
Sejuk perut ibu mengandung bila pengorbanannya dibalas oleh kejayaan anak-anak, tidak kiralah dalam karier mahupun akademik. Atlet terjun wanita negara Ng Yan Yee mendedikasikan pingat emas yang baru dimenanginya pada Sukan SEA ke-31 buat ibu tercinta. Ia sebagai ‘hadiah’ paling bermakna bersempena Hari Ibu tahun ini.


Menurut Yan Yee, ibunya antara insan terpenting serta ‘tulang belakang’ kepada perjalanan kariernya sebagai seorang atlet.


Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) jurusan pemakanan ini menyatakan, pencapaian yang dilakarnya itu juga dikhaskan kepada semua ibu seluruh dunia yang banyak berkorban demi melihat anak mereka berjaya.

TEPATI RAMALAN
Temasya Sukan SEA ke-31 berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional Vietnam. Atlet berusia 29 tahun ini menepati ramalan menewaskan tujuh pencabar lain untuk membawa pulang emas, sementara rakan senegara Ong Ker Ying meraih pingat perak dan gangsa milik wakil Singapura Fong Kay Yian.


Yan Yee menyumbangkan pingat emas kelima kontinjen negara. Ia adalah emas kedua peribadinya di temasya sukan dwitahunan itu selepas menjuarai acara 3m papan anjal seirama bersama gandingan Ker Ying.
Yan Yee dinobatkan juara apabila mengumpul keseluruhan 270.60 mata menerusi lima terjunannya, diikuti Ker Ying (242.40 mata). Malaysia menyasarkan menyapu bersih lapan pingat emas acara terjun yang ditawarkan pada Sukan SEA kali ini, untuk mengulangi pencapaian edisi 2019 di Filipina yang menyaksikan kem terjun membolot kesemua empat pingat emas dipertandingkan
Yan Yee berkata beliau belum memikirkan perancangan pascatemasya Sukan SEA ke-31, namun telah memikirkan mengenai persiapan menghadapai Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary bulan depan dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.


“Saya akan teruskan latihan dan belajar macam biasa. Kita lihat bagaimana sebab pandemik semuanya berubah dan Sukan Asia 2022 juga ditangguhkan. Jadi, selepas ini kita hanya berlatih untuk Sukan Komanwel dan Kejohanan Dunia.”
Kredit: Bernama
Makin Cerdik & Comel, AINUL MARDHIAH Bakal Jadi Kakak Tak Lama Lagi! Ibunya Kini Hamil 7 Bulan

“Hari ini bergema nama kakak di bumi Malaysia. Nama kakak banyak naik ke langit sebab orang tidak henti-henti menyebut nama kakak dan doakan kakak. Kakak, keep fighting! Ramai yang nak tengok kakak bangun dan berlari sayang!”
Itu antara cebisan kata-kata menyentuh jiwa yang dikongsi di Facebook Ahmad Safiuddin Ahmad Razak bapa kepada Ainul Mardhiah, bayi perempuan penghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ yang kisahnya tular sekitar April 2019 dan ramai yang prihatin dengan penderitaan anak kecil ini.

Dilahirkan sebagai bayi pramatang pada 13 Ogos 2018, Ainul merupakan anak kepada pasangan muda yang sangat tabah iaitu Nurul Erwani Zaidi dan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak. Kedua-duanya kini berusia 25 tahun. Bapanya seorang peniaga manakala ibunya suri rumahtangga dan pelajar di salah sebuah universiti swasta tempatan.
Diam tak diam kini Ainul sudah pun berusia dua tahun. Seronok melihat perkembangan Ainul yang kini bukan saja semakin sihat bahkan comel serta bijak! Keletahnya sering mencuit hati. Baca perkongsian ekslusif ibunya bersama Nona tentang perkembangan terkini Ainul.

SYUKUR DIBERI UJIAN
“Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT dengan ujian yang telah diberikan kepada kami sekeluarga. Saya juga gembira serta terharu atas keperihatinan rakyat Malaysia yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan titipan doa buat Ainul.
