Portal Majalah Pa&Ma di bawah naungan Nu Ideaktiv Sdn Bhd telah menganjurkan sebuah program Pa&Ma Bawakan Senyuman Diserikan oleh KARIHOME di bawah tajaan utama KARIHOME.
Program ini telah berlangsung di Park Royal Collection Hotel, Kuala Lumpur bermula pada pukul 1.30 petang hingga 5.30 petang.
Pa&Ma Bawakan Senyuman Diserikan oleh KARIHOME merupakan sebuah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilaksanakan bagi meraikan pelajar-pelajar anak yatim yang terpilih daripada Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2.
Seramai enam (6) orang pelajar yang merekodkan prestasi yang cemerlang telah menerima sumbangan yang berbentuk wang ringgit beserta hamper istimewa daripada Karihome.
Semoga majlis sebegini mendorong motivasi lebih ramai pelajar kurang berkemampuan agar bersungguh-sungguh mencapai kejayaan. Syabas dan semoga maju jaya!
Pernah Jadi Juara Qariah, YUKA KHARISMA Tak ‘Ponteng’ Kelas Mengaji Masa Belajar Di Acheh!
Yuka Kharisma… namanya mungkin tidak segah Datuk Rossa, Krisdayanti, dan beberapa selebriti Indonesia yang popular di Malaysia. Namun bakat yang dimiliki Yuka tidak perlu dipertikai lagi. Lontaran suaranya cukup matang dan mengagumkan hingga ada yang menyamakan kelunakan vokal Yuka seperti penyanyi negara jiran yang terkenal di peringkat antarabangsa, Anggun.
Disifatkan sebagai selebriti yang mudah didekati, keistimewaan Yuka tidak hanya terletak pada bakat nyanyian bahkan ibu kepada Ahmad Avisenna ini juga memiliki keperibadian yang sangat ‘mahal’. Menjadi penghias Majalah Nona Oktober 2019, secara eksklusif Yuka mendedahkan sisi kehidupan yang pernah dilaluinya kepada pembaca setia Nona. Tujuannya hanya satu! Mahu menjadikan kisah hidupnya sebagai inspirasi dan suntikan semangat buat wanita di luar sana. Paling tidak disangka adalah dia sebenarnya pernah bergelar juara qariah!
Bertahun-tahun menyimpan ‘rahsia’ menjuarai pertandingan menghafaz Al-Quran daripada pengetahuan umum, Yuka tanpa berselindung membuka kisah hati. “Saya dulu malas sekolah. Sebaik tamat SPM, saya terus menyanyi dan lebih menumpukan kepada matlamat utama saya iaitu membantu adik-beradik lain mencapai impian mereka. Kalau tanya adakah cita-cita saya menang untuk jadi penyanyi? Sebenarnya, tidak.
Cuma pada saat itu, saya tak ada pilihan dan kerana hobi suka menyanyi… jadi teruskan sajalah. Dulu cuma fikir hendak cari wang untuk keluarga. Sehinggalah saya bernikah, ternyata ada banyak lagi yang harus dicuba dan suami sokong. Jadi saya baru berani buat yang lain. Jujurnya, cita-cita saya ialah hendak jadi usahawan.”
Ujar Yuka lagi, dia pernah belajar dan tinggal di Malaysia sekitar tahun 2004 kerana mengikuti bapanya yang bertugas di Kedah. Bagaimana pun dia terpaksa bergelut dan menyesuaikan diri untuk memahami loghat serta sistem pendidikan yang jauh berbeza daripada negara kelahirannya sendiri. “Sewaktu mengikuti papa pindah atas urusan kerja, kami pernah menetap di Sungai Petani, Kedah. Saya ingat lagi nasihat cikgu kaunseling masa saya masih belajar di sana.
Saya susah hendak belajar untuk SPM sebab datang ke Malaysia je terus kena ambil peperiksaan besar ni. Masa mula-mula datang tu memang teruk. Papa kerja di sana dalam tahun 2004 hingga 2005. Memang apa yang cikgu cakap, saya tak faham. Kebetulan pula mama terpaksa balik kampung dan saya tak pergi ke sekolah sebab stres. Ada satu bulan jugalah tak pergi sekolah. Mungkin cikgu-cikgu memahami situasi saya dan mereka tidak pernah menghubungi keluarga waktu itu.
