Tahukah anda bahawa biji bunga matahari atau kuaci amat berkhasiat untuk mengatasi kolesterol, menjaga kesihatan jantung dan mengurangkan stres?
Semenjak dahulu juga, biji-bijian seperti biji bunga matahari diamalkan untuk membantu perkembangan janin dalam kandungan. Ibu-ibu hamil digalakkan untuk mengambilnya kerana ia terkandung khasiat asid folat yang tinggi.
Memiliki tekstur yang lembut namun kaya dengan nutrisi, kuaci sering dijadikan makanan ringan serta ditabur dalam aneka jenis masakan. Biji bunga ini dihasilkan dari tanaman herba dari keluarga Asteraceae dengan nama botani Helianthus annuus.
Ia merupakan tanaman asli Amerika Tengah dan kini diproduksi secara meluas di Rusia, China, Amerika Syarikat dan Argentina.
Terdapat pelbagai khasiat saintifik yang ditemukan dalam biji bunga matahari. Namun dalam kehidupan seharian, ia lazimnya disarankan untuk wanita mengandung demi kesihatan bayi dalam kandungan.
Di dalam setiap 100gm biji ini, terdapat asid folat setinggi 227mg. Asid folat amat bermanfaat untuk tumbesaran janin, sintesis DNA, mencegah masalah pramatang atau kecacatan pada bayi.
MENGURANGKAN STRES
Di dalam buku Anti-Aging Prescription tulisan Dr. James E. Duke, biji bunga matahari serta beberapa jenis biji-bijian lain kaya dengan triptofan dan asid amino non-essential.
Ia bertindak melepaskan hormon serotonin ke dalam darah untuk membuatkan perasaan dan hati anda terasa lebih tenang. Perkara ini dapat membantu anda mengurangkan stres serta depresi.
ANTI-INFLAMASI
Antioksidan yang terkandung di dalam biji ini memiliki efek anti-inflamasi seperti mengurangkan gejala asma, osteoartritis dan rheumatoid artritis.
Ia juga mengurangkan simptom hot flushes pada wanita menopaus serta membantu mengurangkan komplikasi diabetes.
MENURUNKAN KOLESTEROL
Menerusi sebuah kajian yang disiarkan dalam Journal of Agricultural and Food Chemistry mengatakan bahawa kekacang dan biji-bijian adalah tergolong dalam makanan yang kaya pitosterol. Pitosterol merupakan salah satu zat yang bermanfaat untuk membantu menurunkan kolesterol serta mengurangkan risiko terkena kanser.
MENJAGA KESIHATAN TULANG
Biji bunga matahari juga kaya dengan vitamin D. Pengambilannya secara teratur berguna untuk menjaga kesihatan tulang anda. Ia juga kaya dengan magnesium yang bertindak untuk menghasilkan daya serta menjaga tulang agar sentiasa sihat.
MENCEGAH PENYAKIT KARDIOVASKULAR
Kandungan vitamin E di dalam biji bunga matahari iaitu antioksidan berguna untuk menghindari radikal bebas dari oksidasi kolesterol. Ini dapat mencegah risiko terjadinya serangan jantung, strok, pembuluh darah tersumbat dan atherosclerosis.
MENJAGA KESIHATAN KULIT
Kandungan vitamin E dalam biji bunga matahari baik untuk kecantikan kulit dan melindunginya dari radikal bebas.
AWAS, ALAHAN!
Meskipun jarang terjadi, namun alahan terhadap biji bunga matahari boleh terjadi. Beberapa reaksi mungkin ditemukan pada seseorang yang alahan terhadapnya seperti gatal-gatal kulit, bersin, mata berair, gastritis, muntah atau sebagainya. Hentikan pengambilan dengan segera dan dapatkan rawatan doktor.