Sejak Ainul dilahirkan sampailah sekarang saya dan suami tak pernah putus mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas ujian yang diberi. Ujian ini mungkin ‘sangat sedikit’ kalau hendak dibandingkan dengan ujian lebih berat yang terpaksa ditanggung oleh orang lain. Maka kami sentiasa bersyukur walau diberikan ujian berat ini kerana percaya dengan hikmah yang ada di sebaliknya.
Ainul menjadi sumber kekuatan kami berdua. Kerana Ainul jugalah kami menjadi lebih matang dalam membuat keputusan. Banyak sangat hikmah yang Allah SWT tunjuk kepada kami melalui ujian ini.
Kami pun tak minta untuk dikenali namun apa yang berlaku semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT kepada kami. “Siapa yang bersabar dan solat, Allah SWT pasti akan bantu orang itu”. Ayat Al-Quran ini sentiasa menjadi amalan saya dan suami dalam mencari ketenangan jiwa.
Pastinya yang paling kuat menghadapi ujian ini ialah suami. Saya pula yang paling tidak kuat. Ketika Ainul lahir ke dunia sayalah yang tak henti-henti menangis dan sering menyalahkan diri sendiri kerana menyebabkan Ainul jadi begitu. Saya hampir putus harap. Suamilah yang sering memberi kata-kata semangat dan sentiasa berada di sisi saya. Suami seorang yang sangat positif walaupun saya tahu dia sebenarnya juga sedang menangis, cuma tak pernah tunjuk kepada saya.
TANGISAN
Detik atau perkara yang paling menyentuh hati saya sepanjang bergelar ibu ialah ketika Ainul mula dikenali ramai orang. Waktu itu saya berasa sangat malu kerana takut orang akan memandang serong atau rasa tak selesa tatkala melihat Ainul dalam keadaan begitu. Namun ternyata saya salah.
Rupa-rupanya ramai yang mula prihatin dan sanggup menjual barang-barang kesayangan mereka semata-mata untuk membantu dalam memberi sumbangan kepada Ainul. Orang ramai tak kira bangsa dan agama turut menghubungi saya dan suami sambil diiringi dengan tangisan mereka. Ini benar-benar menyentuh jiwa kami.
Saya seorang yang suka tersenyum dan sebolehnya tidak akan menangis di hadapan orang. Bohonglah kalau kata tak sedih namun bagi saya menangis bukanlah jalan penyelesaiannya. Seingat saya, tangisan paling teruk yang pernah saya alami ialah setelah Ainul selamat menjalani pembedahan di London. Tangisan saya waktu itu sebenarnya tangisan kegembiraan. Ianya berlaku secara spontan dan tanpa diduga.
HAMIL ANAK KEDUA
Rezeki anak adalah rezeki yang tak terhitung nilainya. Anak adalah anugerah Allah SWT untuk kita menyambung dan meramaikan lagi umat Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, sejak Ainul bertambah sihat dan cerdik saya dan suami mengambil keputusan untuk ‘menghadiahkan’ Ainul adik. Adalah kawan untuk bermain nanti.
Alhamdulillah kandungan saya sekarang sudah masuk 7 bulan. Ketika mengetahui saya hamil kali kedua kami bersyukur sangat. Nak kata merancang tak sebenarnya. Kami juga tak rancang berapa orang anak yang kami mahu. Kalau dapat ramai alhamdulillah rezeki kami. Allah lagi Maha Mengetahui.
Mungkin sekarang waktu yang sesuai untuk Dia beri rezeki. Lagi pun Ainul ramai yang jaga di rumah. Tak salah rasanya kalau tambah lagi anak. Tak sabar rasanya nak lihat Ainul main dengan adik nanti!
Alhamdulillah sepanjang kehamilan ini dipermudahkan. Cuma kali ini penat sedikit berbanding hamilkan Ainul dulu. Alahan teruk tiada. Mengidam pun makanan yang mudah dicari. Kalau diberi rezeki oleh Allah SWT, anak kedua ini InshaAllah lelaki. Saya dah buat scan empat kali, memang semuanya nampak lelaki.
Mungkin saya akan terimbas kembali momen-momen sewaktu melahirkan Ainul. Akan tetapi ianya akan menjadi salah satu penguat semangat saya dalam kehidupan ini. Allah SWT memberi ujian tanda Dia sayangkan kita.