Paling kelakar, cikgu kaunseling beritahu saya… cukuplah sekiranya saya lulus setiap subjek dalam SPM sebab katanya saya lebih cenderung menjadi soerang penyanyi. Ya Allah, terkedu juga saya dan nyata kata-katanya jadi kenyataan! terang Yuka sambil ketawa.
Siapa sangka, di sebalik kesukaran berjuang menamatkan persekolahan, Yuka turut pernah menjadi kebanggaan sekolah apabila dinobatkan sebagai juara qariah peringkat zon utara. Mengimbas kembali momen bermakna tersebut empunya diri pun tidak menyangka mampu membawa nama sekolahnya ke peringkat zon kerana sebelum ini belum ada lagi kejuaraan qariah dari sekolah itu.
“Alhamdulillah dari kecil saya sudah dididik mengaji Al-Quran. Mama asalnya orang Acheh dan sebagaimana kita tahu, di Acheh pegangan agama mereka cukup kuat. Ketika itu kelas mengaji saya tidak pernah ponteng. Mungkin kerana didikan itu, cikgu agama di sekolah pernah terdengar bacaan saya lantas dicadangkan agar saya menyertai pertandingan tersebut. Saya sendiri tak sangka akan menang.
Walaupun dulu di sekolah saya sering ‘ghaib’, tetapi tiap kali ada acara seni, saya pasti menonjolkan diri. Bila ada lawatan dari Menteri atau sesiapa sahaja, pasti saya juga akan menjadi salah seorang pelajar yang akan membuat persembahan,” akhirinya.
Apa-apa pun perkongsian Yuka dalam Majalah Nona kali ini sarat dengan kisah inspirasi. Dari saat dia terpaksa berdepan perpisahan kedua-dua ibu bapanya sampailah bagaimana dia berkorban kerja siang dan malam semata-mata untuk memastikan tiga adik-beradiknya berjaya menamatkan pengajian hingga ke menara gading.
Tahniah! Selamat Timang Cahaya Mata, JIHAN MUSE Kini Bergelar Ibu 2 Anak
Alhamdulillah 6 September lepas pelakon dan pengacara popular, Jihan Muse dan suami selamat menimang cahaya mata kedua mereka di sebuah pusat perubatan di Shah Alam.
Meskipun belum mengumumkan berita gembira, jantina dan gambar terkini anak keduanya secara rasmi, khabar mengenai kelahiran cahaya mata terbaharu Jihan diketahui ramai selepas isteri kepada Fad Bocey iaitu Nur Syahirah A Rahman memberikan ucapan tahniah menerusi Instagram Story.
Menguatkan lagi khabar gembira itu apabila pihak hospital tempat Jihan bersalin turut berkongsi foto personaliti ini di Instagram milik mereka sambil mengucapkan tahniah.
Jihan dalam pada itu dilihat turut mengulang siar semua ucapan tahniah yang diterimanya.
Kira-kira seminggu sebelum melahirkan anak, Jihan ada berkongsi foto bersama suami dan anak ketika melakukan check up kali terakhir di hospital. “Kejap macam nak keluar kejap macam tak nak. Ini kali dia main tarik tali dengan monda (bonda). Doakan ye.”
Rupa-rupanya tidak lama selepas pemeriksaan tersebut, Jihan akhirnya selamat melahirkan zuriat kedua dengan selamat. Alhamdulillah.
Sementara itu, Jihan dikhabarkan tidak akan bergandingan bersama Nabil Ahmad sebagai pengacara Gegar Vaganza musim kesembilan. Sebaliknya, tempatnya diganti dengan Elly Mazlein untuk musim kali ini.
Jihan mendirikan rumah tangga bersama Ungku Hariz yang juga seorang pelakon pada 20 Mac 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang dineri nama Ungku Arsalan Haq yang kini berusia empat tahun.
Moga Jihan berada dalam keadaan sihat selepas melahirkan anak kedua ini dan semoga bayi juga membesar dengan sihat. Tahniah Jihan dan Ungku Hariz!
Kenyang Sepanjang Hari, Ini 5 Jenis Makanan Yang Boleh Bantu Menahan Lapar Ketika Berpuasa!
