Raih ‘4 Flat’ Tiap Semester & Duduki Ranking 1 Virginia Tech, IRDINA SHAHRIMAN Pelajar Bijak Malaysia!

Dapat keputusan 4 flat satu semester pun dah cukup membanggakan. Inikan pula setiap semester untuk empat tahun berturut-turut. Memang satu pencapaian luar biasa dan mengagumkan.

Lebih manis, kejayaan Irdina Shahriman terpahat di salah sebuah institusi pendidikan terkenal di Amerika Syarikat. Sebagai rakyat Malaysia, pasti ramai yang turut rasa kagum. Tahniah Irdina kerana berjaya mengharumkan nama negara!

Tidak dinafikan, nama Irdina menjadi bualan beberapa hari kebelakangan ini. Malah, kisah gadis berusia 24 tahun ini mendapat perhatian luas di Internet dan media sosial.

Semuanya selepas pemegang biasiswa Yayasan Tenaga Nasional (YTN) ini mencatat keputusan cemerlang dan konsisten memperoleh purata gred kumulatif (CGPA) 4.0 sepanjang tempoh pembelajarannya di Virginia Tech (VT), Amerika Syarikat.

Berbekalkan iltizam dan kesungguhan untuk berjaya, gadis ini berjaya mengharungi cabaran dalam bidang pembelajaran tersebut yang majoritinya dimonopoli kaum lelaki. Seterusnya mengekalkan keputusan cemerlang. Bukan sekali, tetapi pada setiap semester!

Irdina meraih ranking pertama di VT, kolej dan bidang pengkhususan bagi tahun akademik dari 2019-2020 dan 2018-2019. Ia sekaligus menyaksikan Irdina menduduki tempat pertama dalam kalangan hampir 10 ribu pelajar di sana.

Irdina ialah pelajar Program Pertukaran Sarjana Muda Amerika (ADTP) Yayasan Tenaga Nasional meraih Kelas Pertama (CGPA 4.0) Sarjana Muda Kejuruteraan Kuasa Elektrik Pengkhususan Tenaga dan Sistem Kuasa Elektronik.

VT merupakan universiti penyelidikan yang menduduki tempat ke-75 di AS dan antara 100 teratas dalam lapan mata pelajaran.

Atas kejayaan tersebut, Irdina turut dianugerahkan pingat Phi Kappa Phi untuk Kolej Kejuruteraan iaitu anugerah kepada graduan senior dengan pencapaian akademik terbaik.

“Saya bukan seorang yang genius semula jadi, disebabkan itu saya bekerja keras untuk memperoleh keputusan cemerlang. Saya tidak ponteng kelas, saya membuat nota dengan bersungguh-sungguh dan paling penting, saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan profesor dan rakan sekelas untuk meningkatkan pemahaman tentang pembelajaran.

Ada ketikanya saya terpaksa batalkan rancangan untuk keluar dengan rakan-rakan atau menonton filem bersama-sama. Cuti hujung minggu dan hari bekerja tidak ada bezanya dengan saya kerana banyak masa dihabiskan untuk menyelesaikan tugasan dan belajar untuk peperiksaan.”

Selain berbahasa Melayu dan Inggeris, dia turut mempunyai kemahiran dalam bahasa Jepun dan Cina.

Difahamkan, Irdina telah pun tamat pengajian pada Disember tahun lalu dan sedang menunggu tawaran pekerjaan di Tenaga Nasional Berhad.

Share
Published by
Suzi