Di sebalik wajahnya yang lembut dan manis, pendakwah dan pelakon terkenal dari Negara Seberang ini mempunyai semangat yang luar biasa dalam mengapai cita-citanya. Terkenal dengan filem Ketika Cinta Bertasbih, Dr. Hajah Oki Setiana Dewi telah berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah atau PhD di usia 31 tahun.
Lebih istimewa lagi ketika menyiapkan kajian dan penulisan tesis bertajuk “Pengajian Selebriti Hijrah Kelas Menengah Muslim (2000-2019): Respons Atas Dakwah Salafi dan Jamaah Tabligh”, Dr. Oki Setiana Dewi sarat hamil anak keempatnya. Kagum dengan semangat wanita yang pernah mengutip dana untuk mendirikan sebuah Masjid di Sepanyol ini.
Tertarik dengan perkongsian Dr. Oki Setiana Dewi tentang masalah hutang. Menurut wanita ini, ramai yang mengadu kepadanya tentang kesulitan hidup termasuk masalah ekonomi sehingga membuatkan mereka terpaksa berhutang. Namun, Dr. Oki Setiana Dewi menasihati agar seboleh-bolehnya jangan berhutang. Jika sudah terlanjur berhutang segera dilunaskan.
“Jika tak mampu bayar semua, bayarlah sebahagian atau secara ansuran. Ingat, bayar secara ansuran itu wujud kesungguhan. Biar si pemberi hutang juga reda dengan kita.
Terhadap mereka yang bertanya soal kesulitan ekonomi, biasanya saya menganjurkan dua hal. Pertama, ayuh berdoa dan kedua, ayuh jualan (berniaga),” kata Dr. Oki Setiana Dewi di laman media sosialnya.
Dr. Oki Setiana Dewi juga pernah mengingatkan agar sentiasa bersangka baik demi mendapatkan reda Allah SWT. “Jika kita sentiasa bersangka baik dengan ujian yang diberikan akan membuatkan hidup lebih tenang. Allah Maha Adil dan tidak pernah bersifat kejam terhadap hambaNya. Tetapi kita sebagai manusia tidak pernah faham tentang sifat Allah Maha Adil,” jelas Dr. Oki Setiana Dewi.
Menurut Dr. Oki Setiana Dewi kita perlu berdoa bersungguh-sungguh dan bersangka baik terhadap Allah SWT pasti doa akan dikabulkan. Dr. Oki Setiana Dewi juga berkongsi tentang sepotong ayat yang menjadi ‘penghibur’ hatinya jika doa tidak dimakbulkan seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 216;
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka pasa sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya,” tutur Dr. Oki Setiana Dewi.
“Ibulah Superhero Saya!” Sehebat-Hebat Lelaki, Tan Sri Dr Noor Hisham Tetap Sanjung Pengorbanan Wanita Yang Melahirkannya!
Sepanjang dua tahun negara memerangi wabak akut pernafasan teruk itu, nama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah juga sentiasa di tangga teratas serta dikenali sebagai adi wira oleh setiap warga Malaysia.
Ruang waktu yang diberikan cukup singkat. Pagi Jumaat yang hening, awal-awal lagi kami sudah berkejaran ke Putrajaya demi memastikan sesi bersama Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M ini, tidak seminit pun disia-siakan.
Tepat jam 10.30, Tan Sri Dr Noor Hisham muncul dengan senyuman, segak bersut biru, berkemeja putih dan bertali leher batik. Karisma beliau cukup menyerlah meskipun terlihat jelas riak-riak kepenatan di matanya.
Bagi Tan Sri, setiap hari dunia mempelajari sesuatu yang baharu mengenai virus COVID-19. Semua pihak mesti bersiap membuat perubahan kerana memerangi musuh di luar berbeza dengan memerangi musuh yang sedia menyusup ke dalam.
Cabaran hidup bersama COVID-19 semakin sukar.
Belum reda varian Delta, muncul pula varian Omicron yang diklasifikasikan sebagai varian dalam pemerhatian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Penularan strain baharu ini bagaikan suatu ‘teguran keras’ tatkala penghuni dunia mula alpa tentang kelonggaran SOP COVID-19 – lebih membimbangkan dan mungkin juga kalis vaksin, selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi.