AINUL MAKIN CERDIK
Alhamdulillah, Ainul juga sama seperti kanak-kanak lain. Walaupun perkembangan Ainul lambat sedikit berbanding umurnya sekarang tetapi setiap momen atau keletah Ainul sama seperti bayi normal yang lain antaranya celik mata sahaja terus hendak bermain. Antara rancangan kartun kegemaran Ainul ialah Omar & Hana.
Selain itu, Ainul sekarang sangat cepat belajar. Macam-macam perangai yang Ainul sedang belajar sekarang. Tetapi yang paling mencuit hati saya dan suami ialah Ainul sedang berusaha untuk belajar bercakap. Kadang-kadang dah pandai mengamuk sebab tak bawa dia pergi berjalan-jalan.
TERUJA SAMBUT SYAWAL
Tahun lalu (2019) kami menyambut Hari Raya Aidilfitri di perantauan. First time jugalah saya dan suami berjauhan beribu-ribu kilometer dari keluarga. Alhamdulillah walaupun jauh daripada keluarga, kami dapat berkenalan dengan keluarga baru di London. Semuanya baik-baik dan sangat ramah.
Tahun ini sambutan Syawal lebih bermakna kerana kami dapat menyambutnya bersama Ainul yang semakin cerdik dan banyak ‘akal’. Ia memberi satu kelegaan buat saya dan suami kerana Allah SWT sentiasa memberi peluang dan mengkabulkan doa-doa yang pernah kami pohon sebelum-sebelum ini.
Banyak sebenarnya plan nak buat dengan Ainul sepanjang Syawal nanti. Salah satunya ialah mahu membawa Ainul ke rumah saudara mara. Namum atas faktor-faktor yang sedang berlaku pada negara Malaysia ketika ini kami terpaksa patuh dengan arahan dan menyambutnya di rumah sahaja. Tahun lalu tema raya kami bertiga adalah warna ungu, tahun ini kami akan memakai warna biru pula pada Hari Raya pertama.
RINDU DR AMALINA BAKRI
InshaAllah kalau ada rezeki suatu hari nanti kami sekeluarga pasti akan ke London semula untuk berjumpa dengan keluarga baru dan para doktor yang pernah merawat serta menjaga Ainul di sana. Paling kami rindu semestinya Dr Amalina Bakri yang gigih berusaha memastikan Ainul selamat tiba di London dahulu.
Dr Amalina sangat prihatin terhadap Ainul. Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada beliau kerana sanggup membantu kami demi memberikan yang terbaik buat Ainul. Dr Amalina adalah insan yang berhati mulia. Saya dan suami tidak mampu membalas jasanya. Pun begitu, beliau sentiasa ada dalam doa kami.
HARAPAN
Terima kasih juga untuk setiap bait-bait doa yang telah diselitkan buat kami sekeluarga. Saya dan suami tidak mampu membalas segala pertolongan dari segi wang ringgit, pengorbanan, dan tenaga. Kami hanya mampu mendoakan buat seluruh rakyat Malaysia. Semoga doa-doa yang diselitkan buat kami akan dikembalikan kepada kalian semula.
Setiap manusia pasti akan diuji, cuma ujian kita mungkin berbeza-beza mengikut tahap kemampuan. Yang penting lalui ujian dengan banyak bersabar dan solat, pasti akan datang sinarnya kelak. Mungkin saat ini doa-doa belum dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun yakinlah bahawa doa itu pasti akan dimakbulkan tepat pada waktunya.
Kekuatan saya semuanya datang daripada Allah SWT. Sejak Ainul lahir sampailah sekarang keluarga kami sentiasa memberi kata-kata semangat. Di samping itu, saya juga banyak mendengar kuliah-kuliah agama agar dapat mengubah diri menjadi seorang isteri dan ibu yang lebih baik serta sentiasa positif.
Menyentuh tentang masa depan Ainul, saya dan suami akan sentiasa membimbing dan memberi didikan terbaik buat dirinya. Dari segi kerjaya, minat dan lain-lain saya serahkan kepada Ainul untuk tentukan hala tuju kehidupannya sendiri namun atas nasihat serta dorongan kami sebagai ibu bapa.
Seterusnya, saya mengharapkan agar Ainul sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya dan sentiasa bersikap baik kepada semua orang. Hakikatnya, jalan hidup yang Ainul lalui ini bukan mudah.
