji bawang merah (dipotong dadu)
2 sudu besar keju mozarella
BAHAN HIASAN
Kentang goreng
Salad
CARA MEMBUAT:
Pecahkan telur ayam dan campurkan susu segar. Pukul dengan garpu sehingga sebati. Masukkan garam dan lada hitam. Ketepikan. Panaskan kuali dan masukkan mentega. Tumis bawang sampai naik wangi dan agak lembut. Masukkan telur dan kecilkan api. Kacau sedikit dan biarkan lapisan bawah sedikit masak. Letakkan keju dan lipat telur menjadi setengah iaitu keju di tengah-tengah. Terbalikkan telur dan masak sebentar sehingga bahagian dalam masak. Hidangkan bersama kentang goreng dan salad.
PANKEK STRAWBERI
BAHAN-BAHAN:
1 cawan tepung gandum
½ camca teh serbuk penaik
Secubit garam
½ cawan susu segar
Sedikit air
1 biji telur ayam
2 sudu besar gula melaka (diparut)
Sedikit minyak masak
BAHAN HIASAN:
2 biji strawberi segar
Jem strawberi
CARA MEMBUAT:
Campurkan tepung gandum, serbuk penaik dan garam dalam satu mangkuk. Masukkan susu segar, sedikit air dan telur ayam. Kacau sehingga sebati. Masukkan gula melaka dan kacau lagi sehingga hilang ketul-ketul. Panaskan kuali dan sapukan sedikit minyak masak. Tuang satu senduk bancuhan tepung dan masak setiap bahagian selama 2 minit dengan api sederhana. Susun di atas pinggan. Letakkan jem strawberi dan strawberi segar.
ROTI PITA KEJU
BAHAN-BAHAN:
10 gram yis roti
Sedikit air
1 liter susu segar
Gula dan garam secukup rasa
2 sudu besar minyak zaitun
500 gram tepung gandum
200 gram keju mozarella
CARA MEMBUAT:
Satukan yis roti dengan sedikit air dan biarkan selama 10 minit. Sediakan 500 ml susu. Masukkan gula, garam, minyak zaitun dan yis tadi. Kemudian masukkan tepung gandum. Uli tepung sambil masukkan lebihan susu. Masukkan sedikit demi sedikit. Pastikan tepung tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembik. Rehatkan doh selama 30 minit sehingga tepung naik dua kali ganda. Uli kembali dan jadikan bebola tepung dalam anggaran 70 gram – 100 gram setiap satu. Ambil sebiji tepung ulian tadi dan buka sedikit dengan tangan. Masukkan keju dan tutup kemaskan kembali. Uli roti menjadi sedikit leper tetapi jangan terlalu nipis. Panaskan kuali tanpa minyak dan masak sehingga naik warna setiap bahagian. Potong dan terus makan makan panas-panas.
TELUR SCRAMBLE DENGAN BACON DAGING
BAHAN-BAHAN:
3 biji telur ayam
50 ml susu segar
Garam dan lada sulah secukup rasa
Mentega
Roti toast
Bacon daging
CARA MEMBUAT:
Pecahkan telur ayam dan campur bersama susu segar. Pukul dengan garpu sampai sebati. Kemudian masukkan garam dan lada sulah. Panaskan kuali dan masukkan mentega. Kemudian tuang semua bancuhan telur. Sambil masak, kacau telur sampai 70 peratus masak. Kacau sampai sedikit hancur. Tuangkan di atas roti toast. Hidangkan bersama bacon daging panggang, salad atau kentang jika suka.
6.TORTILA KELEDEK MANIS
BAHAN-BAHAN:
Doh roti pita
1 biji keledek sederhana besar (direbus)
1 biji kentang (direbus)
½ biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 tangkai daun kari
2 biji cili merah (dihiris nipis)
Sedikit biji sawi
Sedikit serbuk kunyit
½ sudu besar serbuk cili
½ sudu besar serbuk ketumbar
Hirisan daging siap masak
CARA MEMBUAT:
Ambil sebiji dok roti pita dan uli sampai leper, nipis dan bulat. Masak atas kuali panas. Tumis bawang merah, bawang putih, biji sawi, daun kari dan cili merah sampai naik wangi. Kemudian masukkan kunyit, serbuk cili dan serbuk ketumbar. Masukkan pula keledek dan kentang yang telah dilenyek terlebih dahulu. Masak dan kacau semua bahan sehingga sebati.