Wajah Tan Sri Dr Noor Hisham sedikit stres. Barangkali terlalu banyak perkara penting yang difikirkan termasuk yang terkini, mutasi COVID-19 Omicron terhadap masyarakat sejak kes pertama dikesan di Malaysia pada Disember.
Ekoran risiko varian ini sekaligus turut mendesak kerajaan untuk menangguhkan usaha peralihan fasa endemik buat sementara waktu.
“Di sebalik semangat kita untuk kembali menjalani kehidupan norma baharu, menggerakkan ekonomi, merancakkan bisnes dan giat menembusi pasaran luar, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya mengamalkan TRIIS.” Tan Sri Dr Noor Hisham
Amalan TRIIS atau singkatan TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM dan SEEK merupakan senjata ampuh untuk kita beralih ke fasa endemik.
Terang Tan Sri Dr Noor Hisham lagi, “TRIIS membawa maksud TEST iaitu melakukan ujian pengesanan COVID-19 jika mengalami simptom. REPORT iaitu melaporkan keputusan ujian di aplikasi MySejahtera. ISOLATE iaitu kuarantin kendiri jika positif.
INFORM dengan memaklumkan kepada kontak rapat jika positif dan pihak berwajib jika kesihatan merosot. Serta akhir sekali SEEK, iaitu mendapatkan rawatan jika mengalami gejala berat.”
JASA IBU
Dua tahun berlalu, bermakna sudah hampir 24 bulan tenaga frontliners kesihatan termasuklah Tan Sri Dr Noor Hisham sendiri, di ambang lesu. Meskipun sasaran KKM untuk mencapai imuniti kelompok tercapai namun kes aktif COVID-19 tetap perlu dipantau rapi.
Jasa petugas barisan hadapan negara amat besar, mereka berhempas pulas berkorban cuti dan masa untuk keluarga demi memastikan lengkung wabak berjangkit itu dapat dilandaikan.
Sebagai bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Puan Sri Datin Sri Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen, Tan Sri Dr Noor Hisham menaruh kepercayaan besar kepada isteri tercinta untuk menguruskan keluarga.
“Selalunya saya tak sempat ambil tahu hal sekolah anak-anak kerana sibuk bekerja. Isteri saya adalah orang penting di rumah untuk uruskan hal-hal ini dan beliaulah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya sampai sekarang.”
Ditanya siapakah superhero di mata Tan Sri Dr Noor Hisham, beliau dengan pantas menjawab, “Semestinya ibu saya. Dialah sumber inspirasi saya hingga berjaya ke tahap ini dan dialah juga kunci keberkatan hidup anak-anak.
Kekuatan dan pengorbanan ibu selama ini mengalirkan energi untuk saya terus berbakti menyumbangkan tenaga kepada bangsa dan negara,” ujar Tan Sri Dr Noor Hisham yang dinobatkan anugerah tertinggi dalam Nona Superhero Award yang dipancarkan secara langsung dari One World Hotel, Petaling Jaya.
HERO NEGARA
Tan Sri Dr Noor Hisham baru saja menerima pengiktirafan antarabangsa, International Surgical Fellowship Award daripada Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS).
Beberapa bulan sebelum itu, lelaki hebat berusia 58 tahun ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48.
“Saya mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membantu orang lain,” ringkas jawapan Tan Sri sewaktu ditanya tentang prinsip hidup yang dipegang.
Kredibiliti beliau terus menjadi inspirasi setiap petugas kesihatan KKM yang menganggap kerjaya mulia ini sebagai fardu kifayah.
Sebagai seorang Muslim, pengorbanan beliau dalam mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain merupakan sesuatu yang wajar disanjung tinggi.
Disifatkan sebagai frontliner kerajaan terpenting pada waktu krisis ini, kredibiliti Tan Sri Dr Noor Hisham sesungguhnya tidak perlu dipertikaikan.