Ketika berpuasa, antara cabaran yang paling besar ialah untuk menahan daripada rasa lapar. Walaupun sudah mengambil makanan yang berat ketika sahur, namun masih terasa lapar di siang hari. Oleh itu, bagi menghindari rasa lapar ketika berpuasa digalakkan mengambil makanan sihat dengan kandungan serat tinggi ketika bersahur.
Ini kerana, makanan berkenaan membuat kenyang lebih lama akan menjadikan perut tahan lapar, di samping proses pencernaan pada usus juga menjadi lebih sihat kerana makanan kaya serat. Jom kita lihat 5 jenis makanan yang sesuai diambil ketika bulan puasa yang mampu memberi kesan kenyang yang lebih panjang.
1. Makanan penuh dengan protein
Bagi membantu anda tahan lapar dengan lebih lama, tambahkan sajian berprotein tinggi dalam masakan. Masakan berasaskan protein mampu membantu dalam meminimumkan rasa letih dan anda akan lebih aktif sepanjang hari.
Ini kerana makanan ini mengambil masa lebih lama untuk dihadamkan dan anda akan berasa kenyang dalam jangka masa yang panjang. Jadi, anda mampu bertahan untuk sepanjang hari walaupun dipenuhi dengan pelbagai aktiviti harian.
Antara makanan yang anda boleh dapatkan sumber protein didalamnya ialah telur, keju, ikan, serta kekacang. Anda juga boleh mengambil tenusu seperti susu kacang soya atau badam. Jika anda penggemar makanan berprotein berasaskan ayam atau daging, anda sebaiknya memilih bahagian dada ayam atau daging merah pejal. Sistem pertahanan badan ketika berpuasa dapat ditingkatkan dan anda kekal aktif walaupun seharian berpuasa.
2. Buah-buahan dan sayur-sayuran
Dalam bulan puasa, anda paling mahu elakkan adalah masalah berkaitan penghadaman. Bagi atasi masalah seperti sembelit, anda disarankan untuk elakkan pengambilan makanna berlemak, bergoreng dan pedas sewaktu bersahur. Adalah sebaiknya anda mengambil buah-buahan dan sayuran dalam kadar yang mencukupi.
Ia bukan sahaja diperkaya dengan vitamin bahkan pelbagai jenis serat yang anda boleh dapati dalam sayur-sayuran dan buah-buahan ini. Ia dapat elakkananda daripada masalah penghadaman terutama masalah sembelit. Ia diambil bagi mengekalkan sumber vitamin dan membekal pelbagai nutrisi yang baik untuk tubuh badan kita sepanjang bulan Ramadan ini.
Sayur-sayuran yang anda boleh amalkan dalam pemakanan sepanjang bulan puasa ialah sayur brokoli, sayur bayam, buah ara kering kacang lentil atau buah kurma. Bagi pengambilan buah-buahan, anda boleh menyediakan jus buah atau ambil air kelapa bagi mengekalkan tenaga dan kecergasan tubuh badan sepanjang hari.
Selepas seharian berpuasa, jus buah tersebut juga berperanan dalam mengembalikan glukosa yang berkurangan dalam tubuh badan anda. Jadi, anda boleh ambil jus buah-buahan kegemaran anda yang segar dan bukannya dijadikan minuman kordial sebelum menjamah makanan ketika berbuka.
Minuman yang paling sesuai dijadikan sajian berbuka ialah air kelapa, ini kerana ia mengandungi manfaat yang membantu penghidratan tubuh semula serta mengembalikan elektrolit yang hilang sepanjang hari. Sayuran yang mengandungi rendah asid dan mampu mengawal gejala atau masalah penghadaman perlu diambil bagi memastikan kesihatan perut terjaga.
Buah-buahan yang tinggi kadar sitrus sangatlah harus dihindari bagi mengelakkan asid terhasil dan menyebabkan masalah penghadaman yang lebih parah. Bagi meastikan perut anda tidak mengalami kesakitan atau diserang penyakit gastrik, ambil buah-buahan yang lembut seperti pisang atau tembikai.