Takut Makan Coklat! Risau Nanti Gemuk, Naik Jerawat… Rupanya Coklat Banyak Khasiat.
Coklat sering dikaitkan sebagai makanan yang boleh mengemukkan. Malah mitos ini telah mula tersebar sejak dahulu lagi bahawa coklat boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan antaranya ia boleh menyebabkan kegemukan, masalah penyakit kencing manis, gigi rosak dan sebagainya. Andaian tersebut ternyata tidak benar kerana kajian telah membuktikan sebaliknya. Kajian menunjukkan coklat tidak berkaitan dengan masalah kencing manis, gigi rosak, paras kolesterol yang tinggi atau penyakit berkaitan jantung. Jadi, jika anda penggemar coklat, usah risau!
Ramai orang mengatakan bahawa makanan dan minuman yang diperbuat daripada koko enak, melazatkan dan memberi nikmat. Tetapi masih ramai yang tidak mengetahui khasiat-khasiat yang boleh diperolehi daripada makanan dan minuman yang berasaskan koko.
Ada juga kajian menunjukk an bahawa individu yang gemar memakan coklat dikatakan dapat hidup satu tahun lebih lama berbanding individu yang tidak gemar menjamah coklat. Satu fakta yang boleh dikaji keberkesanannya.
Menurut penyelidikan yang dijalankan di University Harvard, coklat mengandungi bahan kimia yang boleh membantu mengekalkan keanjalan saluran darah dan meningkatkan kandungan flavonoid dan antioksidan di dalam darah. Ia juga didapati dapat menghalang penyakit kardiovaskular serta menghalang kerosakan sel dan tisu badan.
Tidak dinafikan setiap makanan mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Terpulang kepada individu untuk menikmatinya tetapi dalam kuantiti yang berpatutan.
10 Fakta Menarik tentang Coklat:
Kajian yang dijalankan oleh Universiti Osaka, Jepun mendapati koko mengandungi agen antibakteria yang menghalang masalah kerosakan gigi. Namun begitu, kandungan gula di dalam coklat boleh menjejaskan fungsi agen ini sekali gus menyebabkan kerosakan gigi.
Satu kajian yang dijalankan oleh Fakulti Perubatan Pennsylvania mendapati penggunaan coklat tulen tidak memberi kesan terhadap pertumbuhan jerawat atau lain-lain masalah yang berkaitan dengan kulit. Malah pakar perubatan tidak menemui sebarang bukti sahih yang boleh mengaitkan pengambilan coklat sebagai punca jerawat. Tetapi masalah jerawat boleh berpunca daripada coklat yang menggunakan susu.
Umum mengetahui bahawa koko mengandungi bahan perangsang seperti kafein dan theobromine. Kuantiti bahan-bahan ini adalah kecil di dalam kandungan coklat. Kajian mendapati 1 auns (28.3 gram) coklat pahit mengandungi 5 ke 10 miligram (mg) kafein dan 10 mg kafein pada 170 mililiter (ml) cawan koko berbanding 100-150 mg kafein dalam 220 ml cawan kopi. Oleh yang demikian, anda perlu makan lebih daripada satu dozen coklat untuk mendapatkan jumlah kafein yang sama dengan secawan kopi.
4. Coklat tidak menyebabkan migraine
Walaupun masih tiada bukti kukuh yang menyokong pendapat ini, tetapi terdapat kajian menunjukkan coklat turut menjadi pendorong rasa sakit kepala terutamanya di kalangan pesakit migraine.
5. Coklat TIDAK menyebabkan peningkatan paras kolesterol.
Umum mengetahui coklat mengandungi asid stearik iaitu sejenis lemak neutral yang tidak menyebabkan peningkatan kadar kolesterol tidak sihat atau LDL.
Malah, lemak koko dalam coklat mengandungi asid oleik, sejenis lemak mono tak tepu, yang juga ditemui pada minyak zaitun. Ia sebenarnya meningkatkan kandungan lemak sihat yang diperlukan badan (HDL). Pada masa yang sama lemak koko juga mengandungi 38.2% asid oleik iaitu sejenis asid lemak tidak tepu yang berperanan merendahkan paras kolesterol di dalam darah.