Seluruh Malaysia mengenali beliau, tidak kira usia dan bangsa, menyanjung tinggi jasa lelaki kelahiran Sepang, Selangor itu dalam mewakili semua petugas kesihatan berjuang melawan virus COVID-19.
Dilahirkan pada 21 April 1963, Tan Sri Dr Noor Hisham memulakan perkhidmatan sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 selepas menggengam ijazah kedoktoran Doctor of Medicine dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selepas menamatkan ijazah kepakaran Master of Surgery dari universiti yang sama, beliau telah melanjutkan latihan pengkhususan dalam pembedahan payudara dan endokrin di Australia pada tahun 1997.
Pada 1 Februari 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.
Sehingga kini, Tan Sri Dr Noor Hisham masih berkhidmat di Hospital Putrajaya sebagai pakar bedah dan sering melakukan pembedahan ketika beliau tidak bertugas di ibu pejabat.
Lelaki bijak ini juga pernah menerbitkan lebih daripada 60 artikel dalam jurnal perubatan dan pembedahan antarabangsa serta menulis berkaitan pembedahan endokrin terutamanya pembedahan tiroid secara bius setempat.
Kepakaran beliau di dalam bidang pembedahan tiroid ini menjadikan beliau terkenal di seluruh dunia pembedahan dan dijemput untuk memberikan ceramah kepada pakar-pakar bedah di peringkat antarabangsa seperti di Martin Allgower Lecture yang berlangsung di World Congress of Surgery di Krakow, Poland pada 12 Ogos 2019.
Selain berperanan sebagai Ketua dan Pakar Pembedahan Payudara, Endokrin & Pembedahan Am, beliau juga berperanan besar dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama di dunia untuk rawatan Hepatitis C.
Bersama-sama agensi antarabangsa Drug of Neglected Disease (DNDi) yang berpusat di Geneva, Malaysia telah berjaya merevolusi rawatan penyakit itu yang selama ini sukar diakses.
Namun dengan usaha gigih Tan Sri Dr Noor Hisham serta pakar-pakar perubatan tempatan, penyakit Hepatitis C kini boleh didiagnos dengan cepat dan mudah serta boleh dirawat di klinik-klinik dalam komuniti.
Seperkara yang jelas, kebimbangan beliau terhadap COVID-19 sangat berasas melihatkan gaya hidup masyarakat yang kembali rancak mengabaikan SOP.
“Apabila manusia bergerak dan berhimpun, virus juga akan merebak dan menjangkiti individu lain, membiak dan bermutasi hingga mewujudkan varian-varian baharu.
Percayalah, kita masih belum menang. Langkah terbaik bagi memutuskan penularan adalah dengan mengurangkan pergerakan tetapi sekiranya terpaksa keluar rumah, patuhilah prosedur operasi standard (SOP).” Tan Sri Dr Noor Hisham
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Tinjau Kediaman Mewah Saif Ali Khan & Kareena Kapoor, Nilai ISTANA PATAUDI Hampir RM500 Juta!
Selain popular dan tampan, nama aktor Bollywood Saif Ali Khan, 50 tahun, yang juga suami kepada Kareena Kapoor ini juga menggemparkan peminatnya apabila dilaporkan merupakan seorang putera raja dari keturunan keluarga diraja India.
Awal Disember lalu, pasangan bintang Bollywood itu dilihat berkumpul di Pataudi Palace atau Istana Pataudi bersama teman-teman mereka. Dalam gambar itu, Kareena Kapoor kelihatan elegan manakala Saif kelihatan seperti seorang raja dengan latar belakang Istana Pataudi yang merupakan warisan nenek moyangnya.
Laporan dari bollywoodshaadis.com menyebut bapa Saif Ali Khan, Mansoor Ali Khan Pataudi adalah seorang bekas kapten kumpulan kriket di India dan juga Nawab Pataudi iaitu pemerintah Pataudi dari era 1952 hingga 1971.
Pataudi adalah sebuah bandar indah yang terletak di kaki bukit Aravali, Daerah Gurgaon, India. Ini adalah bandar yang pernah menjadi kerajaan kecil sebelum India mencapai kemerdekaannya.