Buat Ainul, Mama tak pernah anggap anak Mama satu beban atau halangan untuk Mama teruskan kehidupan. Ainul Mardhiah penguat semangat Mama. Dari Ainul lahir sampailah sekarang rezeki yang tak disangka-sangka dari Allah SWT sentiasa mengalir. Alhamdulillah..
Seterusnya nasihat daripada ibu kandung dan ibu mertua yang masih segar dalam ingatan ialah mereka sering mengingatkan saya agar tidak meninggalkan solat, mengaji dan taat kepada suami. Mereka juga sentiasa berada di sisi saya dalam keadaan susah mahupun senang.”
Semoga Nurul Erwani dan suami terus kuat demi Ainul yang menjadi permata kesayangan seluruh rakyat Malaysia. Buat bidadari syurga, Ainul Mardhiah semoga menjadi anak yang solehah buat ibu dan ayah. Jadilah sekuat Sumayyah r.a, secantik Aisyah r.a, dan semulia Siti Khadijah r.a
Kredit Foto: Instagram Nurul Erwani Zaidi, Intagram Dr Amalina Bakri & Facebook Ahmad Safiuddin
Dominasi Pasaran Rempah Ratus, Azrain Mohamad Bangga BABA’S Jadi Pilihan Pelbagai Kaum Di Malaysia!

Sepanjang lebih 40 tahun di pasaran, BABA’S bukan hanya melakar pelbagai pencapaian membanggakan. Malah menerusi kajian yang dilakukan mendapati sekurang-kurangnya satu produk BABA’S digunakan dalam masakan bagi setiap isi rumah di Malaysia setiap hari!
Optimis meneraju bidang promosi produk terkenal ini, Azrain Mohamed selaku Ketua Pemasaran BABA’S teruja berkongsi tentang keunikan produk BABA’S, pencapaian dan matlamat syarikat ini pada masa hadapan.
Mengulas lanjut, Azrain dalam nada gembira berkata kejayaan paling manis diraih jenama ini adalah apabila ia dapat dinaikkan sebagai antara jenama tempatan yang terkenal dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia dan tidak lupa juga ia menyatu padukan masyarakat majmuk hanya melalui masakan.
“Tidak kira bangsa Melayu, Cina India atau kaum etnik di Sabah dan Sarawak, jenama BABA’S menjadi produk pilihan rempah ratus kerana mutunya yang berkualiti tinggi.
Tidak cukup itu, BABA’S juga terkenal dengan kandungannya yang bersih, segar, bermutu, dan paling utama ia tidak mengandungi bahan asing seperti MSG, pewarna, pengawet dan perasa tiruan.
Bila menyebut tentang BABA’S, produk pertama yang mereka akan fikir adalah serbuk rempah kari, kerana ia menjadi pilihan utama.
Pun begitu, rangkaian produk BABA’S sebenarnya turut merangkumi serbuk masakan lain seperti Kurma, Rempah Sup, Rendang, Beriyani dan juga serbuk rempah masakan yang lain seperti kunyit, cili, ketumbar, jintan manis, jintan putih, lada hitam dan juga lada putih.
Apatah lagi produk kami mampu milik dan bermutu tinggi. Jadi untuk memastikan kualiti sentiasa dijaga, kami di pihak BABA’S amat teliti dalam soal pengeluaran produk dan disebabkan itu kami hanya menggunakan bahan-bahan mentah premium dari pelosok dunia.
Walau premium tapi kami masih mengekalkan harga mampu milik demi kepuasan pelanggan,” dedah Azrain yang turut mengakui pihaknya berdepan kos pengeluaran tinggi ketika ini namun tetap berpegang kepada matlamat menawarkan produk terbaik dengan harga berpatutan di pasaran.
Selain itu, BABA’S amat mementingkan keaslian dan ketulenan setiap produk keluarannya. Bersandarkan komitmen berterusan, jenama produk ini mendapat pengesahan halal dan berjaya mendapat pengiktirafan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Tentunya kami amat menitikberatkan soal keselamatan produk BABA’S dan disebabkan itu, kami ada bahagian Quality Control (QC) dan Quality Assurance (QA) yang sentiasa menyemak bahan-bahan yang datang ke kilang.
