Rahsia Khusyuk Solat, Rupanya Sis Kiah Fahamkan Maksud Bacaan Ini Betul-Betul!

Solat itu benar-benar merupakan penyejuk hati dan sumber kebahagiaan. Dalam ketakutan, kesedihan, kerisauan, maka segeralah mendirikan solat. Nescaya jiwa akan kembali tenteram dan tenang. Sesungguhnya solat itu atas izin Allah, boleh menjaga diri kita dengan mengubati kesedihan dan kerisauan yang terhimpit.

Terlalu tinggi ertinya mengapa kita harus menunaikan solat setiap hari. Bagi mereka yang menjauhi solat, mereka hanya akan beralih dari satu kesusahan kepada kesusahan lain. Dari kerisauan jiwa ke keresahan jiwa yang lain dan kesengsaraan kepada kesengsaraan yang bakal diterima kala kita melangkah ke akhirat nanti.

Ada di antara kita yang solat berpuluh tahun, tapi masih tak tahu maksud atau makna bacaan dalam solat yang dibaca (ramai sebenarnya). Tak hairan la kalau tak khusyuk dalam sembahyang. Dalam keadaan duduk di rumah ini, Sis Kiah mula belajar dan memahami makna setiap bacaan solat yang didirikan. Sis Kiah sempat juga menonton video dulu, perkongsian Neelofa tentang maksud setiap bacaan kita dalam solat.

Sis Kiah ingin berkongsi info agar dapat dijadikan renungan bersama setiap rangkap yang kita sebut sewaktu solat.

Takbiratul-Ihram / Mengangkat Takbir

Maksudnya: Allah Maha Besar

Doa Iftitah

Maksudnya: Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha Suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagi-Nya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah

Maksudnya: Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk

Maksudnya: Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk

Maksudnya: Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal

Maksudnya: Wahai Tuhan kami bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud

Maksudnya: Maha Suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Maksudnya: Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal

Maksudnya: Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Maksudnya: Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Semoga bermanfaat untuk kita bersama. Sabda Rasulullah SAW,

Siapa yang menyampaikan satu ilmu dan orang membaca mengamalkannya maka dia akan beroleh pahala walaupun sudah tiada. (Hadis Riwayat Muslim)

Share
Published by
KR