Selepas Mansoor Ali Khan meninggal dunia, Saif Ali Khan telah dinobatkan sebagai Nawab Pataudi. Beliau adalah putera ke-10 yang masih mempunyai darah biru di India.
Seperti putera di negara lain, Saif juga mempunyai istana iaitu Istana Pataudi yang terletak di kota Pataudi di daerah Gurgaon di Haryana.
Sayangnya selepas kemerdekaan India, keluarga itu kehilangan title (Pataudi) mereka termasuklah istana tersebut. Dalam satu temu bual dengan akhbar India, Saif mendedahkan bagaimana mereka terpaksa ‘menebus’ semula hartanah itu menggunakan wang simpanannya sebagai pelakon filem daripada rangkaian hotel Neemrana.
Kini Istana Pataudi kembali menjadi milik pasangan ini dan dijadikan rumah penginapan singgah keluarga mereka. Apakah rupa interior Istana Pataudi? Mari lihat sedikit info tentang istana ini seperti dilaporkan oleh India Today.
(1) Warisan Keluarga Pemerintah
Pataudi Palace seperti yang dijelaskan sebelumnya, telah diserahkan dari pemerintah yang terakhir, Iftikhar Ali Khan kepada anaknya, Mansoor Ali Khan.
Selepas Mansoor Ali Khan meninggal, Saif Ali menjadi pewaris. Jadi ia mempunyai istana dengan seni bina yang mengagumkan, sebuah dewan besar dan taman-taman yang rimbun.
(2) Rumah Kolonial
Pada awal tahun 1900-an, Pataudi Palace telah direka dan dibina dalam gaya rumah kolonial Imperial Delhi oleh Robert Tor Russell, dibantu oleh arkitek Austria, Karl Molt von Heinz. Selepas mewarisi tempat ini, Saif Ali Khan mengambil pereka dalaman Darshini Shah untuk mengubahsuainya.
Tujuannya adalah untuk mendapatkan keselesaan dan menjadi lebih bergaya daripada hanya mewah dan besar.
(3) Istana Bernilai RM466 Juta
Kareena Kapoor dan Saif Ali Khan sebenarnya banyak menghabiskan kehidupan sehariannya di Mumbai. Tetapi, mereka sering memilih Pataudi Palace sebagai lokasi percutian musim sejuk.
Seperti yang dilaporkan oleh architecturaldigest.in, rumah percutian Saif Ali Khan dan ahli keluarganya ini mempunyai kawasan seluas 10 hektar dan mempunyai 150 bilik, termasuk tujuh bilik persalinan, tujuh bilik tidur, tujuh bilik snooker, serta ruang tamu dan ruang makan mewah. Istana ini bernilai RM466 juta.
(4) Dihiasi Foto Lama
Sebagai warisan keluarga diraja, tidak hairanlah Istana Pataudi mempunyai banyak kenangan sejarah. Semua kenangan dicatatkan dalam gambar-gambar lama yang menghiasi di pelbagai tempat di istana yang indah ini.
(5) Pernah Dijadikan Hotel
Mansoor Ali Khan pernah menyewa tempat ini selama 17 tahun dengan Francis Wacziarg dan Aman Nath, pemilik rangkaian Neemrana Hotels. Tempat ini dikendalikan sebagai The Pataudi Palace Hotel antara tahun 2005 dan 2014 sebelum Saif Ali Khan mengambil alih harta pusaka ini.
Menurut laporan dari architecturaldigest.in, Saif terpaksa mengeluarkan wangnya sendiri untuk mendapatkan semula istana ini dari pemilik hotel.
(6) Lokasi Penggambaran Filem
Jadi lokasi penggambaran filem Eat Pray Love yang dibintangi oleh Julia Roberts.
Kerana mereka tidak mendiami Istana Pataudi setiap hari, Kareena dan Saif Ali membuat istana mereka sebagai lokasi penggambaran seperti filem Eat Pray Love yang dibintangi oleh Julia Roberts, kepada filem-filem popular lain iaitu Mangal Pandey, Veer Zara, juga menyewa Istana Pataudi sebagai lokasi penggambaran.