Termasuklah bahan sudah siap diproses dan dibungkus sebelum diedar kepada pengguna. Setakat ini kami tiada isu dari segi kualiti.
Bagi pihak BABA’S saya mahu menegaskan bahawa produk kami adalah halal dan kami turut menerima pensijilan halal dari JAKIM. Semua produk melalui proses yang sangat ketat untuk memperoleh sijil halal ini.
Kami juga melalui proses audit dari pihak JAKIM dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setiap tahun. Jadi, di sini saya ingin meyakinkan pengguna agar tidak khuatir dengan produk BABA’S kerana terjamin selamat dan halal.”
Selama empat dekad mengemudi empayar perniagaan kini BABA’S memiliki 28 cawangan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, manakala dua cawangan di Singapura dan satu di Brunei.
Setiap jurujual BABA’S akan melawati semua kedai-kedai sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Kami di BABA’S yakin dan percaya dengan kekuatan yang dimiliki kami bersandarkan kepada strategi pemasaran tradisi yang diamalkan selama ini.
Salah satu pendekatan pemasaran kami ialah menghubungkan jenama dengan pengguna dengan lebih rapat lagi melalui aktivitian di ‘ground event’, demostrasi masakan, sampling dan perkongsian resipi masakan di platfom digital.
Kami percaya apabila berhadapan dengan pengguna secara langsung seperti ini, ia mewujudkan satu tarikan istimewa, keterlibatan dan komunikasi dua hala yang lebih baik antara jenama dan pengguna.
Pemasaran personal ini berkesan kerana pengguna lebih faham dan mengenal pasti kelebihan produk BABA’S. Yang penting mereka dapat merasa hasil produk kami dan juga ia dapat yang memenuhi cita rasa masyarakat.”
Tambah Azrain lagi, “Dalam masa akan datang, inshaAllah kami berhasrat mahu membawa produk BABA’S, produk keluaran Malaysia ini ke pelosok dunia. Alhamdulillah, sekarang kami sudah pun menembusi pasaran luar negara antaranya di Indonesia, China, Amerika Utara, United Kingdom, Eropah, Australia, Brunei dan juga Singapura.
Tentunya ke arah mencapai matlamat itu pelbagai usaha dan strategi akan dilakukan secara meluas demi memperkasa produk buatan Malaysia yang popular sebagai rempah ratus berkualiti tinggi ini supaya menjadi jenama terkenal di mata dunia.”
Melihat kredibiliti Azrain yang bijak mengatur strategi pemasaran dan komited membawa BABA’S ke peringkat lebih tinggi, tidak hairanlah beliau layak dan diberi kepercayaan menjadi antara individu penting dalam organisasi berkenaan.
Bersandarkan kelebihan yang dimiliki, bakat kepimpinan Azrain wajar dijadikan inspirasi. Ditanya kriteria yang harus ada dalam diri untuk berjaya, ini kata-kata semangat yang dititipkan beliau.
“Kalau kita ada impian, matlamat atau misi dalam hidup, teruskan. Jangan tunggu masa sesuai atau duit yang cukup baru bertindak. Teruskan sedikit demi sedikit. Kita tak tahu langkah pertama kita buat itu mungkin akan membawa kita kepada langkah yang lebih besar.
Jadi saya harap semua masyarakat Malaysia agar bersikap lebih proaktif dan berfikiran ke depan. Jangan fikir apa orang kata tentang kita, kita kena ada keyakinan diri yang tinggi, matlamat dan impian untuk maju ke hadapan walau terpaksa bermula dengan perlahan.
Antara ciri-ciri individu berjaya ialah mereka yang berpandangan jauh, berfikiran positif dan mempunyai jiwa kental.”
Semoga impian BABA’S untuk menawarkan produk rempah ratus dan bahan makanan terbaik di persada dunia berjaya direalisasikan dan menjadi kebanggaan Malaysia kelak.