3. Makanan dengan kandungan kanji dan serat yang banyak
Makanan yang tinggi kanji dan serat amatlah digalakkan untuk diambil ketika bersahur. Ia berpotensi mengekalkan tenaga dan membekalkan tenaga yang mencukupi untuk anda sepanjang hari. Ia juga berupaya mengawal masalah penghadaman dan masalah pedih ulu hati sama seperti memakan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Cuba masukkan makanan berbijirin tinggi serat dan roti gandum penuh dalam pemakanan. Ia akan membantu anda dalam proses penghadaman dan anda akan berasa kenyang untuk tempoh masa yang lebih lama. Elakkan pengambilan produk berasaskan tenusu jika anda mempunyai masalah penghadaamn yang serius.
Bagi mendapatkan sumber tenaga yang mencukupi ketika berpuasa, sumber berasaskan karbohidrat kompleks dalam makanan berkanji dapat membantu memenuhi keperluan tersebut. Antara makanan berkanji yang baik untuk tenaga ialah beras perang, bijiran dan kentang dan ia juga mampu meningkatkan tumpuan semasa melakukan tugasan dan mengawal emosi anda supaya sentiasa dalam keadaan baik sepanjang hari.
4. Makanan berasaskan kekacang
Bagi mengekalkan tahan lapar sepanjang berpuasa, makanan berasaskan kekacang juga amatlah digalakkan untuk anda amalkan sepanjang bulan Ramadan. Antara kekacang yang boleh diambil seabgai sajian snek semasa bulan puasa ialah kacang panjang, kancang tanah dan lain-lain jenis kekacang yang membekalkan pelbagai khasiat yang baik untuk tubuh kita.
Nutrisi yang anda boleh perolehi daripada kekacang ialah sumber protein yang tinggi yang kebiasaannya terkandung dalam sayur-sayuran. Khasiatnya sangat berguna kepada individu yang ingin mengamalkan diet pemakanan dalam mengelakkan lemak dan kolestrol dalam tubuh. Akan tetapi, kita jarang sekali mendapatkan protein daripada sayuran. Kita lebih kerap mengambil protein daripada haiwan seperti ayam berbanding sayur-sayuran.
Apa kata bulan puasa ini, kita bagi seimbangkan pemakanan dengan pengambilan sayur bersama daging. Makan apa pun boleh sahaja asalkan menu yang diambil mengandungi semua khasiat dan seimbang. Bukan sahaja di bulan puasa bahkan pada bulan-bulan lain juga perlu diteruskan corak pemakanan yang baik. Apa yang lebih menarik, amalkan kekacang sewaktu bersahur akan memberi keupayaan tahan lapar 31% lebih lama berbanding pengambilan makanan lain.
5. Madu asli dan organik
Khasiat madu dalam penjagaan kesihatan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi dan ianya juga berupaya merawat pelbagai jenis penyakit yang ada. Ia juga merupakan antara makanan sunnah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Anda boleh amalkan pada bulan puasa dalam mengekalkan kesegaran tubuh badan dan mencegah pelbagai maslah kesihatan sepanjang Ramadan. Dalam melaksanakan ibadah, kita perlu pastikan tubuh badan kita segar dan tidak mengalami gangguan sepanjang ibadah agar kita lebih fokus untuk beribadah kepada-Nya.
Kebaikan madu dalam memastikan kesegaran tubuh badan kekal adalah kerana madu mengandungi sumber neuron kortikal iaitu sumber tenaga yang sangat diperlukan oleh tubuh badan kita. Manakala kandungan fruktosa dan glukosa dalam madu dapat diserap ke dalam badan dengan mudah dan menjadikan tubuh lebih segar dan keletihan dapat diatasi dengan segera.
Bagi sumber karbohidrat yang ada pada madu juga membekalkan tenaga yang cukup untuk anda dan ia mampu memberikan tahap tahan lapar yang maksimum sepanjang anda berpuasa pada siang hari. Jika kita sering mengamalkan pengambilan minuman tenaga untuk mengekalkan tenaga atau mengurangkan keletihan, segeralah berubah dengan mengambil madu sebagai makanan yang baik untuk bekalan tenaga yang baik.
Selain itu juga, madu diperkaya dengan mineral, vitamin, magnesium serta kalsium yang mampu merawat masalah insomnia. Bagi individu yang mengahdapi masalah sukar tidur ini, anda sebaiknya mengamalkan madu dalam menu bersahur dan berbuka anda. Ia membantu dalam menghilangkan masalah saraf tegang dan memudahkan tidur dengan baik tanpa kesan sampingan seperti tekanan dan keletihan di hari berikutnya.