Kagum! Lisdawati Tetap ‘Curi’ Masa Menyusu Anak Sebelum Keluar Bersenam
Pelakon Lisdawati baharu sahaja melahirkan anak keempatnya yang diberi nama Ahmad Nurfayyadh pada 24 Julai lalu. Kagum dengan semangat Lisdawati yang mahu menyusukan anaknya secara eksklusif. Menginjak ke usia 40 tahun, Lisdawati berusaha mengamalkan gaya hidup sihat dengan berlari. Mungkin pada sesetengah orang terpaksa melupakan acara larian kerana mempunyai anak kecil.
Lisdawati boleh dijadikan inspirasi untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dan tetap tidak mengabaikan anaknya yang baru berusia 7 bulan itu. Lisdawati turut berkongsi di laman Instagrammya, “Assalamualaikum, semangat nak senam sihat? Jom mulakan dengan bismillah… Langkah pertama selain kerja rumah seperti biasa sampai berpeluh (tutup kipas atau aircond). Pagi ni saya mula dengan berjalan-jalan 2 km sahaja kawasan rumah,”.
Tip daripada Lisdawati kalau kat rumah tengah menyapu atau mop lantai tak perlu bukan kipas atau pendingin hawa. Baharu keluar semua peluh dan dalam masa yang sama mengeluarkan toksin dalam badan. Selepas itu sambung berjalan kaki sambil mendukung anak. Patut lah Lisdawati maintain cantik dan langsing dalam usianya.
Tambah Lisdawati di Instagram, “ALHAMDULILLAH Larian completed. Cerita saya bila balik rumah mengeluh sebab timing problem, dah lari habis tapi…..Tiba-tiba semangat datang balik bila tengok tasik 200 meter kat kawasan rumah (berapa pusingan nak buat 4km?)… Susukan Ahmad Nurfayyadh jap then terus sambung lari balik untuk cabaran akhir… so kita belanja selfie senyum ni…,”
Bersemangat sungguh Lisdawati untuk mencapai goalnya. Namun Lisdawati juga ada berkongsi perkara lucu dalam cabarannya mencapai gaya hidup sihat, “Siapa pernah bila target lari 7km untuk sampai ke check point, tengok times rupanya dah stop kat larian 3km then you tak sedar…so maknanya apa??? patutnya dah habis larian. Mencari pelangi lari la jawapnya petang ni or malam ni,”.
Manfaat Berlari
Berlari meningkatkan kapasiti otak – berlari meningkatkan tenaga dan menambah serotonin dalam otak. Serotonin adalah hormon dalam otak yang berfungsi sebagai mengawal otak seperti mengatur kestabilan emosi, pemahaman dan nafsu makan. Biasanya mereka yang bersukan dapat meningkatkan produktiviti tidak kira sebagai pelajar atau pekerja kerajaan mahupun swasta. Produktiviti ini merangkumi kualiti yang baik dan sumbangan suasana kerja yang baik.
Berlari menghilangkan stres – Bersukan memberi kesan rehat yang baik kepada tubuh. Ketika tubuh mula bersukan stres semakin berkurangan kerana fokus hanya tertumpu kepada sukan semata-mata.
Berlari meningkatkan tenaga – Walau hanya berlari hanya 30 minit sehari tetapi dapat mengubah hari seseorang. Ketika endorphin dilepaskan ke dalam darah ketika bersukan, seseorang akan merasa lebih bertenaga sepanjang hari. Endorphin adalah senyawa kimia dalam otak yang merangsang otak menjadi rileks. Sakit-sakit badan akibat bersukan hanya buat permulaan. Jika tubuh sudah terbiasa tiada lagi istilah sakit badan kerana bersenam.
Berlari mengepam jantung lebih baik – Bersukan dapat menjadikan jantung lebih kuat. Fungsi jantung dan sistem kardiovaskular bekerja lebih efektif dan dapat mengurangkan plak dalam pembuluh darah. Oleh itu jantung dapat mengepam darah dengan lebih baik.