Bergelar Jutawan Di Usia Muda, MERRY RIANA Dilabel Sebagai Pakar Motivasi Nombor Satu Asia Tenggara

Kisah kejayaan figura ini membuka mata ramai orang untuk tidak berputus asa mencapai impian yang diimpikan. Nama Merry Riana tidak asing lagi dalam dunia perniagaan. Buku motivasinya yang bertajuk ‘Million Dolar Dream’ menjadi popular dan menarik perhatian orang di Singapura dan Asia Tenggara kerana menceritakan pencapaian Merry Riana yang berjaya menghasilkan $1,000,000 USD pada usia 26 tahun di samping mengimbas sejarah Merry yang belajar di Universiti Teknologi Nanyang yang berhutang sebanyak $ 40000 USD.
Kini, Merry berdiri megah dan senang untuk memberi motivasi kepada orang ramai mengenai perihal dunia perniagaan. Dia juga turut dilabelkan sebagai Motivator Wanita Nombor 1 di Asia. Kini, video-video motivasinya seringkali menjadi popular di laman sosial termasuklah di Instagram serta TikTok.
Merry Riana dilahirkan di Jakarta pada 29 Mei 1980. Hasratnya untuk memasuki Universiti Trisakti dalam jurusan teknik elektro terhalang disebabkan oleh rusuhan yang berlaku di Indonesia pada tahun 1998. Oleh disebabkan itu, dia mencari peluang belajar di Singapura dan berjaya belajar di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada tahun 1998 dengan bantuan biasiswa yang diterima dari kerajaan Singapura.
Ternyata kos pembelajaran amat tinggi menyebabkan Merry terpaksa melakukan beberapa pekerjaan untuk menanggung kos perbelanjaan hariannya. Dia pernah menjual surat khabar di tepi jalan, menjaga kedai bunga dan bekerja di hotel sebagai pelayan. Ketika itu, mee segera merupakan makanan rutin hariannya.
Selepas beberapa lama bekerja, Merry mula bertekad dan bercita-cita untuk mengubah hidupnya.
Merry mencuba nasib untuk menceburi bidang pekerjaan walaupun tanpa sebarang pengalaman dan juga sijil belajar. Firasatnya, berkemungkinan dia dapat meraih keuntungan dengan menyertai perniagaan saham dan pemasaran rangkaian (MLM), namun semuanya berakhir dengan sebuah kegagalan. Bukan itu sahaja, malah Merry juga mengalami kerugian 10.000 dolar dalam perniagaan saham.
Kecewa dengan kegagalannya menyebabkan Merry mengalami tekanan mental. Namun dia tidak mudah melatah dan tidak juga berputus asa. Dia memutuskan untuk belajar dalam bidang Industri Perancangan Kewangan kerana merasakan bidang itu mampu membuat dirinya mencapai impian dalam waktu yang singkat. Hari demi hari, setelah enam bulan bekerja, Merry telah berjaya untuk membayar segala hutangnya. Pada tahun pertama bekerja, dia telah berjaya menghasilkan $200,000 USD.
Pada tahun 2003 pula, Merry telah diberi penghargaan dalam kerjaya penasihat kewangan dan telah menjadi pengurus pada tahun 2004 dengan penubuhan syarikatnya sendiri. Seterusnya pada tahun 2006, beliau telah berjaya menghasilkan $1,000,000 USD dan juga telah menerima pelbagai anugerah.
Kini, Merry memiliki impian untuk memberikan impak positif bagi 1 juta orang di Asia, terutama di Indonesia. Salah satu kaedahnya ialah dengan menulis buku yang dapat memberi inspirasi kepada ramai orang terutamanya kepada anak-anak muda agar dapat mengikut jejak langkahnya mengubah kehidupan.
Akhirnya, buku bertajuk ”Dream of a million dollars” atau dalam bahasa ‘Mimpi Sejuta Dolar’ itu sendiri telah menjadi buku terlaris hanya dalam waktu satu bulan setelah dilancarkan. Buku itu menarik perhatian orang Singapura dan Asia Tenggara kerana menyingkap pencapaian Merry Riana yang berjaya menghasilkan $1,000,000 pada usia 26 tahun di samping mengimbas sejarah Merry yang belajar di Universiti Teknologi Nanyang yang berhutang sebanyak S $ 40000. Dia digelar Jutawan Di Usia Muda!
“Asalkan kamu bisa menjadikan hari ini hari yang lebih baik dari kemarin, hari ini kamu sudah menang”- Merry Riana
Sumber gambar: Instagram Merry Riana