6. Coklat Sebagai Makanan Yang Sihat.
Koko mengandungi pelbagai khasiat walaupun ia datang di dalam
kuantiti yang kecil. Kajian menunjukkan sekeping coklat sus seberat 42.45 gm membekalkan 3 gm protein. Jadi, ia juga membekalkan protein buat tubuh badan! Walaupun serbuk koko bukan produk utama tetapi serbuk koko juga mengandungi berbagai-bagai zat yang diperlukan oleh tubuh manusia. Ini termasuklah lemak, protein, karbohidrat, Vitamin A, B, D dan E. Di samping itu, coklat juga mengandungi asid amino yang lengkap bagi pemeliharan protein tubuh manusia, kaya dengan Vitamin A dan D serta sumber Vitamin B seperti Tiamina, Riboflavin dan Niasin.
7. Coklat tidak bertindak mengawal emosi dan tingkah laku.
Penyelidik dari Neurosciences Institute, San Diego, California menyatakan bahawa coklat mengandungi bahan yang mengawal tingkah laku dan mood seseorang individu. Menurut kajian tersebut, bahan ini memberi kesan seperti pengambilan dadah yang merangsang tindak balas fizikal dan psikologi. Tetapi kebenarannya adalah amat kecil memandangkan kandungan bahan di dalam coklat adalah kecil dan tidak akan menyebabkan tindak balas seperti yang ditunjukkan di dalam kajian itu.
8. Coklat Bukan sebagai Punca Penyakit Jantung
KAJIAN Mayo Clinic, University of California, University of Scranton dan Pennsylvania State University menunjukkan coklat mengandungi bahan kimia, flavonoid, yang meningkatkan kesihatan kardiovaskular. Ia juga bertindak sebagai antioksidan yang menghalang atau melambatkan kerosakan sel dan tisu badan.
9. Coklat Bukan Punca Masalah Batuk Berlarutan.
RAMAI percaya coklat tidak baik untuk mereka yang batuk. Namun pada hakikatnya, coklat berkesan untuk menghalang batuk yang berterusan. Bahan yang diberi nama Theobromine yang terdapat di dalam coklat didapati lebih berkesan daripada pengambilan ubat batuk yang terdapat di pasaran. Coklat juga didapati melega dan melembapkan tekak.
10. Coklat TIDAK menyebabkan barah.
Coklat adalah antara makanan yang mempunyai kandungan plumbum paling tinggi. Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Makanan dan Dadah Amerika Syarikat menyebut kandungan plumbum dalam coklat amat rendah dan tidak memberi kesan buruk sekalipun dimakan dalam kuantiti yang banyak.
Coklat juga merupakan sejenis bahan makanan yang mengandungi tiga bahan utama yang berasaskan koko seperti likur dan lemak koko, gula dan juga susu. Oleh itu, coklat bukan sahaja merupakan bahan makanan yang lazat tetapi juga kaya dengan zat makanan yang diperlukan.Terdapat tiga jenis coklat yang biasa didapati di pasaran iaitu coklat susu, coklat kosong atau coklat pahit dan coklat putih.
– Coklat susu: jika dibandingkan dengan jenis-jenis coklat lain, mempunyai nilai pemakanan yang lebih baik. Coklat susu mempunyai kandungan tenaga, protein, kalsium dan Vitamin A dan B yang lebih tinggi. Kandungan protein, kalsium dan vitamin sebahagian besarnya adalah disumbangkan oleh susu yang merupakan salah satu bahan utama dalam coklat susu. Coklat susu seberat 100 gram boleh menyumbangkan 18% daripada tenaga, 11% daripada protein, 8% daripada zat besi, 47% daripada kalsium, 19% daripada Riboflavin dan 11% daripada Vitamin A yang diperlukan oleh badan dalam sehari.
– Coklat putih: juga mempunyai kandungan tenaga yang tinggi. Coklat putih seberat 100 gram boleh menyumbang 18% daripada tenaga yang diperlukan oleh tubuh manusia dalam sehari. Di samping itu, coklat putih juga mengandungai kalsium dan vitamin yang tinggi. Walau bagaimanapun, berbanding dengan coklat susu, kandungan protein dalam coklat putih adalah lebih rendah kerana coklat putih tidak mengandungi likur koko dan serbuk koko.
– Coklat kosong: pula mengandungi kandungan lemak dan zat besi yang tinggi. Zat besi yang terkandung dalam 100 gram coklat kosong boleh menyumbang 23% daripada zat besi yang diperlukan oleh tubuh manusia dalam sehari. Walau bagaimanapun kandungan zat-zat lain didapati lebih rendah berbanding jenis-jenis coklat yang lain disebabkan coklat kosong tidak mempunyai campuran susu.