Sejuk perut ibu mengandung bila pengorbanannya dibalas oleh kejayaan anak-anak, tidak kiralah dalam karier mahupun akademik. Atlet terjun wanita negara Ng Yan Yee mendedikasikan pingat emas yang baru dimenanginya pada Sukan SEA ke-31 buat ibu tercinta. Ia sebagai ‘hadiah’ paling bermakna bersempena Hari Ibu tahun ini.
Menurut Yan Yee, ibunya antara insan terpenting serta ‘tulang belakang’ kepada perjalanan kariernya sebagai seorang atlet.
Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) jurusan pemakanan ini menyatakan, pencapaian yang dilakarnya itu juga dikhaskan kepada semua ibu seluruh dunia yang banyak berkorban demi melihat anak mereka berjaya.
TEPATI RAMALAN
Temasya Sukan SEA ke-31 berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional Vietnam. Atlet berusia 29 tahun ini menepati ramalan menewaskan tujuh pencabar lain untuk membawa pulang emas, sementara rakan senegara Ong Ker Ying meraih pingat perak dan gangsa milik wakil Singapura Fong Kay Yian.
Yan Yee menyumbangkan pingat emas kelima kontinjen negara. Ia adalah emas kedua peribadinya di temasya sukan dwitahunan itu selepas menjuarai acara 3m papan anjal seirama bersama gandingan Ker Ying.
Yan Yee dinobatkan juara apabila mengumpul keseluruhan 270.60 mata menerusi lima terjunannya, diikuti Ker Ying (242.40 mata). Malaysia menyasarkan menyapu bersih lapan pingat emas acara terjun yang ditawarkan pada Sukan SEA kali ini, untuk mengulangi pencapaian edisi 2019 di Filipina yang menyaksikan kem terjun membolot kesemua empat pingat emas dipertandingkan
Yan Yee berkata beliau belum memikirkan perancangan pascatemasya Sukan SEA ke-31, namun telah memikirkan mengenai persiapan menghadapai Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary bulan depan dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
“Saya akan teruskan latihan dan belajar macam biasa. Kita lihat bagaimana sebab pandemik semuanya berubah dan Sukan Asia 2022 juga ditangguhkan. Jadi, selepas ini kita hanya berlatih untuk Sukan Komanwel dan Kejohanan Dunia.”
Kredit: Bernama
This website uses cookies.