Nama usahawan emas, Datin Normadora atau Edora bukan lagi asing di kalangan peminat jenama Angsa Emas Jewellery. Berusia 35 tahun, wanita asal Kelantan itu juga merupakan ibu kepada tiga cahaya mata.
Bukan saja cantik dan bergaya tapi orangnya juga sangat merendah diri, lembut serta peramah hingga membuatkan sesiapa pun selesa mendampingi.
Datin Edora membesar dalam keluarga berlatarkan bisnes. Pemilik Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Utara Malaysia ini juga merupakan anak bongsu dalam tiga adik-beradik.
Bayangkan dari hanya satu cawangan Angsa Emas Jewellery di Bangi, kini Datin Edora telah mengembangkan dua cawangan lagi di Wangsa Maju dan Shah Alam.
Matlamat membeli emas kebiasaannya tergantung niat mahu melabur untuk simpanan atau melabur dan dijadikan barang perhiasan. Bagi majoriti wanita, lumrah jiwa kita yang menyukai keindahan pastinya lebih terarah membeli emas di kedai barangan kemas.
Rahsia kedai emas viral ni tentulah terletak pada kebijaksanaan pemiliknya. Jom ikuti temu bual eksklusif Nona dengan Datin Edora!
Nona: Sebagai pemilik kedai emas, apa pendapat Datin Edora tentang pelaburan emas dan apa nasihat anda kepada pembaca yang mahu membeli emas?
Edora: Emas adalah logam bernilai. Secara tak langsung emas juga adalah mata wang. Bagi saya, konsep menyimpan emas sama dengan konsep menyimpan duit. Mana yang mendatangkan keuntungan terbanyak itulah yang sepatutnya kita perlu simpan.
Nona: Bagaimana datangnya idea untuk membangunkan bisnes ini?
Edora: Saya adalah pencinta fesyen justeru saya suka menampilkan kelainan dalam perniagaan. Barangan kemas di sini juga ibarat karya fesyen yang tinggi nilainya dan berbaloi dimiliki, selari dengan pelaburan emas yang menjadi matlamat pelanggan.
Nona: Dari mana datangnya asal-usul nama Angsa Emas dan apakah cabaran awal sebagai penjual emas?
Edora: Angsa Emas berasal daripada dua entiti yang disatukan menjadi satu cinta. Iaitu huruf E dan A. Asal nama saya dari huruf E dan A. Jadi saya mencari apa yang bermula dengan huruf ini dan akhirnya saya teringat dengan cerita dongeng angsa bertelur emas (The Golden Goose).
Cabaran pada awal-awal berniaga dulu semestinya dari segi memperkenalkan dan meyakinkan pelanggan tentang produk emas di Angsa Emas Jewellery. Bukan mudah mahu mengukuhkan jenama di pasaran termasuklah membuat branding dan kami bukan sekadar menjual barang. Ia memerlukan fokus bekerja yang sangat teliti.
Nona: Cara Datin Edora ‘mengikat’ hati pelanggan setia?
Edora: Ikat hati dengan design seperti mana tagline kami iaitu ‘seal the love’.
Nona: Siapa wanita inspirasi Datin Edora? Dan bagaimana cara ibu anda mendidik supaya menjadi seorang yang berjaya sekarang?
Edora: Ibu dan ibu mertua saya. Ibu saya meninggal dunia semasa saya masih belajar lagi. Dan saya ingat semua ilmu kehidupan beliau ajar cara mengenal jati diri. Ibu mertua pula banyak mengajar saya untuk menjadi ibu yang baik dan sentiasa ada untuk anak-anak dan suami.
MINAT DEKORASI
Bagi yang pernah bertandang ke Angsa Emas Jewellery, pasti senang dengan dekorasi kedai yang serba elegan. Datin Edora sebenarnya mempunyai cita rasa yang baik dari segi penataan dekorasi dan susun atur ruang, contohnya kediaman beliau sendiri yang dihias seperti mendapat sentuhan pereka hiasan dalaman.
Tak puas menatap gambar, jom saksikan keindahan kediaman Datin Edora dalam video Inspirasi Bersama Kiffy Razak ini.
DEKORASI
Mengakhiri temu bual ini, sempat diajukan bagaimana amalannya untuk menjaga keselamatan diri, keluarga dan harta benda. Maklumlah sebagai usahawan kedai emas dan seorang wanita, Datin Edora tentu perlu sentiasa berjaga-jaga kerana dirinya menjadi perhatian.
“Tiada amalan spesifik yang diamalkan cuma kita kena sentiasa jaga hubungan kita dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama manusia. Bagaimana cara kita menjaga hubungan tersebut terserah kepada masing-masing kerana lain orang lain caranya. Tapi bagi saya, yang penting niat itu sama,” akhiri beliau.
This website uses cookies.